Bismillahirrahmanirrahim
Selaut kesyukuran buat Allahu Rabbul Jalil, pemilik seluruh alam atas nikmat kehidupan dan ruang mengutip hikmat Ramadan buat hari ke-20 ini. Syukur.
Begitu cepat masa berlalu hinggakan tanpa sedar kita telah menginjak ke fasa akhir bulan yang mulia ini. Namun detiap detik adalah sangat berharga. Manfaatkanlah sedetik waktu yang ada dengan amalan dan ibadat kepada Allah.
Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya seperti orang yang hidup dan mati.” [Riwayat al-Bukhari (6407)]
Apa itu zikir?
Zikir (ذکر) berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud ingat atau sebut. Di dalam Islam, zikir lebih merujuk kepada ingat kepada Allah atau menyebut nama-nama Allah.
Di dalam Islam, zikir kepada Allah adalah sebahagian ibadat dan orang Islam yang melakukannya mendapat pahala. Alim ulama bersepakat mengatakan zikir yang paling disukai oleh Allah adalah subhanAllahi wabihamdih.
Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud:
"Dari Abu Dhar berkata, lalu beliau bertanya kepada Muhammad Rasullallah ,"Sukakah engkau(Muhammad) memberitahu ucapan apakah yang paling disukai oleh Allah? "(Muhammad menjawab)SubahanAllahi Wabihamdi(Maha Suci Allah dan Segala Puji bagi-Nya).
Berdasarkan maksud di atas, jelas kepada kita bahawa zikir adalah ibadat yang paling mudah dan ringan untuk diamalkan. Ia boleh dilakukan dalam apa keadaan sekalipun sama ada berdiri,duduk atau pun baring. Ada banyak lafaz zikir yang boleh kita lafazkan seperti allahu akbar, alhamdulillah,la ilaha illallah, astaghfirullah. selain itu kita juga boleh menjadikan nama-nama Asmaul Husna sebagai zikir seperti ya rahman, ya rahim, ya latif, ya ghafur.
Oleh itu marilah sama-sama kita laksanakan amalan yang ringan ini sepanjang bulan Ramadan. Semoga ia akan memberatkan timbangan amalan kita di akhirat kelak.
Wassalam.