Kajian Kualitatif

Kebolehpercayaan Data Kualitatif

Merriam (1998), mentakrifkan kebolehpercayaan atau ‘reliability’ adalah sejauhmana dapatan kajian boleh diulang atau direplikasikan. Dengan perkataan lain, adakah kajian ini, jika diulang akan menghasilkan dapatan yang sama. Namun menurut Merriam (1998) lagi, dalam penyelidikan kualitatif, yang melibatkan bidang sains sosial, adalah agak sukar untuk mendapatkan dapatan yang sama kerana perlakuan manusia adalah tidak statik.

Miles & Huberman (1994), proses menyemak kod bukan hanya membantu dalam memberi makna atau definisi yang tepat pada data-data mentah kajian, malah ianya satu cara yang baik untuk menyemak kebolehpercayaan.

Formula pengiraan kebolehpercayaan pada kod kajian. (Sumber: Miles & Huberman (1994).

Kesahan Data Kualitatif

Kesahan (validity) dalam kualitatif adalah satu proses untuk mendapatkan kebenaran dengan berada lama di tempat kajian serta mempunyai hubungan yang rapat dengan responden, (Creswell, 2007). Terdapat lapan strategi untuk menentukan kesahan dalaman misalnya masa dan kekepan bersama responden, triangulasi, ulasan oleh rakan (peer review), semakan oleh responden (member checking), deskripsi yang mendalam (rich thick description), audit luaran (external Audit), penjelasan mengenai bias sebagai pengkaji (clarifying researcher biases) dan analisis kes secara negatif, (Creswell, 2007)

1. Masa yang lama di tempat kajian dan kekerapan bersama responden

Apabila pengkaji berada lama di tempat kajian, membuatkan dia lebih rapat dan memahami budaya, isu kajian dengan terperinci. Namun, berada dengan lamanya di tempat kajian tidak mencukupi, seandainya tidak disertakan dengan kekerapan memerhati responden dan berinteraksi bersama mereka. Jika masa yang lama dan lebih kerap bersama responden, maka ‘rapport’ atau hubungan yang baik akan terbentuk antara responden dan pengkaji. Apabila hubungan baik telah terbina, maka lebih senang untuk responden meluahkan pandangan, perasaan terhadap isu kajian.

2. Triangulasi (triangulation)

Marshall dan Rossman (2006) triangulasi bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kebenaran, tetapi dapat memberi gambaran mengenai dunia sosial dari pelbagai perspektif. Terdapat 4 jenis kaedah triangulasi, iaitu (a) sumber data (orang, tempat, masa); (b) kaedah (temu bual, pemerhatian, analisa dokumen); (c) penyelidik yang berbeza (peyelidik A, peyelidik B ); dan (d) teori yang pelbagai, (Lim Chap Sam & Chee Kim Mang, 2010; Denzin (1978) dalam Berg (2009).

3. Ulasan oleh rakan (peer review)

Fungsi rakan (peer) adalah membaca, meniliti dan membuat komen yang analitis tentang aspek seperti meodologi, analisa serta interpretasi kajian yang kita jalankan. Rakan ini akan memastikan kita jujur dalam menjalankan kajian.

4. Semakan oleh responden (member checking)

Ini merupakan cara yang terpenting untuk meningkatkan kredibiliti kajian. Pengkaji akan membawa data yang telah di analisis dan di interpretasikan untuk disemak oleh responden kajian. Sebagai contoh, setelah selesai proses transkripsi data temu bual, tema-tema atau kod tertentu akan dibina oleh pengkaji. Maka, responden akan menyemak kod yang telah dibuat pada transkripsi temu bual ini. Pada masa ini, responden akan membuat refleksi terhadap data yang telah diinterpretasi oleh pengkaji.

5. Deskripsi yang mendalam (rich thick description)

Penerangan dan deskripsi yang memdalam tentang aspek kajian, tempat kajian, responden kajian akan menyebakan kajian kita bersifat telus, tanpa ada penyembunyian data-data kajian.

6. Audit luaran (External Audit)

Individu yang mempunyai kepakaran (auditor) akan memeriksa laporan kajian yang telah terhasil. Individu ini adalah seseorang yang tidak mempunyai perkaitan atau terlibat dengan kajian yang kita jalankan. Antara aspek yang akan disemak oleh auditor ini adalah adakah rumusan dan interpretasi hasil kajian disokong oleh datadata kajian yang ada.

7. Penjelasan mengenai Bias sebagai pengkaji (Clarifying researcher biases)

Penjelasan mengenai aspek tertentu seperti pengalaman, anggapan awal, orientasi pemikiran pengkaji dijelaskan di awal kajian, iaitu sebelum kajian di mulakan. Apabila pengkaji telah menjelaskan kesemua aspek-aspek ini dalam laporan kajian, maka akan menyebabkan pembaca lebih memahami kedudukan pengkaji dan pemikirannya terhadap isu kajian. Ini penting kerana kesemua aspek-aspek ini akan mempengaruhi interpretasi data kajian.