FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
VISI KPM
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera
MISI KPM
Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara
OBJEKTIF
Membentuk satu rujukan kepada guru dalam mewujudkan suatu pengurusan di Prasekolah yang berkualiti dan sistematik.
Memastikan modul yang dibina adalah berdasarkan sumber utama yang sahih iaitu Garis Panduan Prasekolah yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Memastikan pengoperasian pengurusan di Prasekolah berjalan dengan cekap dan efisien.
Mewujudkan satu organisasi yang bertanggungjawab dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
KONSEP PENGURUSAN
Pengoperasian sesebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pengurusan yang berkualiti dan sistematik meliputi pelbagai aspek termasuk pengurusan rekod, pengurusan fail, pengurusan persekitaran, pengurusan ruang, pengurusan pemakanan, pengurusan kesihatan, dan pengurusan keselamatan. Pengurusan pengoperasian prasekolah memerlukan pemahaman dan kemahiran yang kukuh dalam merancang, mengatur, memimpin, mengawal, dan melaksanakan prosedur - prosedur tertentu dalam menjamin kelancaran pengurusan sesebuah organisasi.