بسم الله الرحمن الرحيم
Daripada Abdullah bin Amru r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda''Puasa dan al-Quran itu akan memberi syafaat kepada hamba (orang yang berpuasa dan yang sentiasa membaca al-Quran) di hari kiamat nanti.''
Alhamdulillah kita masih lagi diberi peluang dan ruang pada hari yang kedua belas dalam bulan Ramadan ini untuk mengecapi satu lagi nikmat yang Allah sediakan iaitu puasa dan al-quran itu akan menjadi syafaat untuk kita pada hari kimat kelak.
Adalah sebaiknya kita mengisi setiap ruang Ramadan ini dengan sebaiknya kerana sesungguhnya Allah SWT menurunkan pahala, rahmat dan keampunanNya pada setiap hari, setiap jam, setiap detik tanpa henti berbanding bulan-bulan yang lain.
Mengapakah kita memerlukan syafaat pada hari kiamat?
Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang akan memberikan pertolongan. Namun selain dari syafaat Nabi Muhammad SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan yang lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat-ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.
Alangkah indahnya dan beruntungnya kehidupan seorang muslin yang pada waktu siangnya senantiasa berpuasa dan pada malam harinya membaca Al-Quran serta sibuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan amalan-amalan ibadat lainnya.
Sebaliknya amatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak mengendahkan perintah-perintah Allah SWT. Begitu juga apabila mereka melakukan amalan-amalan tersebut dengan malas dan sambil lewa, bahkan amalan-amalan tersebut akan mengutuk dan mendoakan kecelakaan kepada mereka pada hari kiamat nanti.
Oleh itu marilah sama-sama kita melaksanakan ibadat sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadan yang mulia ini sebagai bekalan untuk dibawa ke sana. Jom berjihad melawan letih dan lesu, penat yang sementara untuk bahagia selamanya.
Wassalam.