بسم الله الرحمن الرحيم
Sahl bin Sa'd r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Sesungguhnya dalam syurga ada sebuah pintu yang dikenali sebagai ar-Rayyan. Orang yang berpuasa masuk melaluinya pada hari kiamat.'' [Hadis muttafaq 'alaih]
Sidang pembaca sekalian, hari ini kita menelusuri satu lagi keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada orang beriman di dalam bulan Ramadan. Iaitu pintu ar-Rayyan. Apakah keistimewaan ar-Rayyan ini? Ulama menyebutkan bahawa di dalam syurga Allah telah menyediakan lapan pintu. Salah satu adalah disediakan khusus bagi orang yang berpuasa. Itulah ar-Rayyan. Pintu ar-Rayyan ini tidak akan menerima untuk masuk melaluinya melainkan orang berpuasa. Sekiranya ada selain orang berpuasa untuk melaluinya, pintu tersebut akan tertutup.
Pengarang kitab Fathul Bari menyebutkan ar-Rayyan ini berasal dari perkataan (ar-rayy) iaitu hilang rasa dahaga. Orang yang hilang rasa dahaga disebut (Ar-Rayyan). rasa dahaga itu adalah meliputi rasa lapar sebagaimana orang yang berpuasa, rasa haus mengatasi rasa lapar sedangkan mereka merasakan kedua-duanya sekali.
Nabi menyebutkan bahawa sesiapa yang masuk ke dalam ar-Rayyan maka dia akan minum. Sesiapa yang minum dia tidak akan rasa dahaga selama-lamanya. (hadis riwayat an-Nasai'e).
Maka beruntunglah orang-orang yang berpuasa kerana ganjarannya telah Allah sediakan iaitu mereka akan kenyang selama-lamanya.. Ada seorang sahabat yang telah dijanjikan Allah boleh masuk ke dalam pintu ar-Rayyan dan mana-mana pintu di dalam syurga. Siapakah sahabat tersebut? Sahabat itu Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Marilah kita berazam untuk menjadi insan terpilih seperti sahabat Rasulullah SAW ini.
Kefarduan berpuasa dalam bulan Ramadan ini adalah tiket yang Allah sediakan buat kita umat Nabi Muhammad untuk masuk ke dalam syurgaNya. Oleh itu marilah sama-sama kita melaksanakan amalan ini dengan bersungguh-sungguh agar tiket kita valid untuk kita gunakan di akhirat kelak.
Wassalam.