بسم الله الرحمن الرحيم
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Berpuasalah nescaya kamu akan sihat''
(Abu Na'im al-Asfahani dalam at-Tib an-Nabawi)
Alhamdulillah kita masih diberi keizinan olehNya untuk berpuasa pada hari kesembilan, untuk menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepadaNya.
Berdasarkan hadis di atas, Allah memberikan kepada kita satu lagi hikmah berpuasa iaitu dengan berpuasa dapat menyihatkan tubuh badan. Secara tidak langsung ia menjadi motivasi luaran kepada umat manusia untuk melaksanakan ibadah puasa.
Dr Danial Zainal Abidin telah membuat beberapa kajian berkaitan puasa di dalam bukunya Quran Saintifik, antaranya;
Menurunkan paras gula dalam darah ke tahap yang rendah tanpa sebarang kemudaratan
Menurunkan berat badan serta meningkatkan kesihatan
Merehatkan organ-organ dalam badan lantas membuang segala kotoran dan toksin
Menyegarkan sel-sel
Memberikan kesan baik kepada metabolisme badan
Salah satu proses detoksifikasi iaitu mencuci dan membersihkan badan daripada racun atau toksin
Menurunkan paras lemak dalam darah
Menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti athma, radang sendi, insomnia, gangguan sistem penghadaman, penyakit kulit
Mencegah penyakit yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak
Beliau juga telah menjalankan kajian berkaitan puasa terhadap haiwan iaitu binatang akan menjauhi makanan jika mereka sakit. Seolah-olah binatang tahu bahawa menjauhi makanan (puasa) adalah proses natural ke arah penyembuhan penyakit. Subhanallah.
Hal ini dijelaskan secara umum oleh sains bahawa puasa boleh mempercepatkan penyembuhan kerana bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak. Tanpa makanan badan akan ketandusan zat besi, tanpa zat besi bakteria akan menjadi lemah.
Oleh itu marilah kita sama-sama mengambil iktibar bahawa segala perintah dan arahan Allah SWT adalah untuk kebaikan kita sebagai manusia. Allah yang berkuasa menjadikan kita serta Maha Mengetahui yang terbaik serta apa yang diperlukan oleh hamba ciptaanNya ini. Laksanakanlah ibadat puasa dengan ikhlas agar kita mendapat kesemua hikmah dan manfaat mental dan fizikal serta dunia dan akhirat.
Wassalam.