بسم الله الرحمن الرحيم
Anas bin Malik ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
تسحروا فان في السحور بركة:
Maksud: Bersahurlah kamu. Sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.
Alhamdulillah bersyukur kita dapat menginjak ke hari yang ke-14 Ramadan 1441H untuk mengutip sebanyak mungkin kenikmatan dan pahala yang Allah himpunkan buat mereka yang mencari dan menggali.
Hari ini kita akan berbicara tentang sahur. Hadis di atas adalah satu galakan dan penguat untuk kita mengamalkan bangun pagi dan bersahur.
Ibnu Mundzir perintah dalam hadis ini menunjukkan amalan bersahur adalah sunat dan ia disepakati secara ijmak. Namun sahur bukanlah satu kewajipan.
Banyak kebaikan yang boleh kita perolehi daripada aktiviti sahur ini. Ibnu Hajar menyebutkan antaranya sahur dapat melatih diri untuk bangun malam dan berdoa ketika menjelang waktu fajar.
Tambah Imam An-Nawawi waktu fajar adalah waktu yang mulia iaitu waktu turunnya rahmat, makbulnya doa dan waktu untuk mendapat keampunan daripada Allah. Di waktu ini orang yang bangun boleh melaksanakan solat tahajjud, berzikir, berdoa, mendirikan solat sunat yang lain sehingga masuk waktu subuh. Selain itu puasa juga membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab. Ini adalah kerana bersahur tiada dalam ajaran mereka.
Tambah Ibnu Hajar, sahur boleh menolak keburukan yang mungkin timbul akibat kelaparan.
Oleh itu marilah sama-sama kita melaksanakan amalan bersahur kerana ia juga merupakan salah satu amalan yang nabi laksanakan dan menjadi sunnah baginda. Selain membantu kekuatan fizikal setelah makan pada awal pagi, kita juga disediakan ganjaran keberkatan yang Allah sediakan bagi orang yang mengamalkannya. Jom rebut kebaikan Ramadan yang masih berbaki 16 hari.
Wassalam.