Objektif dan Soalan Kajian
Penyelidikan Tindakan
Perlu menulis secara spesifik pernyataan objektif yang berkaitan pengkaji dan peserta kajian
Objektif untuk pengamal selaku pengkaji digambarkan melalui pemilihan perkataan tingkah laku yang boleh diukur atau eksplisit
Objektif dapat menjawab isu kajian
Objektif yang ditulis dapat diukur pada akhir kajian
Objektif dapat dilaksanakan melalui tindakan atau kaedah yang dicadangkan. Pernyataan objektif yang melibatkan peserta kajian perlu mengandungi tiga perkara berikut:
Pencapaian tindakan (misalnya “menguasai kemahiran penambahan mengumpul semula …”)
Fokus (misalnya, “konsep asas penambahan mengumpul semula murid pemulihan Tahun Tiga”)
Tindakan (misalnya, “Tikar Ajaib”)
Kata kerja yang digunakan dalam objektif dan soalan kajian boleh diukur, contoh pernyataan objektif:
Menghuraikan cara murid menguasai kemahiran penambahan mengumpul semula menggunakan Tikar Ajaib. (kepada peserta kajian).
Memperihalkan amalan penambahbaikan pedagogi guru dalam meningkatkan penguasaan murid menambah dengan mengumpul semula menggunakan Tikar Ajaib. (kepada pengamal).
Soalan kajian mestilah relevan dengan objektif kajian. Contoh soalan kajian merujuk kepada contoh pernyataan objektif di atas:
Bagaimanakah murid menguasai kemahiran penambahan mengumpul semula menggunakan Tikar Ajaib?
Bagaimanakah guru menambah baik amalan pedagogi bagi meningkatkan penguasaan murid menambah dengan mengumpul semula melalui penggunaan Tikar Ajaib?
Perhatian:
Elakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan seperti mencari “perbezaan”, “perhubungan”, “keberkesanan” dalam pernyataan objektif kerana perkataan sedemikian tidak menggambarkan konsep penyelidikan Tindakan.
Pernyataan hipotesis nul dan alternatif tidak sesuai dinyatakan dalam kajian ini.
Penyelidikan Eksperimen
Objektif merupakan pernyataan khusus yang jelas, boleh diukur dan mampu dicapai.
Objektif yang baik menggunakan perkataan perlakuan. Ciri-ciri penulisan objektif kajian
yang baik ialah:
Relevan, boleh dicapai, jelas, logikal, boleh diukur dan sesuai dengan kaedah kajian
Menggambarkan nilai hubungan/ perbezaan, sumbangan atau kesan interaksi antara pembolehubah yang dikaji (kuantitatif)
Mengambarkan penerokaan ke arah memahami (kualitatif)
Contoh Objektif Kajian:
Mengenal pasti kesan penggunaan Kaedah e-Pembelajaran terhadap pencapaian Sains pelajar sekolah rendah berbanding pelajar yang tidak menggunakan Kaedah e-Pembelajaran.
Mengenal pasti keberkesanan Modul Ekosistem Hutan Tropika terhadap pengetahuan pelajar sekolah menengah berbanding pelajar yang tidak menggunakan Modul Ekosistem Hutan Tropika.
SOALAN KAJIAN
Soalan kajian ditulis dalam bentuk soalan yang jelas, berfokus, selari serta dapat menjawab objektif kajian. Soalan kajian dibina berdasarkan permasalahan kajian untuk membantu pengkaji mencapai objektif kajian.
Contoh Soalan Kajian:
Adakah pelajar yang menggunakan Kaedah e-Pembelajaran mempunyai pencapaian Sains yang lebih tinggi berbanding pelajar yang tidak menggunakan kaedah tersebut?
Adakah pelajar yang menggunakan Modul Ekosistem Hutan Hutan Tropika mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi berbanding pelajar yang tidak menggunakan modul tersebut?