بسم الله الرحمن الرحيم
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga '' [Hadis riwayat al-Bukhari]
Alhamdulillah kita telah pun berada di hari kesepuluh dalam bulan Ramadan 1441H. Pandemik covid 19 bukan penghalang kita beribadat. Malahan hikmah di sebalik perintah kawalan pergerakan (PKP 4) ini memberi kita banyak kelebihan untuk melaksanakan ibadat puasa dengan lebih baik.
Namun apa salahnya untuk kita saling ingat-mengingati, iaitu agar kita menjaga diri daripada melakukan maksiat ketika berpuasa. Apakah yang dimaksudkan dengan hadis di atas?
Berdasarkan huraian yang dinyatakan dalam kitab Riyadus Solihin, orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapannya) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala oleh Allah ke atas puasa mereka selain lapar dan dahaga sahaja.
Ini kerana puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa disamping menambahkan amal ibadat lain sepanjang mereka berpuasa.
Oleh itu marilah kita berjihad bersungguh-sungguh untuk banyak berdiam daripada bercakap sesuatu yang tidak baik,atau mengundang kemarahan orang lain, mengeji, mengumpat serta melakukan perkara yang mendatangkan dosa seperti mencuri, menipu serta melihat perkara yang tidak baik di medium-medium maya tanpa batasan.
Semoga Allah menerima ibadat puasa kita yang suci bersih daripada sebarang noda dan kecatatan.
Wassalam.