بسم الله الرحمن الرحيم
Ibnu Abbas ra. berkata :`` Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan pada bulan Ramadan, terutama apabila Jibril menemuinya pada setiap tahun di bulan Ramadan sehingga khatam. Rasulullah SAW memperdengarkan kepadanya Al-Quran. Apabila baginda menemui Jibril, Rasulullah SAW menjadi lebih dermawan berbanding angin yang menghembus''
Alhamdulillah selaut kesyukuran ke hadrat Ilahi atas nikmat beribadat ini. Tiada nikmat yang lebih indah melainkan dapat merebut segala kelebihan yang Allah sediakan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Di dalam hadis di atas, sifat pemurah telah disandarkan kepada Nabi SAW. Hal ini menunjukkan kemuliaan Rasulullah. Sifat pemurah Rasulullah ini berganda pada bulan Ramadan. Mengapakah hal tersebut berlaku? Hadis ini juga menyebutkan sifat pemurah Nabi SAW dengan kisah kedatangan JIbril untuk mendengar bacaan al-Quran Rasulullah (bertadarus).
Ibnu Hajar menyebutkan satu pandangan berkaitan isu ini iaitu tadarus al-Quran dapat menyegarkan hafalan al-Quran serta dapat menambah kekayaan jiwa, kekayaan itulah yang dapat menerbitkan sifat pemurah.
Satu pandangan lain pula menyebutkan bahawa sudah tentu sifat pemurah Rasulullah ini terkait dengan bulan Ramadan kerana bulan Ramadan adalah bulan kebaikan. Nikmat Allah banyak dikurniakan dalam bulan Ramadan. Tidak hairanlah jika Rasulullah mengambil peluang bulan Ramadna ini untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan.
Sifat pemurah Rasulullah ini lebih jelas lagi sehingga ada yang memeluk Islam kerana sifat Rasulullah ini.
Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah diminta oleh seorang lelaki untuk memberikan kambing yang banyak lalu baginda memberikannya. Apabila lelaki tadi kembali kepada kaumnya dia berkata :`` Wahai kaum, peluklah Islam sesungguhnya Muhammad memberikan sesuatu seperti beliau tidak takut kepada kemiskinan'' [Hadis riwayat Muslim]
Berkaitan dengan maksud perkataan `angin yang bertiup'. Kata Ibnu Hajar `angin yang bertiup' membawa dua isyarat; iaitu Isyarat kepada tuipan angin yang membawa rahmat dan isyarat kepada manfaat daripada sifat Rasulullah yang sangat pemurah yang sangat meluas sebagaimana tiupan angin yang tersebar ke seluruh pelusuk alam.
Di dalam sebuah hadis lain juga menyebutkan bawa Rasulullah tidak pernah menyatakan tidak jika diminta.
Oleh itu marilah sama-sama kita contohi dan amalkan membaca al-Quran serta bertadarus yang akan menerbitkan sifat pemurah ini dalam kehidupan kita terutamanya di dalam bulan Ramadan ini. Memberilah kepada yang memerlukan mengikut kemampuan kita. Moga amalan kita walaupun sedikit akan diterima olehNya.
Wassalam.