بسم الله الرحمن الرحيم
Abu hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Sesiapa yang membangunkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampunkan baginya dosa yang telah lalu''
Alhamdulillah..hari ini menginjak kita kepada hari keenam berpuasa di bulan Ramadan. Syukur ya Allah.
Ramadan ini Allah datangkan dengan seribu rahmat dan kasih sayangNya. Berdasarkan hadis di atas, Allah memberikan kepada kita satu lagi kehebatan Ramadan iaitu bulan penghapusan dosa.
Apa lagi yang kita harapkan sebagai hamba, melainkan Allah mengampunkan segala dosa kita dan dijauhkan daripada api neraka. Nabi menyarankan agar kita memperbanyakkan doa agar diampunkan dosa.
Ada banyak pandangan ulama berkaitan perkataan `keimanan' dalam hadis di atas. Imam Nawawi dalam kitab al-Minhaj menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan keimanan ialah solat tarawih. Rasulullah SAW menggalakkan kita melaksanakannya pada malam Ramadan dan hukumnya sunat. Namun galakan itu tidak sampai kepada kewajipan melaksanakannya. Namun ibadat sunat yang hanya dilaksanakan sebulan dalam dua belas bulan, apa salahnya kita rebut peluang dan kebaikan yang Allah sediakan di dalamnya.
Pandangan kedua `keimanan' pula ialah keyakinan bahawa penghapusan dosa itu benar dan mengharapkan mendapat kelebihan tersebut. Manakala Ibnu Hajar pula menyatakan `keimanan' itu ialah keyakinan terhadap kewajipan puasa.
Kesemua tafsiran di atas jika kita simpulkan dan pahatkan dalam hati kita seiring amalan puasa ini, insya Allah kita akan mencapai maksud keimanan yang sebenar.
Manakala `pengaharapan' pula, Imam Nawawi menyatakan ianya bermaksud mengharapkan pahala daripada Allah tanpa sebarang perasaan riyak. Seterusnya perbahasan dosa yang diampunkan Allah menurut pandangan yang masyhur oleh Imam Nawawi adalah dosa-dosa kecil bukan dosa-dosa besar. Namun ada sebhagian ulama memberi pandangan bahawa dosa-dosa besar juga akan terhapus. Ibnu Hajar pula menyatakan akan terhapus keseluruhan dosa. Dalam hadis lain riwayat Ahmad ada penambahan iaitu dosa yang terkemudian.
Ini bermakna jiika kita berpuasa di bulan Ramadan mengimani kewajipan berpuasa, yakin bahawa di dalammnya ada penghapusan dosa dan melaksanakan solat sunat tarawih bukan hanya puasa ikut-ikut kerana orang lain berpuasa, atau berpuasa dengan terpaksa atau berpuasa hanya di hadapan orang, maka Allah menjanjikan penghapusan semua dosa kecil dan besar mahupun yang akan datang.
Maka rakan-rakan sekalian, marilah bersama kita mengimani ibadat puasa ini dengan sebenar-benarnya, sabar, tabah, penuhi dengan amal ibadat yang banyak sementelah dengan masa yang diberi dalam PKP ini, agar kita memperoleh segala kebaikan yang Allah sediakan di dalam Ramadan yang mulia ini.
Wassalam.