Kajian Eksperimental

Kajian eksperimental

Kajian eksperimental merupakan kajian reka bentuk eksperimen yang menghimpunkan amalan pengumpulan maklumat, sama ada dengan kawalan sepenuhnya ke atas pembolehubah atau tidak. Ia dicirikan dengan menipulasi terus atau kawalan ke atas pembolehubah (penyebab) supaya kesannya dapat dilihat pada pembolehubah yang lain (kesan atau akibat). Hubungan sebab akibat ini adalah penting dari perspektif penyelesaian masalah. Kepentingannya dijelaskan oleh Van Dalen (1973). Sebagai satu kemestian hubungan sebab dan akibat itu perlu dikemukakan untuk membolehkan sains mencapai matlamat bagi menjelas, meramal dan mengawal tingkahlaku, kejadian dan peristiwa.

Kaedah Eksperimen

Kaedah eksperimen merupakan penggunaan dan adaptasi kaedah penyelidikan saintifik. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling tepat tetapi agak rumit untuk dijalankan. Antara beberapa ciri kaedah ini termasuklah:

  1. Menggunakan tanggapan bahawa jika terdapat dua situasi yang serba sama dengan satu rawatan diberikan kepada satu daripada situasi itu, maka perbezaan yang diperoleh (jika ada) disebabkan oleh rawatan itu. Oleh itu, kaedah eksperimen melibatkan pengawalan terhadap semua faktor kecuali rawatan yang kesannya hendak dikaji.

  2. Kaedah ini amat sesuai digunakan dalam bilik darjah yang beberapa keadaan dapat dikawal.

  3. Oleh sebab subjek dalam eksperimen ialah manusia maka tidak semua ciri boleh dikawal. Ciri-ciri seperti minat, kebolehan mental dan emosi amat sukar untuk ditentukan. Oleh itu, hasil eksperimen dalam penyelidikan pendidikan tidaklah setepat seperti hasil eksperimen sains.

  4. Dalam bilik darjah, penyelidik ingin mengawal faktor-faktor seperti umur, pencapaian, kecerdasan, kebolehan membaca, status sosia, bangsa dan sebagainya. Faktor-faktor ini akan mengubah ciri-ciri subjek dalam kumpulan dan dalam kumpulan eksperimen.

Langkah-langkah Penyelidikan

i. Merancang Membuat Eksperimen

  1. Mengkaji kenapa perlu dilakukan eksperimen dan menyatakan masalah yang hendak dikaji.

  2. Membaca penulisan dan hasil kajian yang lalu tentang masalah yang hendak dikaji.

  3. Menentukan faktor yang terlibat dalam eksperimen.

  4. Menentukan kaedah eksperimen yang hendak digunakan.

  5. Merancangkan tempat, masa, dan alat untuk melakukan eksperimen.

  6. Membuat percubaan awal.

  7. Memilih subjek yang diperlukan.

ii. Melakukan Eksperimen

  1. Mengawal faktor-faktor yang tidak termasuk dalam eksperimen.

  2. Mencatat langkah-langkah yang dijalankan.

  3. Merekod hasil yang diperoleh.

  4. Mengelas, menganalisis dan mentafsir hasil eksperimen.

  5. Membuat keputusan.

iii. Membuat Laporan

Jenis-jenis Eksperimen

Satu cara yang biasa digunakan untuk mengelaskan jenis eksperimen adalah dengan mengikut jumlah pengumpulan subjek. Terdapat tiga jenis eksperimen yang boleh dilakukan berdasarkan jumlah pengumpulan subjek tersebut.


Eksperimen Satu Kumpulan

Dalam eksperimen jenis ini, rawatan yang kesannya hendak dikaji diberikan kepada satu kumpulan subjek. Hasil penggunaan rawatan itu ditentukan. Langkah-langkah untuk menjalankan eksperimen satu kumpulan ialah:

  1. Memberi ujian pra.

  2. Mengawal semua faktor kecuali rawatan (pembolehubah tak bersandar).

  3. Melaksanakan rawatan pada jangka masa tertentu.

  4. Memberi ujian pasca untuk menentukan kesan rawatan terhadap pembolehubah bersandar.

  5. Membincangkan kesan faktor-faktor lain terhadap pembolehubah bersandar.


Secara ringkasnya, langkah-langkah menjalankan eksperimen satu kumpulan adalah seperti yang berikut:

A = Kumpulan subjek

R1 = Keputusan ujian pra

R2 = Keputusan ujian pasca

X = Rawatan

R1 - R2 = Hasil rawatan

Begitu juga halnya jika kita menggunakan faktor-faktor lain (X1, X2, …). Nilai R2 — R1, (R3 — R2), boleh dihitung.


