بسم االه الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين
Setiap ibadat yang diperintahkan Allah mempunyai peraturan dan syarat tertentu. Peraturan dalam ibadat memastikan kita melakukan perintah Allah mengikut peraturan dan ibadat yang mematuhi peraturan tentunya diterima oleh Allah SWT. Agar puasa kita diterima Allah, kita mestilahmempunyai kelayakan iaitu syarat wajib puasa. Apakah syarat-syaratnya?
Puasa Ramadan adalah wajib bagi semua umat Islam.
Allah menyebutkan di dalam surah al-Baqarah ayat 183: ``Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaiamana diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu’’.
Puasa diwajibkan kepada orang yang sudah baligh.
Sebagaimana diriwayatkanoleh Saidina Ali bin Abi Talib r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ``Terlepas hukum dari tiga golongan; daripada seorang bayi hingga dia baligh, daripada seorang yang tidur hingga dia bangun dan daripada seorang yang gila hingga dia kembali waras’’ [Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim,Ahmad, Ad-Darimi dan al-Baihaqi]
Kanak-kanak digalakkan untuk berpuasa apabila mencecah usia 7 tahun untuk membiasakannya. Jika telah mencapai usia 10 tahun dan masih belum berpuasa, bolehlah dihukum. Hukum ini diambil daripada hukum qias dalam mendidik anak-anak melaksanakan ibadat solat.
Wajib berpuasa ke atas orang yang berakal.
Orang yang gila, orang yang tidak sedarkan diri atau kanak-kanak yang belum muamayyiz (belum dapat membezakan antara baik dan buruk dalam sesuatu perkara) tidak wajib berpuasa.
Wajib bagi perempuan yang suci daripada haid atau nifas.
Syarat ini khusu bagi perempuan sahaja. Ini bermakna kaum lelaki tiada alasan untuk tidak berpuasa.
Sekiranya perempuan yang dalam keadaan haid atau nifas ini berpuasa, puasa mereka tidak sah. Apabila telah kembali bersih puasa yang tertinggal kerana haid atau nifas ini perlukan diganti. Namun begitu perlu diingatkan kaum wanita agar tidak sengaja makan di tempat terbuka, atau makan di hadapan orang yang berpuasa kerana wanita yang haid disunatkan juga imsak (menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa) sepanjang siang bulan Ramadan.
Tambahan pula dalam PKP ini, semua ahli kelurga ada di rumah, berilah contoh tauladan yang baik kepada anak-anak, suami, ibu, bapa, abang, kakak dan adik kita.
Wajib berpuasa bagi orang yang mampu.
Mampu berpuasa bermaksud seseorang itu tidak berada dalam keadaan sakit. Oleh itu setiap muslim yang sihat fizikal dan rohani, wajib melakukan ibadah puasa. Ramadan kali ini seolah memberi peluang kepada semua muslim sedunia untuk berpuasa kerana diberi rehat yang panjang dari tugasan harian.
Merujuk kepada syarat wajib puasa di atas, jelaslah kewajipan itu hampir boleh dilaksanakan oleh kita semua. Jihadlah melawan keinginan dan kemalasan agar kita dapat menghasilkan Ramadan yang sempurna tahun ini.
Wassalam.