Di Malaysia, pelbagai teknologi bekalan air berkos rendah telah dibangunkan untuk memberi bekalan air selamat kepada pengguna seperti sistem air graviti, sistem bekalan air perigi dan sistem penuaian air hujan ( Yaziz et al. 1989). Sistem penuaian air hujan digunakan apabila tiada bekalan air alternatif yang sesuai boleh didapati (Gikas & Tsihrintzis 2012). Penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) telah menjadi salah satu langkah dalam mengatasi permintaan air bersih dan terawat (Lee et al. 2016). Sistem ini mempunyai beberapa komponen asas iaitu tadahan bumbung, sistem perpaipan yang melibatkan dua injap bebola bagi tangki pengumpulan sementara dan tangki simpanan utama. Inovasi ini dihasilkan bagi menjimatkan penggunaan air terawat dan mengurangkan jumlah bil air. Sekaligus mengatasi masalah apabila berlaku kekurangan sumber air mentah. Lokasi penempatan inovasi di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Mukah, Sarawak. .Secara kesimpulannya, inovasi ini amat berguna dalam penjimatan penggunaan air terawat. Ini juga dapat mengurangkan kos rawatan air mentah di loji . Hasil ujian terhadap air hujan juga mendapati bahawa air tuaian hujan tersebut selamat dan sesuai digunakan untuk kegunaan domestik seperti mencurah tandas, kegunaan pertanian dan lanskap serta membasuh bangunan.