Kebaikan menggunakan kaedah eksperimen satu kumpulan ialah,

  1. Pelaksanaannya mudah.

  2. Putaran kumpulan atau kawalan kumpulan tidak diperlukan.

Walau bagaimanapun, kaedah ini mempunyai beberapa kelemahan. Antaranya ialah

  1. Kesan daripada satu-satu kaedah akan terbawa-bawa dari satu fasa ke fasa lain dalam eksperimen itu.

  2. Perubahan wujud dalam kebolehan membaca di kalangan subjek dari satu fasa ke fasa yang lain.

  3. Ralat dihasilkan oleh kedewasaan subjek.

  4. Unit-unit pengukurannya tidak sama.

Eksperimen Kumpulan Selari

Dalam eksperimen jenis ini, dua atau lebih kumpulan subjek yang setara atau selari digunakan. Satu daripada kumpulan itu

digunakan sebagai kumpulan kawalan dan satu lagi sebagai kumpulan eksperimen. Rawatan yang kesannya hendak dikaji dikenakan kepada kumpulan eksperimen. Perbezaan yang terdapat pada hasil pengukuran bagi kedua-dua kumpulan sebelum dan selepas rawatan ditentukan. Secara ringkasnya, langkah-langkah menjalankan eksperimen kumpulan selari adalah seperti yang berikut:

A = Kumpulan kawalan

B = Kumpulan eksperimen

R1 — R = Hasil rawatan X

R = Pascaujian—Praujian (Kumpulan kawalan)

R1= Pascaujian—Praujian (Kumpulan eksperimen)

Jika lebih daripada dua kumpulan selari digunakan dan lebih daripada satu rawatan (X, X1, X2, ...) digunakan, langkah-langkah menjalankan eksperimen menjadi seperti yang berikut:

R1 — R = Hasil rawatan X

R2 — R = Hasil rawatan X1

R3 — R = Hasil rawatan X2

Langkah pertama dalam kaedah ini adalah dengan memilih kumpulan selari. Langkah ini agak rumit sedikit sebab wujudnya perbezaan individu dalam kumpulan itu. Walaupun terdapat beberapa pembolehubah yang boleh diukur secara objektif seperti umur, jantina, bangsa, keadaan fizikal, pencapaian masa lalu, kecerdasan dan sebagainya, terdapat juga faktor-faktor lain yang agak susah untuk diukur seperti tabiat membaca, ciri-ciri peribadi (seperti kreatif, naluri ingin tahu, dan sebagainya).

Oleh itu, untuk menyamakan kumpulan-kumpulan beberapa cara digunakan termasuklah:

      1. Memilih subjek secara rawak (memilih subjek bagi setiap kumpulan secara rawak daripada populasi yang besar).

      2. Memilih subjek mengikut skor min dan sisihan piawai (memilih subjek bagi setiap kumpulan mengikut skor dalam IQ, umur, dan sebagainya).

      3. Menggunakan pasangan sepadan, (memilih dua atau tiga subjek yang agak serba sama dan memecahkannya kepada dua atau tiga kumpulan).

Eksperimen Kumpulan Putaran

Kaedah ini menggunakan faktor eksperimen dan faktor kawalan serentak dan bergilir-gilir. Katakan X, faktor eksperimen, dan Y, faktor kawalan. Rajah berikut menunjukkan cara mengendalikan eksperimen dengan menggunakan kumpulan putaran.

R + R3 = Hasil rawatan X

R1 + R2 = Hasil rawatan Y

(R + R3) — (RI + R2) = Perbezaan rawatan X dengan Y

Kaedah ini dapat mengawal faktor perbezaan masa seperti yang terdapat dalam eksperimen satu kumpulan dan faktor menyamakan kumpulan seperti yang diperlukan dalam eksperimen kumpulan selari.

Kuasi ekperimental

Apakah kajian kuasi–eksperimen? Kajian ini biasanya digunakan untuk menilai keberkesanan suatu program apabila responden

kajian tidak dapat diagihkan secara rawak. Dua kumpulan responden yang dipilih mestilah tidak seimbang dan tidak mempunyai ciri-ciri yang sama.


