بسم الله الرحمن الرحيم
Daripada Sahl bin Saad r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda ''Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan''
Alhamdulillah ...Allah masih memberi kepada kita nikmat kehidupan agar dapat meraih sebanyak mana kebaikan dan hikmah di sebalik Ramadan yang mulia ini pada hari yang ke-11 ini.
Berdasarkan hadis di atas, melalui ibadat puasa kita berpeluang memperoleh kebaikan yang berpanjangan hanya melalui perkara yang kecil, iaitu menyegerakan berbuka puasa.
Di dalam kitab Riyadus Solihin menyebutkan bahawa orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuk waktu maghrib. Sebaliknya makruh jika sengaja melewat-lewatkan berbuka tanpa keuzuran syar'ie contohnya tersekat dalam kesesakan jalan raya yang tidak dijangka.
Hukum sunat disegerakan berbuka puasa ini kerana ia mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya ialah supaya orang yang berpuasa dapat bersegera menunaikan ibadah lain seperti sembahyang maghrib, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain.
Imam al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani mengatakan hikmah dituntut mempercepatkan berbuka adalah agar ditambah waktu siang hari berpuasa ke malam hari kerana itu lebih baik bagi orang yang berpuasa dan lebih menguatkannya dalam beribadat.
Para ulama' telah bersepakat bahawa dibolehkan berbuka apabila yakin terbenamnya matahari dengan melihatnya sendiri atau dengan perkhabaran dua orang yang adil dan begitu juga seorang, pada pendapat yang lebih tepat.
Selain itu Imam an-Nawawi r.a mengatakan bahawa pada hadis ini terdapat galakan mempercepatkan berbuka setelah ia yakin akan terbenamnya matahari . Antara maknanya adalah urusan umat Islam akan sentiasa tersusun dan mereka akan berada dalam kebaikan selagimana mereka berterusan menjaga sunnah ini. Sebaliknya jika mereka melewatkannya, ini menunjukkan tanda kerosakan telah berlaku padanya.
Oleh itu marilah kita sama-sama merebut kebaikan yang Allah sediakan melalui ibadah puasa ini, sekaligus menjadikan kita umat yang berdisiplin dan mematuhi masa.
Wassalam.