Imej 1: Sistem teleskop Stellar 1 Observatori Negara Langkawi
Pada siri yang lepas kita telah melihat kepada jenis-jenis teleskop yang digunakan di kebanyakan balai cerap. Secara umumnya terdapat dua jenis teleskop iaitu jenis pembias yang berasaskan kanta dan jenis pemantul yang berasaskan cermin. Kedua-duanya berfungsi sebagai alat bagi mengumpul dan menumpukan cahaya khususnya dari langit malam. Namun, bagi objek-objek langit, ia sentiasa dalam keadaan bergerak hasil dari rotasi Bumi yang menyebabkan objek-objek ini terbit dari timur dan terbenam di sebelah barat. Oleh itu, terdapat keperluan untuk membolehkan teleskop mengikut pergerakan objek langit ini dengan baik.
Alat yang dimaksudkan adalah pelekap atau penjejak dan lebih dikenali dalam bahasa inggeris sebagai mounting atau star tracker. Terdapat keperluan untuk mengetahui peralatan-peralatan ini dalam bahasa Inggeris kerana ia akan memudahkan pencarian maklumat lanjut oleh pembaca. Tugas utama pelekap atau penjejak ini adalah untuk memegang teleskop dan membolehkannya dihalakan kepada mana-mana arah yang diinginkan. Terdapat dua jenis pelekap yang digunakan secara amnya, altazimuth dan equatorial.
Pelekap jenis altazimuth merupakan jenis pelekap yang paling mudah digunakan dan difahami. Pelekap ini berfungsi berasaskan bearing kompas dan sudut dongak, sama seperti sistem kawalan meriam. Pelekap jenis ini banyak digunakan kerana bersifat kompak dan kecil berbanding pelekap equatorial. Malah balaicerap dengan teleskop bersaiz besar semua menggunakannya secara meluas. Berikut adalah beberapa contoh pelekap altazimuth yang tedapat di pasaran, malah ada juga set teleskop yang datang besekali dengan pelekap jenis ini.
Pelekap equatorial pula berfungsi mengikut pergerakan objek langit dengan melawan arah pusingan paksi Bumi. Jika pelekap altazimuth menggunakan bearing dan sudut dongak, pelekap equatorial pula berasaskan kepada sistem koordinat right ascension dan declination. Oleh sebab itu, salah satu paksi pusingan pelekap equatorial akan disamakan dengan paksi Bumi apabila dipasang berdasarkan kepada arah utara benar dan latitud kawasan ia dipasang. Walaupun ia rumit untuk dipasang, namun sistem pelekap ini mudah untuk mengikut pergerakan objek dilangit apabila dipasang dengan betul. Antara kekurangan pelekap equatorial adalah ia perlu mempunyai pemberat untuk mengimbangi sistem teleskop
Imej 4: Kedua sistem koordinat ini adalah rujukan kepada cara kedua-dua pelekap ini berfungsi menjejak objek langit
Kedua-dua sistem pelekap ini boleh dipasang motor elektronik dan juga komputer untuk memudahkan ia menjejak objek langit. Untuk cerapan secara visual menggunakan mata kasar, kedua-dua jenis pelekap ini sesuai dan sebenarnya mudah untuk digunakan. Walaubagaimanapun, kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Perbezaan ketara adalah cara ia menjejak objek samawi sebagai contoh, planet. Bagi sistem altazimuth, anda perlu menggerakkan dua sudut atau paksi untuk mengikut pergerakan planet tersebut sepanjang malam. Manakala bagi sistem equatorial pula, selepas dipasang dengan betul, anda hanya perlu menggerakkan satu paksi sahaja untuk mengikut pergerakan planet yang dilihat sepanjang malam.
Selain itu, antara kekurangan penjejak altazimuth adalah field rotation yang terhasil dalam proses ia menjejak objek langit. Keadaan ini paling ekstrem apabila objek berada tinggi di atas langit dan melintasi garisan meridien iaitu sempadan langit timur dan barat. Ia lebih jelas apabila imej dirakam menggunakan kamera. Walaubagaimanapun, field rotation ini tidak berlaku jika menggunakan pelekap equatorial. Oleh itu, ia menjadi kelebihan kepada ahli astrofotografi menggunakan pelekap jenis equatorial. Berasaskan pelekap jenis equatorial, terdapat juga sistem pelekap yang mudah dan ringkas yang hanya menggunakan satu motor untuk menjadikannya penjejak astrofotografi. Namun, pelekap equatorial mempunyai masalahnya tersendiri apabila melintasi meridien. Pelekap equatorial terpaksa membalikkan sistem teleskop apabila melintasi sempadan meridien tersebut sebanyak 180°.
Imej 5: Dedahan lama ketika merakam imej bintang pada penjejak jenis altazimuth menyebabkan field rotation. Bagi mengatasi masalah ini, balai cerap yang menggunakan penjejak jenis ini terpaksa menambah instrumentasi Field Rotator bagi memusingkan kamera sambil dedahan dibuat.
Dalam kemajuan teknologi zaman sekarang juga, pelekap astronomi mula menggunakan motor jenis harmonik atau direct drive dan menghapuskan penggunaan gear. Susulan itu, sistem pelekap equatorial jenis harmonik kini tidak perlu kepada pemberat menyebabkannya menjadi lebih ringan dan mudah untuk dipasang. Kesemua sistem yang bermotor ini juga membolehkan sistem kawalan penjejak disambung kepada sistem komputer menjadikannya lebih kompleks namun versatil. Sistem kawalan ini juga berbeza mengikut jenama pelekap. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui fungsi dan keperluan sebenar sesebuah balai cerap bagi membuat pemilihan pelekap yang paling sesuai.
Imej 6: Beberapa harmonik atau juga kenali sebagai direct drive mount yang agak terkenal di pasaran semasa.
Sesuai untuk pengguna yang kerap bergerak, namun agak kecil penggunaan balai cerap.