IKHLAS ITU ROH AMAL... link
الأعمال صور قائمة ، وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها
Amal itu diibaratkan rangka jasad yang berdiri sementara rohnya ialah rahsia ikhlas yang terdapat padanya.
- Sheikh Ibn Athaillah.
Ada orang yang dianugerahkan oleh Allah makrifat sebelum memiliki amal kerana kehendak-Nya dan hikmah yang hanya diketahui oleh-Nya.
Justeru jika berlaku hal demikian hendaklah dia tiada merasa hairan dan pelik kerana kurniaan-Nya Maha Luas, Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyisihkan sesiapa sahaja yang dikehendaki Nya.
Ada juga mereka yang mencapai makrifat melalui jalan amal...
يؤت الحكمة من يشاء ومن يؤت الحكمة فقد أوتي خيرا كثيرا
Allah mengurniakan al hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki Nya, barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberikan banyak kebaikan.
Justeru pada kalam ini Al Arif biLLah menjelaskan amal yang bagaimana yang dicintainya lalu melayakkan ia menerima anugerah-Nya iaitu syurga makrifat.
Ikhlas ialah rahsia Allah yang diberi pada mereka yang benar-benar jujur dan bersungguh dalam amalnya, para ulama sufi menyebut ada dua syarat asas sesuatu amal itu diterima oleh Allah selain dari ia mesti muafakat dengan sunnah RasuluLLah s.a.w iaitu ; ikhlas dan sidq (jujur).
Ikhlas ialah engkau beramal sesuatu semata-mata kerana Allah manakala sidq pula engkau melakukannya tanpa melihat kekuatan dan keupayaan darimu melakukannya melainkan semata-mata tajalli dan anugerah-Nya.
Ikhlas dan siddiq adalah ubat bagi penyakit tiga serangkai bagi hati iaitu ujub , riya' dan takabur. Jika penyakit 3 serangkai iaitu diabetes, buah pinggang dan sakit jantung mampu membunuh manusia maka begitu juga 3 penyakit hati ini juga mampu mematikan hati jika tiada dirawati.
Penyakit hati ini adalah ibu penyakit-penyakit yang lain. Untuk mencapai ikhlas dan siddiq sekurang-kurangnya hati perlu merasai atau memandang bahawa segala apa yang berlaku adalah ciptaan-Nya Yang Maha Esa...atau Tauhid Afa'al.
Orang yang ikhlas itu ada tiga tingkatan :
1. Ikhlas orang awam melakukan sesuatu kerana Allah pada masa yang sama masih menghendaki bahagian dunia dan akhirat seperti kesihatan, murah rezeki, syurga , bidadari dan selainnya.
2. Ikhlas orang khawwas iaitu hanya menginginkan kebahagiaan akhirat.
3. Ikhlas khawas al khawwas iaitu beramal semata-mata menunaikan hak kehambaan kerana Allah semata-mata
Berkata Ibn Faridh (penyair sufi terkenal) ;
ليس سؤلي من الجنان نعيما غير أني أحبها لأراكها
Daku tiada meminta nikmat syurga pada amalku tetapi daku mencintainya (syurga) untuk melihat Mu di sana.
Kenapa dinamakan surah al ikhlas? sedangkan isi surah hanya menceritakan tentang ke Esaan Allah. Ikhlas itu engkau mengEsakan-Nya dalam segala amal perbuatan zahir dan batin mu.
--- A. Tareqat Syattariyyah