بسم الله الرحمن الرحيم
Abu hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Puasa itu ada perisai. Apabila salah seorang daripada kami berpuasa pada suatu hari, maka janganlah dia berbuat keji dan perkara sia-sia pada hari itu. Jika ada seseorang mencelanya atau menyerangnya, maka katakanlah,''Sesungguhnya aku sedang berpuasa''-Muttafaq 'Alaih-
Alhamdulillah ...diam tak diam kita sudah berada di hari kelima berpuasa. Syukur. Allah masih memberi peluang kepada kita untuk menjalani ibadah puasa, memahami dan menghayati Ramadan.
Hari ini kita akan mendalami kelebihan ibadat puasa yang Allah perintahkan kepada kita iaitu puasa itu adalah perisai.
Ulama telah memberi tafsiran tentang perkataan 'perisai' dalam hadis di atas ialah puasa itu sebagai perlindungan kepada orang berpuasa daripada nafsu-nafsu yang akan mengganggu dan puasa itu akan memberi perlindungan daripada api neraka di akhirat kelak.
Kedua-dua pandangan tersebut adalah benar dan Imam An-Nawawi dalam Al-Minhaj menyatakan perisai itu bermaksud penghalang dari perbuatan keji dan dosa serta perisai dari api neraka.
Ibnu Hajar Asqalani pula menyebutkan jika di dunia manusia menahan diri dari perbuatan syahwat maka di akhirat kelak akan menjadi pelindung dirinya dari api neraka.
Imam al-Qurtubi pula menyebutkan puasa sepatutnya menjadi perisai dari segala sifat keji dan sia-sia seperti ghibah serta segala perkara tidak baik sama ada perbuatan atau perkataan secara sengaja atau tidak. Perkara-perkara tersebut tidak membatalkan puasa tetapi akan mengurangkan pahala puasa.
Maka mendapat perlindungan daripada api neraka adalah nikmat yang sangat kita dambakan. oleh itu marilah bersama kita menjaga segala anggota daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah. Jadilah kita seorang insan yang baru tidak seperti bulan-bulan yang lain agar kita menjadi hamba yang dicintai Allah dan tertulis nama kita di Ar-Rayyan Insya Allah.
Wassalam.