بسم الله الرحمن الرحيم
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa tuhannya.''
Alhamdulillah, hari ini kita berada di hari kelapan Ramadan berarti sudah lapan hari kita menahan diri dari makan dan minum serta melakukan pelbagai amalan kebaikan untuk merebut ganjaran yang disediakan untuk orang yang berpuasa.
Berdasarkan hadis di atas, jelas kepada kita Allah menerbitkan rasa gembira dalam hati orang yang berpuasa dalam dua keadaan. Yang pertama ialah ketika berbuka puasa dengan makanan dan minuman yang pelbagai. Ibnu Raja' Al-Hambali menyatakan tertarik dengan makanan dan minuman adalah perkara yang akan menggembirakan manusia secara semulajadi. Allah ceritakan antara kenikmatan syurga adalah adanya makanan yang lazat begitu juga dalam surah al-Baqarah ayat 35, Allah perintahkan nabi Adam tinggal di dalam syurga dan makanlah apa sahaja yang Nabi Adam a.s sukai.
Sahl pula menyatakan gembira ketika berbuka adalah kerana sempurnanya ibadat puasa serta terselamat daripada merosakkannya serta mengharapkan pahala daripada ibadat tersebut.
Kegembiraan kedua bagi orang yang berpuasa ialah gembira ketika bertemu tuhannya. Ini adalah dalil bahawa penghuni syurga akan dapat melihat Allah di akhirat kelak.
Jarir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:'' Sesungguhnya kamu akan melihat tuhanmu sepertimana kamu melihat bulan ini.'[Hadis muttafaq 'alaih]
Melihat Allah adalah berbeza-beza mengikut martabat ahli syurga. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:''Martabat ahli syurga yang paling rendah ialah melihat kerajaan selama 2000 tahun sekali dan sesungguhnya yang paling afdal martabatnya ialah melihat wajah Allah setiap hari dua kali.''
[Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim]
Manakala An-Nawawi pula menyatakan kegembiraan bertemu dengan tuhan ialah apabila diperlihatkan pahala puasa kepadanya. Ibnu Raja' menambah; pahala tersebut sangat diperlukan pada ketika itu sebagai bekalan amalan kebaikan yang disempurnakan semasa di dunia dahulu.
Oleh itu marilah kita bersama-sama menyediakan bekalan amalan sebanyak-banyaknya sepanjang Ramadan ini agar kita benar-benar gembira bertemu Allah bersama amalan yang diredhaiNya.
Wassalam.