Berikut adalah tatacara atau workflow yang biasa diamalkan sehingga awal tahun 2026 dimana skrip-skrip baru seperti Veralux dan SyQon untuk perisian Siril mula bertapak dengan kuat memberikan saingan yang sengit kepada perisian pemprosesan imej yang mahal seperti PixInsight.
Semua pemprosesan dimulakan dalam keadaan imej yang linear tanpa sebarang perubahan kepada kecerahan atau stretch sehingga ketika imej bintang dikeluarkan. Selepas bintang dikeluarkan daripada imej, meninggalkan kepulan awan nebula atau galaksi, maka pada ketika itulah baru sebarang perubahan kecerahan atau stretch dimulakan dan proses ini mula dipanggil non-linear.
Tutorial ini menunjukkan proses dalam perisian Siril yang menggunakan semua fungsi yang percuma (FREE)!
Tatacara kasar pengoperasian Siril boleh lihat di SINI.
Untuk mengikuti perkembangan pemprosesan Siril, adalah baik untuk menyertai kumpulan Facebook Siril User Group. Kumpulan disini amat aktif dan boleh membantu jika terdapat sebarang pertanyaan atau jika anda menghadapi sebarang masalah dalam Siril atau skrip lain didalamnya.
HIJAU- Pemprosesan dalam Mode LINEAR
UNGU - Pemprosesan dalam Mode NON-LINEAR (STRETCHED)
Antara perkara pertama yang perlu dilakukan sebelum sebarang pemprosesan imej selepas stacking, adalah untuk membuang kawasan yang terdapat perbezaan tindanan imej. Ini selalu berlaku pada bahagian sisi dan akan kelihatan seperti kotak hitam. Bagi mengelakkan gangguan dalam pemprosesan imej, ia perlu dibuang terlebih dahulu.
Pilih kotak pada imej yang ingin disimpan, mengelakkan ruang tepi/sisi dimana selalu terdapat kesan hasil stacking. Right-Clicki pada kotak yang telah dipilih dan pilih Crop - Crop.
*View Mode adalah dalam keadaan AutoStretch
Proses seterusnya adalah Background Extraction. Proses ini akan pergi kepada kawasan gelap pada imej dan mengukur serta mengira perbezaan kawasan-kawasan ini bagi mencari perbezaan kecerahan yang terhasil daripada pencemaran cahaya ataupun kekurangan pada optik. Terdapat beberapa cara untuk menjalankan proses Background Extraction.
Antara yang paling banyak digunakan pada tahun 2026 ini adalah AutoBGE dan Graxpert AI.
Klik Apply.
Pemprosesan Graxpert ini juga percuma dan boleh dijalankan secara perisian sendiri. Apabila digunakan secara perisian sendiri, ia boleh digunakan untuk Crop, Background Extraction dan juga Denoise.
Dalam contoh ini kita hanya akan menjurus kepada Graxpert-AI Background Extraction. Terdapat juga fungsi Denoise dalam skrip Graxpert ini.
Jika kali pertama, anda perlu download model menggunakan Model Manager. Kemudian baru ia boleh dipilih untuk pemprosesan.
Hasil selepas Graxpert-AI Background Extraction.
Ia telah membuang kesan kecacatan optik dan pencemaran cahaya sedikit menggunakan algorithma yang ada serta library imej yang ia gunakan untuk latih.
*View Mode adalah dalam keadaan AutoStretch
Sebelum membuat kalibrasi warna dengan tepat, imej ini perlu ditentukan kedudukannya dengan tepat. Oleh itu, ia perlu kepada sistem koordinat bintang dengan teknik Astrometry. Ia boleh diakses pada Tools - Astrometry - Image Plate Solver.
Untuk menggunakan menu ini, anda perlu tahu nama objek dalam imej selalunya nama Deep Sky Objek seperti Messier atau NGC dan juga panjang fokus teleskop (focal length/zoom) dan juga saiz pixel kamera yang digunakan. Klik OK pada tingkap Image Plate Solver dan lihat pada tingkap Console Siril untuk mesej: updating astrometry data.
Kadangkala imej akan diputar/flip selepas proses ini.
Jika imej anda masih terdapat masalah kehijauan, Siril menyediakan satu proses Remove Green Noise pada menu Image Processing. Namun, jika Graxpert AI Background Extraction berjalan dengan lancar, proses ini tidak diperlukan.
Bagi memperbetulkan warna dengan tepat, Siril menyediakan kebolehan untuk menjalankan kalibrasi menggunakan library katalog bintang supaya warna yang terhasil adalah menetapi warna sebenar. Proses ini hanya boleh digunakan setelah imej anda telah dimasukkan data Astrometry. Ia boleh diakses pada:
Image Processing - Color Calibration -
Jika berjaya, Console akan menunjukkan mesej berikut:
Photometric Color Calibration succeeded.
