بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kerana kita masih diizinkan melihat sinar mentari 28 Ramadan 1441H. Terasa sayu di hati kerana akan ditinggalkan oleh Ramadan yang berbaki dua hari lagi.
Daripada Abu Musa al-Asy‘ari RA katanya Aisyah RA telah menunjukkan sehelai selimut dan sehelai kain yang kasar, katanya, “Rasulullah SAW diambil nyawanya dengan memakai pakaian ini.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith :
Islam menyuruh umatnya supaya bersederhana dengan harta benda dunia dan menggunakannya kepada perkara-perkara kebaikan sahaja.
Setiap umat Islam dikehendaki supaya bersabar menghadapi kesempitan hidup kerana kesusahan itu adalah sementara dan gunakanlah peluang ini untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah SWT.
Setiap umat Islam hendaklah lebih mementingkan beribadah kepada Allah SWT semasa hidupnya kerana amalan-amalan itu akan memberi kebahagiaan kepadanya di akhirat.
Oleh itu bertepatan dengan sambutan hari raya aidilfitri yang bakal menjelma, ada baiknya kita menyambutnya dengan sederhana. Musibah PKPB kerana virus covid 19 ini ada hikmah yang besar di sebaliknya iaitu membantu kita umat Islam agar bersederhana dalam membuat persediaan aidilfitri secara praktikal. Semoga sikap ini dapat kita kekalkan dalam kehidupan seharian walaupun setelah tamat PKPB nanti.
Wassalam.