بسم االه الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين
Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ``Apabila masuk Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka serta dibelengu para syaitan.'' [Muttafaq A`laih]
Alhamdulillah syukur kita pada hari yang ketiga Ramadan ini Allah masih memberi rahmatNya dengan memayungi kita dengan awan mendung serta angin yang lembut untuk kita jauh dari rasa susah dan sengsara. Syukur! Namun ada lagi rahmat yang lebih besar Allah sediakan untuk orang berpuasa iaitu Allah buka pintu-pintu syurga.
Ada 4 pandangan ulama` berkaitan maksud dibukakan pintu-pintu syurga iaitu
i) Isyarat banyaknya pahala yang disediakan oleh Allah
i) Ungkapan bahawa banyaknya amalan yang dibuka pada bulan Ramadan untuk hambaNya seperti puasa Ramadan, solat sunat tarawih, tadarus dan lain-lain.
iii) Kiasan amalan ketaatan yang akan membawa hamba Allah ke syurga
iv) Kiasan terhadap kurniaan rahmat Allah yang diturunkann kepada hambaNya.
Tujuan dibukakan pintu syurga menunjukkan betapa terpuji amalan orang berpuasa di sisi Allah dan betapa beruntung orang yang berpuasa dengan melakukan amalan soleh kerana pintu syurga sentiasa terbuka untuknya.
Oleh itu marilah bersama kita mengambil peluang di saat PKP Covid 19 ini kerana Allah memberi kita ruang seluas-luasnya tanpa perlu memikirkan tugasan harian dan rutin dunia. Jom kita lengkapkan solat fardu, solat dhuha, tadarus satu juzuk satu hari, kurangkan perkara lagha, membaca buku, mengulangkaji pelajaran, solat tarawih serta bersedekah dan membantu ibu bapa. Jangan beri ruang sedikitpun terhadap perkara negatif dan buruk dalam puasa kita. Moga pintu-pintu syurga itu tersedia untuk kita.
Wassalam.