بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah dihamparkan seribu kesyukuran kerana diberi keizinan berada di atas muka bumi Allah ini sehingga detik-detik terakhir Ramadan yang ke-29. Walaupun kesyahduan jelas terasa kerana Ramadan akan meninggalkan kita sehari sahaja lagi.
Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Salamah bin Abdul Rahman dengan berkata, telah berkata Abu Hurairah RA : Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon keampunan) dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih daripada tujuh puluh kali." (Hadith riwayat Al-Bukhari, No. Hadith : 6307)
Matan hadith :
أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، قَالَ: قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: )وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً(
]صحيح البخاري, كتاب الدعوات , باب استغفار النبي صلى الله عليه وسلم في اليوم والليلة , رقم 6307[
Pengajaran Hadith :
Asal perkataan غفر adalah ستر bermaksud menutup atau melindungi daripada dosa. Manakala mengucapkan istighfar adalah memohon keampunan dan pembebasan daripada dosa-dosa.
Walaupun Rasulullah SAW adalah insan yang ma’sum (diampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang) Baginda senantiasa memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT sekurang-kurangnya sebanyak 70 kali setiap hari.
Sebagai umat baginda yang tidak sunyi daripada melakukan dosa sewajarnya sentiasa lebih banyak memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT pada setiap masa.
Bulan yang menyediakan keampunan dan seribu rahmat akan meninggalkan kita. Sebulan kita tidak putus-putus memohon keampunan Allah dan dijauhkan dari api neraka, moga-moga amalan ini akan berterusan ke bulan-bulan seterusnya yang akhirnya menjadikan kita insan yang sentiasa memohon kempunanNya. Memohon keampunan bukan hanya ketika melakukan kesalahan, tetapi sebaiknya sentiasalah beristighfar kerana ditakuti ada dosa yang kita lakukan tanpa sengaja.
Oleh itu marilah kita jadikan rutin ketika Ramadan satu amalan yang berterusan.
Wassalam.