Pemandangan malam (Nightscape) ialah salah satu teknik astrofotografi yang menggabungkan pemandangan langit malam dengan elemen latar depan seperti gunung, pokok, bangunan atau tasik. Kebanyakan ahli fotografi memilih pemandangan berlatarkan Bima Sakti, aurora, hujan meteor, buruj dan Bulan.
Unsur langit dan bumi
Nightscape menekankan pemandangan langit malam seperti bintang, bulan, Bima Sakti dan pemandangan alam sesuatu kawasan yang mengandungi unsur-unsur seperti gunung-ganang, bukit, sungai, bangunan dan tasik.
Komposisi artistik
Imej nightscape memerlukan susun atur elemen dalam gambar bagi menghasilkan imej yang seimbang, menarik dan harmoni. Jurufoto akan menggunakan prinsip peraturan satu pertiga (rule of third) untuk meletakkan subjek utama di titik fokus. Imej nightscape juga memerlukan keseimbangan antara cahaya dan bayang, garisan panduan semula jadi seperti sungai. laut atau jalan serta kedalaman ruang untuk menonjolkan langit malam dalam imej.
Pendedahan panjang
Pendedahan panjang (long exposure) adalah tetapan untuk membenarkan kamera merakam cahaya untuk tempoh masa yang lebih lama daripada biasa. Pendedahan panjang dalam tempoh beberapa saat membolehkan lebih banyak cahaya dari bintang, bulan atau jalur Bima Sakti ditangkap oleh sensor kamera dan langit malam kelihatan lebih terangg dan jelas di dalam gambar
Keseimbangan cahaya
Imej nightscape memerlukan keseimbangan tahap pencahayaan antara langit dan unsur di permukaan bumi dalam satu bingkai gambar. Kebiasaannya jurufoto akan menggunakan teknik pendedahan cahaya berganda (exposure blending), penambahan cahaya buatan seperti light painting atau memproses gambar dengan menggunakan perisian seperti Adobe Photoshop. Pemilihan waktu yang sesuai adalah sangat penting untuk menghindari daripada pencemaran cahaya seperti cahaya lampu dan cahaya bulan bergantung pada ciri-ciri imej yang mahu diambil.
Bebas daripada jejak bintang
jejak bintang (star trail) ialah garisan-garisan cahaya yang terbentuk dalam gambar langit malam apabila kamera merakam pergerakan bintang akibat putaran bumi. Di dalam imej nightscape bintang hanya kelihatan statik dan tidak bergaris. Bagi mengelakkan wujudnya jejak bintang di dalam gambar, tetapan pendedahan lama pada kamera perlulah kurang daripada 30 saat bergantung pada panjang fokal lensa yang digunakan.
Memilih kawasan yang gelap dan terhindar daripada pencemaran cahaya untuk menangkap imej dengan cahaya bintang dan galaksi yang samar-samar
Menggunakan cahaya bulan yang separa untuk memberi cahaya kepada objek bumi seperti pemandangan gunung ganang atau bangunan secara sekata. Dalam fasa separa ini, cahaya bulan tidak terlalu kuat memberikan pencahayaan objek bumi dan juga objek langit secara hampir sekata.
Dalam fotografi malam atau nightscape, kamera perlu menggunakan pendedahan panjang untuk menangkap cahaya bintang dan suasana sekeliling. Ketika shutter terbuka lama, walaupun sedikit pergerakan kamera boleh menyebabkan imej menjadi kabur atau bintang kelihatan bergoyang. Oleh itu, penggunaan tripod yang kukuh sangat penting kerana ia memastikan kamera berada dalam keadaan stabil sepanjang rakaman. Dengan cara ini, gambar yang dihasilkan akan lebih tajam, jelas, dan tidak terjejas oleh gegaran tangan atau hembusan angin.