``Adapun Anas (Anas bin Malik r.a) apabila beliau mengkhatamkan Al-Quran, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka.''
[Riwayat al-Darimi (3517)]
Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih memberi nikmat kehidupan menjejaki Ramadan 1441H ini hingga ke separuh fasa yang kedua iaitu 15 Ramadan.
Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran. Membacanya di dalam bulan ini amatlah dituntut berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 185 :``Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran..''
Berdasarkan athar di atas, jelas kepada kita bahawa para salaf mengkhatamkan al-Quran terutamanya pada bulan yang mulia ini. Banyak membaca al-Quran itu akan jadi lebih baik jika kita menyelesaikan membacanya 30 juzuk bertepatan dengan 30 hari kita berpuasa. Kira-kira yang mudah ialah satu juzuk satu hari. Namun bukanlah bermakna kita perlu membacanya tanpa henti, kita boleh membacanya setiap kali selepas solat fardhu, solat dhuha dan selepas solat tarawih. Pe,mbahagian juzuk juga boleh dilakukan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan supaya kita lebih bersemangat untuk menghabiskan kerana ada catatan.
Tambahan pula berdoa ketika khatam al-Quran adalah mustajab sebagaimana di dalah athar yang lain daripada Al-Hakam berkata ``Telah diutuskan Mujahid kepadaku.'' Telah berkata ``Kami memanggilmu kerana kami ingin mengkhatamkan Al-Quran dan bahawa sesungguhnya doa adalah mustajab pada saat khatam Al-Quran'' [Riwayat Al-Darimi (3525)]
Berdasarkan dua athar di atas, Imam Nawawi mengatakan sunat hukumnya menghadiri majlis khatam Al-Quran serta memperbanyakkan doa di waktu tersebut kerana itu adalah antara waktu yang mustajab berdoa.
Marilah kita sama-sama bertadarus dan membaca Al-Quran hingga khatam bersama ahli keluarga kita dalam PKP ini, semoga kita semua tergolong dalam ahli Al-Quran.
Wassalam