Konsep Asas Pentaksiran

KERANGKA KONSEP PENTAKSIRAN

Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.

Maklumat meliputi hal-hal berkaitan topik, bukti dan prestasi. Penghakiman melibatkan hal-hal seperti pertimbangan dan pencapaian aspek pendidikan, manakala produk pula melibatkan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Proses pendidikan pula melibatkan operasi, dapatan dan hasil.

Konsep PENGUJIAN

  • Penggunaan alat ukur atau insrumen yang piawai untuk mengukur tingkahlaku menerusi prosedur yang sistematik

  • Pengujian adalah untuk mendapatkan sesuatu maklumat tentang pencapaian murid dalam pembelajaran

  • Contoh alat ukur seperti kertas ujian, senarai semak, soal selidik, lembaran kerja

  • Ciri-ciri tingkah laku yang diukur : kognitif / psikomotor / afektif

  • Dilaksanakan secara formal dengan menggunakan ujian kertas, pensel seperti ujian bulanan & peperiksaan penggal/ tahunan

  • Boleh dilakukan secara tidak formal melalui soal jawab lisan

  • Ditadbir dan dilaksanakan dalam satu jangka masa yang ditentukan.

Konsep PENGUKURAN

  • Satu proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kuantitatif sesuatu benda, perkara atau keadaan.

  • Dengan kata lain pengukuran boleh ditakrifkan sebagai pemberian angka-angka kepada objek, atau peristiwa mengikut peraturan yang tertentu dengan skala yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

  • Pengukuran dapat dikelaskan kepada empat skala :

        • Skala Nominal

        • Skala Ordinal

        • Skala interval/Sela

        • Skala Nisbah

NOMINAL

Mempunyai nilai pengkelasan sahaja. Skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan paling rendah. Misalnya, etnik Melayu mewakili nombor 1, etnik Cina diwakili nombor 2, etnik India diwakili nombor 3 dan etnik-etnik lain diwakili nombor 4.

ORDINAL

Mempunyai nilai pengkelasan dan pemeringkatan. Data boleh disusun sama ada daripada yang terendah kepada yang tertinggi atau daripada yang lemah kepada yang cemerlang. Umumnya, skala ordinal mampu membezakan kategori dan membezakan nilai pemeringkatan.

Contoh lain skala ordinal ialah skala Likert seperti berikut:

(1) Sangat Tidak Setuju, (2) Kurang Setuju, (3) Sederhana Setuju, (4) Setuju, (5) Sangat Setuju

INTERVAL/SELA

Mempunyai nilai pemeringkatan dan perbezaan ukuran. Mengandungi unit markah dengan sama berat nilainya. Digunakan bukan sahaja menentukan pangkat tetapi untuk membuat perbandingan di antara pelajar dalam sesebuah kelas. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan persamaan dalam unit ukuran yang digunakan.

Contoh ukuran berskala sela ialah ukuran suhu. Perbezaan suhu antara 25˚C dengan 35˚C adalah sama dengan 15˚C dengan 5˚C, iaitu perbezaan 10˚C.

Nilai 0˚C adalah tidak mutlak, bermaksud 0˚C bukan bererti tiada suhu langsung.

NISBAH

Mempunyai nilai pemeringkatan, perbezaan ukuran dan mutlak. Skala nisbah adalah skala yang mempunyai semua ciri skala sela dan juga nilai mutlak. Dalam skala nisbah nilai sifar (0) adalah kosong yang mutlak. Perbandingan dua nilai boleh diwakili dalam bentuk nisbah 2:1.

Contoh ukuran berskala nisbah ialah wang, jarak dan tinggi. Jika dinyatakan 0 ringgit bermakna tiada wang langsung.

Konsep PENILAIAN

  • Suatu proses atau sistem meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat dan digunakan untuk membuat keputusan tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, membuat analisis dan keputusan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

  • Penilaian membolehkan seseorang membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan masalah.

  • Penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali.


Contoh Penilaian

Situasi:

Ali mendapat 45 markah untuk ujian Sains. Guru telah menetapkan markah lulus sebagai 40 markah (matlamat awal yang ditetapkan).


Penilaian:
Ali telah lulus ujian tersebut (penghakiman nilai) tetapi pencapaiannya adalah lemah. Langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh guru ialah menjalankan aktiviti pemulihan.

Pengayaan bagi pencapaian cemerlang.

Pengukuhan bagi pencapaian sederhana.


Konsep PENTAKSIRAN

  • Pentaksiran merupakan satu proses untuk mendapat maklumat tentang prestasi pelajar dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.

  • Istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Menurut Popham (2000) dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran mustahil berlaku tanpa pentaksiran. Setiap kali soalan dan ditanya dan jawapan diberi, penilaian turut berlaku. Oleh itu guru sentiasa mendapat maklumat tentang pencapaian pembelajaran murid untuk memperbaiki pengajarannya dan sejauh mana pelajar telah memperoleh ilmu pengetahuan yang diajar.


Pentaksiran untuk Pembelajaran

(Assessment for Learning)

  • Pentaksiran yang melibatkan guru menggunakan bukti tentang pengetahuan, pemahaman dan kemahiran murid untuk memaklumkan tentang pengajaran mereka

  • Formatif

  • Berterusan

Pentaksiran Sebagai Pembelajaran

(Assessment as Learning)

  • Berlaku apabila murid adalah penilai mereka sendiri

  • Murid memantau pembelajaran mereka sendiri, bertanya soalan dan menggunakan pelbagai strategi untuk menentukan apa yang boleh mereka tahu dan boleh lakukan dan bagaimana menggunakan pentaksiran untuk pembelajaran baharu.

Pentaksiran Tentang Pembelajaran

(Assessment of Learning)

  • Untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid pada satu-satu masa yang strategik, lazimnya di akhir sesuatu tempoh pembelajaran.

  • Pentaksiran ini membolehkan murid, guru, ibu bapa dan pihak sekolah mengetahui kualiti pembelajaran murid.

  • Kebiasaanya berbentuk sumatif