Teleskop katadioptrik ini boleh dikatakan sebagai teleskop hibrid kerana ia adalah hasil gabungan antara kanta dan cermin untuk menghasilkan imej. Teknik ini adalah bagi mengatasi permasalahan yang timbul daripada beberapa rekabentuk teleskop pantulan demi mendapatkan imej yang terbaik.
Bagaimana Teleskop Katadioptrik Berfungsi?
Cahaya masuk ke dalam tiub teleskop melalui kanta pembetul yang membantu menghilangkan aberasi.
Kemudian dipantul oleh cermin utama yang berada di hujung tiub teleskop ke arah cermin kedua yang dilekap di tengah-tengah kanta pembetul.
Seterusnya cahaya itu dipantul ke arah lubang di cermin utama dan masuk ke kanta mata.
Jika ingin menyelaras fokus, cermin utama yang akan digerakkan bukan kanta mata.
Teleskop asasnya adalah dari jenis Cassegrain dan ditambah corrective lens bagi memperbetulkan spherical abberation. Teleskop ini banyak dijual dalam bentuk kita bersekali dengan penjejak dan antara teleskop terbaik bagi tujuan cerapan planet.
Teleskop katadioptrik Maksutov Cassegrain selalunya datang dengan f-ratio yang tinggi menghasilkan panjang fokus atau kuasa pembesaran yang lebih tinggi. Namun disebabkan itu juga tahap kecerahan objek yang dicerap juga akan lebih malap berbanding Schmidt-Cassegrain. Namun saiz fizikal teleskop Maksutov adalah lebih kecil dan mudah untuk dibawa bagi tujuan cerapan awam.
Kelebihan Teleskop Katadioptrik
Kebanyakan teleskop katadioptrik adalah mudah alih, menjadikan ia mudah untuk dibawa kemana-mana dan penyimpanan. Optik Teleskop Katadioptrik sesuai untuk kegiatan astronomi kerana telah diperbetulkan kesalahan-kesalahan optik cermin dan kanta.
Kekurangan Teleskop Katadioptrik
Teleskop ini mungkin mengalami pengurangan penerimaan cahaya kerana kedudukan cermin kedua ditengah-tengah kanta pembetul. Ia juga mengalami peralihan imej kerana cermin bergerak ketika sedang difokus.