Untuk SpectroPhotoMetric Color Calibration (SPCC), anda boleh lihat video di bawah kerana tetapannya adalah lebih rumit namun menjanjikan hasil yang lebih tepat.
Proses seterusnya adalah untuk mengurangkan kesan hingar atau noise pada imej pada keadaan data imej masih LINEAR dan belum diolah stretching. Antara dua skrip yang terbaik dan percuma untuk digunakan dalam Siril adalah SyQon Prism (Mini) dan Veralux Silentium. Untuk cara penggunaan Veralux Silentium, boleh rujuk di SINI. Manakala SyQon Prism boleh menggunakan tetapan secara default dan GPU diaktifkan mahupun tidak. Jika hasil yang pemprosesan kelihatan tidak menjadi, maka klik undo dan ubah tetapan GPU ini dan ulang semula proses berkenaan.
Teknik yang telah membawa pemprosesan imej astronomi ke satu era baru adalah dengan terhasilnya cara untuk mengasingkan bintang daripada imej. Ini membolehkan objek seperti gas nebula dan galaksi diproses secara berasingan tanpa memberi kesan kepada bintang. Ini kerana bintang adalah objek yang jauh lebih cerah berbanding signal yang ada pada nebula dan galaksi. Apabila keduanya diproses secara bersama, ia akan menyebabkan keseluruhan imej sukar untuk dikawal menyebabkan samada bintang menjadi terlalu terang atau nebula kurang menyerlah.
Revolusi ini telah dibawa oleh seorang peminat astrofotgrafi Mikita (Nikita) Misiura dengan perisiannya Starnet++. Ia telah memudahkan proses pengasingan imej bintang dan nebula dengan semudah 1 klik sahaja. Pada 2026, SyQon telah menambah baik lagi proses ini dengan menambah baik lagi kualiti signal pada waktu pengasingan bintang dilakukan. Dalam tutorial ini kita akan menggunakan skrip SyQon Starless Axiom (FREE Version).
Berikut adalah cara untuk mengakses menu SyQon Starless dari bahagian Skrip perisian Siril.
Untuk mengelakkan sebarang isu pada ketika pemprosesan pengasingan bintang, Disable GPU boleh dipilih. Namun, ia akan melambatkan sedikit proses ini.
Sebelum Star Removal
*Kedua-dua gambar ini adalah dalam mode AutoStretch
Selepas Star Removal (Starless)
DIsinilah kekuatan siri skrip Veralux dengan pemprosesan stretching HyperMetric yang dibangunkan. Semudah setting Auto-Calc dengan pemilihan processing mode yang dipilih oleh pengguna, imej starless yang sebelum ini LINEAR, akan diolah dan dicerahkan dengan tepat menggunakan data yang tersembunyi sebelum ini. Histogram akan mula ditarik (sebab itu dipanggil stretch) bagi memenuhi histogram sebenar 32bit atau 16bit bergantung kepada pemilihan bit depth imej dan pilihan pengguna.
Sebelum HyperMetric Strech, imej Starless dalam bentuk LINEAR dan kelihatan gelap.
Selepas menjalani pemprosesan HyperMetric Stretch, data yang tersembunyi ditarik bagi mengisi ruang histogram dan kelihatan lebih cerah.
Jangan dilupakan juga beberapa fungsi Stretch yang ada didalam perisian asal Siril. Walaupun ia lebih manual, ia masih ada dan sedia untuk digunakan dengan hasil sentuhan khas para pengguna.
Ia terletak dalam Image Processing - Stretches
Setelah selesai semua pemprosesan imej Starless, maka ia boleh disimpan sebagai file yang baru. Ini bagi memudahkan jika kita rasa untuk mengolah kembali Starless dengan cara yang lain pada masa akan datang. Sebaiknya, pilih mode 32 bit bit depth dan simpan sebagai fits format.
Akhir sekali adalah proses untuk mencantumkan semula imej Starless (imej tanpa bintang) dan StarMask (imej bintang sahaja) menjadi satu imej akhir. Untuk proses ini, terdapat beberapa tool atau skrip didalam Siril, namun kita hanya akan tumpukan kepada skrip Veralux Star Composer bagi tahun 2026.
Pilih imej Starless dan StarMask yang telah disimpan sebelum ini pada butang 1 (StarMask) dan 2 (Starless). Dan terdapat beberapa tetapan yang boleh dipilih mengikut kesesuian dan kehendak pengguna.
Sama seperti proses simpan imej pada langkah 2.5, imej boleh disimpan dalam mode 32bit. Namun, jika ingin memudahkan perkongsian pada platform lain, adalah lebih baik untuk menurunkan mode imej kepada 16 bit yang mana ia boleh dibuka perisian pemprosesan imej lain seperti Adobe Photoshop, GIMP, Affinity dan lain-lain. Format juga boleh dipilih seperti dibawah: (JJPG, BMP, PNG< TIFF, dll)