Rekabentuk kuasi-eksperimen digunakan untuk menggantikan reka berbentuk eksperimen tulen apabila dalam proses pemilihan responden kajian, pengagihan secara rawak tidak dapat dilakukan oleh penyelidik (Chua, 2006). Tambahan lagi, kajian ini dilakukan ke atas individu yang sentiasa terdedah dengan ralat-ralat dari luar misalnya perbezaan jantina, umur, latar belakang, pengalaman lepas, pengetahuan sedia ada, pengaruh persekitaran dan sebagainya. Kesemua faktor berkenaan boleh mempengaruhi hasil eksperimen.


Dalam perkataan lain, penyelidik kurang yakin sama ada perubahan pada responden kumpulan rawatan pada akhir eksperimen adalah disebabkan oleh rawatan yang diberikan kepadanya atau faktor-faktor luaran yang lain. Kajian ini biasanya digunakan oleh penyelidik bidang psikologi, sosiologi dan pendidikan (Neuman, 2000). Contoh, seorang penyelidik telah menjalankan kajian tentang keberkesanan program kaunseling ke atas pelajar-pelajar bermasalah disiplin di sebuah sekolah. Kajian ini menggunakan kaedah pemilihan responden untuk pensampelan bertujuan.

Persampelan ini menggunakan ciri-ciri tingkah laku bermasalah disiplin. Kumpulan rawatan merupakan pelajar yang bermasalah disiplin mana kala kumpulan kawalan ialah kumpulan pelajar tidak bermasalah disiplin. Perbezaan yang boleh dikenal pasti dari kedua-dua kumpulan berkenaan ialah jantina, bangsa, umur, tahap IQ, tahap pendidikan, pandangan dan sikap mereka. Sehubungan itu, kajian eksperimen tulen tidak dapat dilakukan tetapi penyelidik berkenaan boleh menjalankan kajian kuasi-eksperimen.

Kajian kuasi-eksperimen menggunakan prosedur persampelan secara kebetulan/ persampelan kesediaan (accidental atau convenience sampling) dan persempelan bertujuan (purposive sampling). Persampelan secara kebetulan, penyelidik memilih mana-mana responden kajian yang ditemuinya atau yang paling dekat dengannya. Pemilihan responden kajian ini akan menimbulkan ralat yang tidak boleh dijangka kerana prosedur persampelan secara kebetulan bukan melalui persampelan rawak (Chua, 2006).

Persampelan bertujuan dalam kajian ini digunakan untuk mendapatkan kumpulan responden yang mempunyai ciri-ciri tertentu mengikut kehendak penyelidik. Sebagai contoh, kajian pelajar bermasalah disiplin. Sampel kajian ialah pelajar-pelajar bermasalah disiplin. Sampel begini bukan merupakan sampel rawak. Terdapat pelbagai reka bentuk kajian kuasi-eksperimen tetapi penjelasan hanya diberikan kepada tiga reka bentuk yang biasa digunakan di kalangan penyelidik dalam bidang pendidikan. Mengikut Chua (2006), terdapat tiga reka bentuk kajian kuasi-eksperimen yang biasa digunakan iaitu:

  1. Ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang (nonequivalent groups pre-post test design),

  2. Reka bentuk regrasi tidak bersambungan (regression-discontinuity design)

  3. Reka bentuk siri masa (time series design).

Reka bentuk ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang merupakan reka bentuk yang paling popular digunakan dalam kajian keberkesanan dalam bidang pendidikan. Reka bentuk ini mempunyai dua kumpulan responden iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama.

Dalam reka bentuk kajian ini, analisis Ujian dan Ujian ANOVA digunakan untuk menentukan perbezaan antara kedua-dua kumpulan responden. Reka bentuk regresi tidak bersambung biasanya digunakan dalam kajian yang melibatkan kumpulan khas misalnya menilai keberkesanan program pemulihan dan menguji keberkesanan program kaunseling ke atas sikap pelajar bermasalah disiplin.

Analisis menggunakan Ujian regrasi. Reka bentuk siri masa merupakan kajian jangka masa panjang yang memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Reka bentuk ini tidak mempunyai kumpulan kawalan. Penyelidik tidak dapat membuat perbandingan sama ada rawatan yang diberikan akan menghasilkan perubahan yang diingini atau pun tidak (Mohd. Majid, 2000).

Pasca ujian akan dilakukan berulang-ulang sepanjang rawatan. Misalnya kajian berkaitan perkembangan pencapaian akademik pelajar yang didedahkan kepada KBSM. Analisis dilakukan melalui pencapaian ujian yang lebih baik.