بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah syukur ke atas Allah tuhan pentadbir sekalian alam, masih memberikan kita nafas untuk terus berada di muka bumi ini bagi mengutip himat dan rahmatNya dalam bulan yang penuh barakah ini.
Bertepatan dengan tarikh 17 Ramadan iaitu tarikh turunnya Al-Quran, mari kita telusuri secara ringkas berkaitan nuzul al-Quran.
Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.
Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:
كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah As-Sad: 29)
Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.
Persoalannya bagaimanakah Allah SWT memberkati rezeki yang sedikit? Pertamanya Allah memberikan rasa qana’ah (mencukupi) kepada tuannya. Kedua, rezeki yang sedikit itu dibelanjakan kepada perkara yang memberi faedah sahaja. Ramai yang menyangka bahawa rezeki hanya harta. Perlu diingat rezeki juga ialah tidak membelanjakan kepada perkara yang dilarang.
Maksud al-Quran Mubarak ialah ayat-ayatnya punyai keberkatan dari sudut hukum zahir di mana ia mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan manusia ialah penyelewengan. Kerana itu sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang mukmin makan dengan perut yang satu dan orang kafir makan dengan tujuh perut.”
(Riwayat Muslim)
Oleh itu bertepatan dengan kefardhuan berpuasa di bulan Ramadan, gandingan penurunan Al-Quran ini sangat indah dan cantik. Membaca Al-Quran setiap hari akan membantu umat Islam menjalani ujian kelaparan dengan mudah kerana ditambah dengan keberkatan membaca ayat-ayat Al-Quran. Subhanallah, betapa besar rahmat Allah buat kita hamba yang lemah ini, diberi kita perintah tetapi dengan cukup lembut yang kita tidak akan mudarat pun kerananya bahkan lebih sihat, lebih baik dan lebih berkualiti.
Mari sama-sama kita rebut peluang untuk belajar membaca al-Quran, mentadabbur maksud-maksud ayat Al-Quran dalam tempoh fasa kedua Ramadan ini. Selamat beramal!
Wassalam.