Tatacara Analisis Data Kualitatif

Data kajian kualitatif yang didapati daripada dokumen, temuduga atau pemerhatian akan melalui fasa analisis seperti berikut:

1. Tahap pra-analisis – semua nota lapangan dibaca, disemak, ditingkat dan dilengkapkan. Semua nota dilabel menurut jenis.

2. Tahap kemasan data – data ditranskripsikan dalam ‘word processing’atau dalam format analisis tekstual menggunakan komputer.

3. Tahap pameran data – data dipamirkan dalam bentuk jadual, lembaran tanda (tally) dan rumusan.

4. Tahap verifikasi data – semua prosedur yang membawa kepada kesimpulan dinyatakan dengan tepat.

5. Tahap dapatan – penyemakan dan interpretasi dapatan. Contohnya, bagi data dokumen: data dikutip dan diubah menjadi teks, teks dilabel dan dikategorikan agar beberapa tema dapat diwujudkan agar bentuk frasa yang sama serta hubungan dan kesamaan atau perbezaan dapat dikenal pasti. Selepas itu data yang telah ditapis dinilai mengikut kajian lepas.

Data yang dikumpulkan daripada temu bual disusun secara sistematik. Penyelidik mula mengesan pola tertentu tentang jawapan-jawapan responden. Pola ini dijadikan sebagai panduan untuk menyusun dan menganalisis data. Daripada pola jawapan responden, pengkaji boleh menyusun data-data dalam jadual. Bagi memudahkan pengkaji menulis dapatan kajian, dicadangkan maklumat yang diperoleh melalui pengumpulan data kualitatif, diletakkan dalam bentuk jadual dan dihantar kepada pakar penilai bagi tujuan mendapatkan kesahan tema item temubual/pemerhatian oleh pakar penilai.

Setelah mendapatkan persetujuan daripada pakar penilai, tema-tema yang diterbitkan itu dikatakan telah mempunyai kesahan. Dapatan data kualitatif boleh ditulis dalam pelbagai cara untuk memberikan kefahaman kepada pembaca akan perkaitan tema dan persoalan kajian yang ingin dijawab.