الله الرحمن الرحيم
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Demi zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak kasturi''
Alhamdulillah..hari ini merupakan hari ke-7 kita berpuasa. Syukur ya Allah. Semoga puasa kita semakin hari semakin berkualiti dengan mengetahui kelebihan-kelebihan yang Allah sediakan bagi orang yang berpuasa.
Berdasarkan hadis di atas, Imam an-Nawawi dan Imam Muslim telah meletakkan hadis tersebut dalam bab kelebihan puasa dalam kitab mereka.
Rasulullah SAW memulakan dengan sumpah iaitu 'demi zat yang jiwaku berada di tanganNya' adalah merupakan lafaz penguat kelebihan orang berpuasa.
Perkataan `bau mulut' atau lebih tepat menurut Imam Nawawi dalam Al-Minhaj adalah `perubahan bau mulut'. Ada beberapa pandangan ulama berkaitan perkara tersebut.
Al-Maaziri berpendapat bahawa perkataan tersebut adalah qiasan atau majaz bahawa malaikat lebih menyukai nbau mulut orang yang berpuasa berbanding minyak kasturi walaupun bau itu tidak wangi mengikut nilaian manusia. Manakala Al-Qadhi pula berpendapat Allah akan membalas di akhirat dengan menjadikan nafas orang berpuasa berbau wangi berbanding minyak kasturi. Manakala Imam an-Nawawi pula berpendapat bau mulut orang berpuasa lebih besar pahalanya jika dibandingkan dengan minyak kasturi yang dipakai jika ke majlis zikir, solat jumaat dan lain-lain lagi.
Pandangan ini berkaitan sifat makhluk hidup yang suka kepada sesuatu yang wangi dan tidak suka kepada sesuatu yang busuk. Maka puasa diqiaskan kepada sesuatu yang wangi untuk menunjukkan dekatnya manusia yang berpuasa kepada Allah SWT.
Oleh itu marilah kita berpuasa untuk merebut segala kelebihan yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang yang berpuasa. Sesungguhnya rahmat Allah amat banyak yang tidak mampu kita hitung. Amatlah rugi jika kita tidak merebutnya tanpa sebarang alasan atau dengan perkataan lain meninggalkan dengan sengaja. Semoga kita diberi kekuatan untuk melaksanakan ibadat ini hingga ke akhirnya.
Wassalam.