Secara asasnya, Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan persekitaran sebagai kawasan yang terdapat di sekeliling sesuatu lokasi. Pengurusan persekitaran merujuk kepada pengurusan keseluruhan kawasan prasekolah meliputi kawasan dalaman dan luaran bangunan dengan mengambil kira aspek kesediaan bahan dan peralatan, kemudahan dan infrastruktur, ruang pembelajaran, keselamatan, keluasan kawasan, dan pelan susun atur ruang yang berstruktur. Pengurusan persekitaran yang baik dan sistematik bukan sahaja membenarkan guru dan staff melakukan setiap gerak kerja dan tanggungjawab dengan efektif malah turut membenarkan kanak-kanak menjalani rutin harian dan proses pembelajaran secara berkesan. Oleh itu, amat penting bagi seorang guru prasekolah untuk merancang, menyusun, dan mengendalikan setiap sudut dan ruang yang terdapat di persekitaran prasekolah secara teratur.
Persekitaran prasekolah terdiri daripada dua (2) kategori iaitu ruang dalaman dan ruang luaran. Setiap ruang pula perlu dipecahkan kepada beberapa bahagian atau ruang kecil dengan menitikberatkan susun atur ruang yang teratur.
RUANG DALAMAN
Ruang Basah
Ruang Kering
Ruang Rundingan
Ruang Pembelajaran
Sudut Teknologi
Pentas Persembahan
Ruang Makan
Bilik Sakit atau Isolasi
Tandas
Dapur
Sudut Kreativiti dan Hasil Murid
Ruang Pejabat
RUANG LUARAN
Taman Permainan
Ruang Pasir
Kolam Ikan / Kolam Air
Ruang Menunggu
Kebun Tanaman
Padang
Stor
Tapak Perhimpunan
Segala bahan dan peralatan yang digunakan dalam pembelajaran kanak-kanak perlulah mencukupi dengan bilangan kanak-kanak demi memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada setiap kanak-kanak untuk menimba ilmu dan meningkatkan perkembangannya. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang kondusif dan berkualiti. Sekiranya terdapat bahan atau peralatan yang hilang atau tidak mencukupi, maka guru bertanggungjawab untuk menyediakan bahan atau peralatan pembelajaran menggunakan peruntukan kewangan yang telah ditetapkan bagi setiap kanak-kanak melalui prosedur yang betul.
Kebersihan merupakan aspek penting dalam menguruskan persekitaran prasekolah. Penjagaan kebersihan perlu dilakukan secara rutin oleh setiap individu di prasekolah termasuk guru, pembantu pengurusan murid, staf, serta kanak-kanak prasekolah. Setiap kawasan, sudut, peralatan, dan bahan di prasekolah perlu diteliti tahap kebersihannya dan dilakukan tugas pembersihan secara berkala bagi mengelakkan sebarang penyebaran penyakit berjangkit terhadap kanak-kanak. Misalnya, kotak pasir yang ditinggalkan di luar bilik darjah perlulah sentiasa ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pasir terdedah dengan pencemaran di persekitaran seperti haiwan dan kelembapan akibat hujan.
Persekitaran yang berkualiti merupakan persekitaran yang selamat untuk perkembangan kanak-kanak sama ada dari aspek fizikal, mental, mahupun emosi. Prasekolah bertindak sebagai rumah selamat (safe house) kepada kanak-kanak untuk menjalani proses pembelajaran yang bebas dari ancaman. Persekitaran yang selamat penting untuk menjamin motivasi dan keyakinan kanak-kanak untuk menghadiri sesi pembelajaran. Sebagai contoh, pagar perlu dipasang di sekeliling kawasan prasekolah untuk mengelakkan ancaman binatang buas .
Persekitaran prasekolah perlulah bersifat ceria, harmonis, dan berwarna-warni dengan menerapkan elemen-elemen hiasan 2 dimensi (2D) dan 3 dimensi (3D) menggunakan warna-warna yang terang dan pelbagai serta bersaiz besar menerusi hiasan poster, lukisan mural, dan hiasan-hiasan bahan 3D seperti hiasan bunga tanaman. Suasana prasekolah yang ceria penting untuk merangsang minat dan "mood" kanak-kanak yang positif untuk memastikan kanak-kanak sentiasa seronok, gembira, dan teruja untuk datang ke sekolah. Begitu juga dengan penyediaan alatan permainan yang banyak dan pelbagai bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak untuk menyokong fitrah semula jadi kanak-kanak yang suka bermain.
Segala bahan, peralatan dan aset mudah alih kerajaan perlu sentiasa diperiksa dan dikemas kini status penggunaannya dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada peralatan yang hilang atau rosak tanpa pengetahuan guru atau pentadbir. Perkara ini bagi menjamin ketersediaan bahan dan peralatan yang berkualiti untuk digunakan dalam proses pelaksanaan PdP bersama kanak-kanak mahupun urusan perbincangan antara guru, ibu bapa dan komuniti. Guru bertanggungjawab untuk mengemas kini senarai inventori dan aset mudah alih yang berdaftar secara berkala sama ada mingguan, bulanan, mahupun tahunan, serta mencatat segala rekod keluar-masuk penggunaan peralatan prasekolah.
Pengurusan persekitaran yang berkualiti mampu merangsang interaksi antara murid dengan murid, guru, bahan dan alatan, serta alam semula jadi di persekitaran. Pengurusan persekitaran yang baik adalah persekitaran yang mampu mewujudkan suatu suasana pembelajaran yang interaktif. Ia akan mendorong kepada pembangunan sosioemosi murid yang membawa kepada kemajuan individu ke arah kemenjadian insan yang lebih baik. Misalnya, penyediaan kawasan tanaman kebun bagi melaksanakan aktiviti berkebun memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dengan rakan sebaya serta tumbuh-tumbuhan.
Pengurusan persekitaran yang sistematik dapat dilihat melalui contoh pelan lantai di bawah yang memaparkan susun atur setiap ruang dan kawasan di dalam dan luar bangunan prasekolah. Setiap guru prasekolah perlu bijak dalam merancang dan menyusun atur kawasan prasekolah bagi mengoptimumkan kemudahan dan pengalaman pembelajaran yang meluas kepada kanak-kanak untuk merangsang perkembangan jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial.
Contoh Pelan Lantai Persekitaran Prasekolah