Lensa kamera merupakan cara paling mudah untuk mereka yang ingin memulakan perjalanan dalam menceburi bidang astrofotografi. Ini kerana ia menggunakan peralatan yang boleh juga digunakan untuk mengambil gambar harian yang tidak khusus kepada penggunaan astronomi semata-mata. Jenis lensa juga memudahkan peminat untuk mencari sumber-sumber rujukan tambahan selain daripada laman-laman web khusus untuk astrofotografi. Kelebihan penerokaan menggunakan lensa juga membolehkan kita memahami fungsi setiap satu tetapan sebelum meneroka lebih jauh yang mungkin menyukarkan pemahaman. Selain itu, penggunaan optik jenis lensa juga memudahkan mereka yang memang mempunyai kamera sendiri yang mungkin sebelum ini banyak digunakan untuk merakam gambar harian biasa.
Laman ini tidak akan meneroka penggunaan kamera telefon pintar buat sementara waktu kerana terdapat banyak limitasi yang menyebabkan ia kurang sesuai untuk bidang astrofoto yang lebih serius.
Lensa kamera yang sesuai digunakan untuk astrofotografi terbahagi kepada 3, seperti berikut:-
Lensa Telefoto (Zoom)
Lensa Prima (Fixed/Prime)
Lensa Pandangan Luas (Wide Angle)
Lensa jenis ini selalunya bermula dari panjang focus (focal length) sekitar 135mm dan lebih tinggi sehingga mencapai 1,500mm dan boleh dilaras. Kebiasaannya lensa ini juga banyak digunakan oleh jurufoto sukan dan juga burung. Lensa ini merupakan titik permulaan bagi jurufoto yang memilikinya untuk meneroka astrofoto khususnya dalam merakam gambar bulan dan juga objek DSO. Walau bagaimanapun, kos lensa jenis ini selalunya tinggi dan kebanyakan ahli astrofoto kurang menggunakannya atas faktor ini dan mencari solusi menggunakan teleskop yang mempunyai kelengkapan sokongan lain bagi tujuan khusus astrofotografi.
Lensa jenis ini termasuk jenis telefoto dengan panjang fokus yang tinggi seperti dierangkan di atas, namun tidak boleh dilaras (kekal). Lensa jenis ini lebih banyak digunakan oleh ahli astrofoto kerana ia mengurangkan kerumitan dalam mengawal laras jarak fokus (zoom) serta kualiti imej yang lebih tinggi. Lensa jenis ini juga lebih murah berbanding sesetengah lensa astrofoto menyebabkannya menjadi pilihan.
Kanta jenis ini juga banyak digunakan untuk merakam objek DSO yang besar seperti gugusan kluster bintang dan juga nebula yang luas. Saiz lensa ini juga selalunya kecil dan mudah untuk dibawa ke tempat-tempat yang jauh dari pencemaran cahaya.
Lensa jenis pandangan luas atau wide angle merupakan lensa yang sesuai untuk merakam langit dengan objek seperti Bima Sakti (Milky Way) bersama objek bumi seperti gunung atau bangunan. Ia juga sesuai digunakan untuk merakam fenomena seperti hujan meteor serta fenomena lain yang meliputi kawasan yang agak luas. Ini termasuk juga gambar seperti jejak bintang (startrails).
Info Tambahan Tentang Lensa
18mm f/3.5 = Bima Sakti & jejak bintang.
20 - 135mm f/1.2-2.8 = Buruj-buruj & sudut luas.
100-300mm f/2.8-f/4 = Objek Langit Malap yang besar.
300-1000mm f/2.8-f/8 = Objek Langit Malap.