بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah kita masih diberi ruang oleh Allah untuk mengisi hari-hari dalam Ramadan kali ini. Hari ini merupakan hari ke-18 kita melaksanakan ibadah puasa ini. Syukur.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)]
Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [Lihat: al-Minhaj, 86/7]
Walaupun begitu, kita juga dituntut untuk memberi sedekah kepada selain daripada ahli keluarga melainkan jika ahli keluarga itu amat memerlukannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. [al-Baqarah:261]
Ayat ini jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain supaya kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Oleh itu bertepatan dengan Ramadan ini marilah bersama kita merebut peluang bersedekah kepada sesiapa sahaja yang ada di sekeliling kita sama ada secara formal seperti sedekah kepada sekolah, pelajar kurang berkemampuan, masjid, surau atau pun tidak formal seperti membeli barangan untuk menyediakan makanan berbuka ahli keluarga. Semoga niat kita yang ikhlas akan dikira oleh Allah untuk layak menerima ganjaran di akhirat kelak.
Wassalam.