Pendekatan penyelidikan

Pendekatan ‘positivist’ (kuantitatif)

Positivism atau dikenali dengan “analitik empirikal” merupakan satu falsafah yang berpegang kepada ilmu pengetahuan tulen atau autentik yang di dasarkan kepada pengalaman sebenar sahaja. Spekulasi metafezikal tidak boleh diambil kira. Falsafah ini menjadi pegangan mazhab behaviorisme yang hanya mengambil kira tentang tingkahlaku yang boleh dilihat sahaja. (Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsudin. 2012).

Penyelidikan kuantitatif merupakan satu kajian saintifik yang sistematik berkenaan sifat-sifat kuantitatif dan fenomena serta hubungan antara keduanya menggunakan hipotesis atau teori. Tujuan penyelidikan kuantitatif adalah untuk membina dan menggunakan model Matematik, teori dan hipotesis berkaitan serta bersesuaian dengan fenomena semula jadi.

Data dikumpulkan dan dibuat analisis untuk menjelaskan, menjangka dan mengawal fenomena yang menjadi perhatian. Seterusnya keadaan semasa akan diperjelaskan, diselidiki perhubungan fenomena dengan data kuantitatif serta dikaji punca dan kesannya terhadap pendidikan.

Ciri-ciri penyelidikan kuantitatif

  1. Data yang diperolehi akan dinilai menggunakan analisis statistic yang di wakili menggunakan nombor.

  2. Bertujuan menguji hipotesis menggunakan prosedur secara formal.

  3. Penggunaan kawalan untuk meminimumkan kesan faktor-faktor yang mungkin mengganggu dapatan kajian.

  4. Menggunakan bilangan subjek yang ramai.

  5. Kajian yang objektif.

  6. Menggunakan ujian pensil dan kertas soal selidik dan lain-lain.

  7. Menggunakan pendekatan deduktif.

Pendekatan interpretatif (kualitatif)

Penyelidikan kualitatif merupakan suatu kaedah inkuiri dalam pelbagai disiplin akademik, secara tradisi dalam sains sosial, termasuk kajian pemasaran. Ia bermula dalam bidang sains sosial dan tingkahlaku : sosiologi, antropologi dan psikologi. Tujuan penyelidikan kualitatif adalah untuk mengumpul pemahaman yang mendalam tentang tingkahlaku manusia dan sebab-sebab yang menjadi punca tingkahlaku tersebut.

Kaedah kualitatif mengkaji mengapa dan bagaimana keputusan dibuat, bukan sekadar apa, bagaimana dan bila. Penyelidikan kualitatif digunakan untuk mendapatkan celik akal mengenai sikap manusia, persepsi, tingkahlaku, system nilai, sikap ambil berat, motivasi, aspirasi, budaya dan gaya hidup. (Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsudin. 2012)

Ciri-ciri penyelidikan kualitatif

  1. Tujuan: mencari kefahaman tentang interpetasi manusia mengenai fenomena.

  2. Dunia sebenar dilihat bersifat dinamik yang berubah mengikut persepsi manusia.

  3. Kawalan nilai: nilai dilihat mempunyai kesan dan seharusnya difahami dan diambil kira semasa mengendalikan dan melaporkan kajian.

  4. Fokus secara holistik: gambaran secara keseluruhan dicari.

  5. Orentasi penemuan: teori dan hipotesis terbina daripada data yang dikumpul.

  6. Data subjektif: data merupakan persepsi manusia dalam persekitaran di mana mereka berada.

  7. Instrumentasi: manusia merupakan alat utama untuk mendapatkan maklumat.

  8. Analisis dibuat secara induktif.