Untuk melakukan aktiviti astrofotografi, perkara yang paling penting adalah pemilihan waktu yang sesuai. Hal ini akan membantu anda membuat perancangan yang lebih awal, selain bulan terdapat banyak objek-objek langit yang menarik untuk anda rakam seperti Bima Sakti, Nebula, Buruj-Buruj, Komet, Hujan Meteor dan banyak lagi fenomena.
Gambar diatas adalah kedudukan buruj yang tetap di angkasa, sedia maklum bahawasanya yang berputar adalah bumi mengelilingi matahari. Untuk memudahkan anda fahami, nombor pada gambar diatas merujuk kepada bulan-bulan dalam tahunan kalender Gregorian, warna kuning ditengah-tengah ialah matahari, manakala warna biru adalah bumi. Sebagai contoh, pada bulan April anda tidak akan nampak buruj Aries, kerana buruj tersebut muncul pada waktu siang dan ia tidak kelihatan kerana cahaya matahari jauh lebih terang.
Salah satu contoh laman web yang sesuai untuk digunakan untuk mendapatkan maklumat asas berkaitan almanak bagi Malaysia adalah FalakOnline. Banyak juga sumber-sumber lain pada peringkat antarabangsa yang mudah dijumpai di internet, namun kita perlu berhati-hati kerana fenomena astronomi bukan sahaja bergantung kepada masa, malah lokasi juga menentukan samada fenomena astronomi dapat dilihat dari sesuatu tempat seperti Malaysia.
Aktiviti astronomi anda akan bertambah menarik jika anda peka dengan fenomena sepanjang tahun seperti hujan meteor, gerhana bulan dan matahari. Oleh itu, anda perlu tahu fenomena apa yang akan berlaku pada masa akan datang agar boleh membuat perancangan dengan rapi.
Apakah itu juraian meteor atau hujan meteor?
Juraian meteor adalah salah satu fenomena astronomi yang terjadi ketika sejumlah pancuran meteor bersinar pada waktu malam. Meteor ini terjadi kerana adanya serpihan-serpihan di luar angkasa yang dinamakan meteoroid, yang memasuki atmosfera bumi pada tahap kelajuan yang tinggi. Kebiasaanya, meteor ini hancur ketika memasuki atmosfera bumi kerana ia cuma sebutir batu yang kecil. Serpihan yang berjaya jatuh kebumi dinamakan sebagai meteorit.
Secara umumnya, hujan meteor terjadi ketika bumi melintasi orbit sesebuah komet.
Rajah diatas menunjukkan contoh bagaimana terjadinya hujan meteor. Waktu yang sesuai untuk melihat atau merakam gambar hujan meteor adalah pada waktu malam yang tiada gangguan cahaya bulan.
Untuk merakam gambar astrofotografi meteor, tetapan kamera adalah sama seperti tetapan untuk buruj dan Bima Sakti. Ia juga memerlukan sedikit tuah kerana juraian muncul bukan dari satu arah tetapi pelbagai arah dan susah untuk dijangkakan.
Jadual Hujan Meteor 2015
Almanak Astronomi
Almanak astronomi adalah kalender khusus untuk fenomena astronomi yang berlaku sepanjang tahun. Jika anda ingin melakukan aktiviti astronomi mengikut fenomena, anda perlu merujuk kepada almanak. Anda juga perlu rujuk kesesuaian lokasi anda.
Anda boeh rujuk disini : www.seasky.org/astronomy/astronomy-calendar-current.html
Antara perisian yang boleh digunakan untuk merancang sesi dan waktu yang sesuai untuk merakam imej-imej objek langit. Namun ia lebih sesuai untuk gambar-gambar berkonsepkan wide angle atau nightscape. Bagi objek yang lebih khusus seperti nebula, komet dan sepertinya, perisian planetarium seperti Stellarium dan SkySafari adalah lebih sesuai.
Salah satu cara paling berkesan adalah dengan menggunakan perisian planetarium seperti Stellarium, Cartes du Ciel, SkySafari, SkyX dan banyak lagi. Kelebihan perisian seperti ini adalah ia boleh memberi gambaran keadaan langit mengikut tempat dan masa yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, ia juga boleh dikemaskini dengan maklumat-maklumat terkini seperti kedudukan komet, asteroid, satelit dan sebagainya. Ini memberikan fleksibiliti yang tinggi dan memberi pulangan yang berbaloi kepada mereka yang pandai menggunakannya.
Apabila melihat objek langit malam, anda juga perlu mengambil kira faktor Fasa Bulan. Bukan sekadar anda mengetahui fasa bulan untuk merakam imej bulan seperti waktu bulan penuh atau anak bulan, termasuk juga fenomena seperti gerhana bulan.
Lebih penting adalah mengetahui fasa bulan kerana ia menjadi penghalang apabila ingin merakam imej objek-objek malap seperti nebula, galaksi, komet dan sebagainya. Ini kerana objek-objek ini akan tenggelam dalam kecerahan langit yang disebabkan oleh keberaadaan bulan.