6 DISEMBER 2023

9.00 pagi - 11.00 pagi

Sidang Selari 6

KAJIAN TINDAKAN

BAYU HOTSPOT SPM: RESPON PROAKTIF MENDEPANI BIMBINGAN DIGITAL

DALAM KALANGAN GURU DAN MURID


Oleh

SYLVIA MITING PAKOI

Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, Sabah 

cikgosovy@gmail.com 


ASRIFAH AMIRUL

Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu, Sabah 


NANCY NG YUT KUAN (Ph.D)

Pejabat Pendidikan Daerah Beluran, Sabah 



Abstrak


Bimbingan digital adalah antara agenda penting pendidikan di Malaysia selaras dengan RI 4.0. Bimbingan digital memberi kesan kepada golongan murid, guru dan ibu bapa, terutamanya selepas era pandemik. Justru, Program BAYU HOTSPOT SPM adalah intervensi serampang dua mata yang menyediakan platform bimbingan berfokus kepada murid sekaligus wadah perkongsian amalan terbaik guru tentang teknik, kemahiran dan proses menjawab secara bijaksana (mudah, cekap dan efektif) bagi mata pelajaran bidang TVET, Sains dan Matematik yang ditawarkan di peringkat SPM. Sebanyak 16 siri bimbingan maya percuma berjaya disalurkan melalui YouTube dengan jumlah tontonan 111, 697 orang. Sebanyak 4,744 responden dan 99.5% amat bersetuju bahawa program ini membantu mereka mereka dapat memahami format, kemahiran dan teknik menjawab yang efektif untuk menghadapi SPM.


Kata kunci : Bimbingan digital, Guru Cemerlang, guru pakar, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan BAYU HOTSPOT (Based Action YouTube Utmost High Of Techniques,Skills, Process On Tactful)

E-MUKAFATUN - MENINGKATKAN MOTIVASI 

MURID TAHUN 3 BERCAKAP BAHASA ARAB



Oleh

NUR FATIN SAFIQA BINTI MASRIAL

MOHAMAD SYAFIQ BIN CHE AHMAD

SK Ulu Dusun, Sandakan Sabah

safi1437@gmail.com



Abstrak


Kemahiran bercakap Bahasa Arab dalam kalangan murid sekolah rendah masih kurang dikuasai walaupun matlamat utama DSKP Bahasa Arab adalah untuk melahirkan murid yang mampu berkomunikasi menggunakan ayat-ayat mudah. Kajian ini dijalankan bagi meningkatkan motivasi murid bercakap Bahasa Arab mudah dengan lebih berkeyakinan dan lebih seronok.

Kajian ini melibatkan seramai 18 orang murid tahun 3 Zamrud dari SK Ulu Dusun, Sandakan Sabah. Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kajian tindakan. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui pemerhatian, soal selidik, dan juga temu bual. Hasil tinjauan mendapati murid-murid tidak bercakap Bahasa Arab kerana mereka tidak berani, lupa dan merasakan Bahasa Arab susah. Bagi menangani masalah ini, pengkaji telah mencipta e-Mukafatun. E-Mukafatun merupakan 1 alat perekodan ganjaran secara digital bagi merekod ganjaran murid yang dapat bercakap Bahasa Arab mudah. Perekodan yang boleh diakses menggunakan telefon mudah alih turut memudahkan guru dan ibu bapa memantau dan menilai perkembangan murid-murid dalam kemahiran mendengar dan bercakap Bahasa Arab. Murid-murid bersemangat dan termotivasi untuk bercakap Bahasa Arab bagi menebus hadiah ganjaran yang disediakan. Dapatan Kajian melalui pemerhatian, temu bual dan juga soal selidik menunjukkan bahawa penggunaan e-Mukafatun ini telah meningkatkan motivasi dan prestasi murid dalam bercakap Bahasa Arab. Penggunaan e-Mukafatun telah memberi impak yang positif dan pembelajaran yang bermakna kepada murid dalam bercakap Bahasa Arab. Selain itu, aplikasi e-Mukafatun

secara digital sangat membantu meningkatkan semangat murid -murid bersaing secara sihat dengan rakan-rakan yang lain dalam bercakap Bahasa Arab mudah. Oleh itu, penggunaan e-Mukafatun dalam pengajaran dan pembelajaran haruslah diteruskan.


Kata Kunci : e-Mukafatun, ganjaran, digital, motivasi

GRS BERIRAMA VUM VUM MENINGKATKAN PENGUASAAN MENENTUKAN PEMBENTUKAN IMEJ DAN CIRI-CIRI IMEJ KANTA CEMBUNG DALAM SUBJEK FIZIK TINGKATAN 4


Oleh

SALWAH BINTI MAD MATAR

SMK Tebobon Kota Kinabalu, Sabah

g-64243230@moe-dl.edu.my 



Abstrak


Kajian ini dijalankan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh pelajar subjek Fizik tingkatan 4 Realistik seramai 16 orang bagi topik pembentukan imej oleh kanta cembung . Melalui pemerhatian guru, didapati pelajar kurang berminat dan bersemangat untuk belajar topik ini kerana agak sukar difahami dan membosankan. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui temubual, semakan kerja rumah murid, dan ujian pra dalam kalangan pelajar. Hasil tinjauan menunjukkan hanya 10% dapat menentukan kedudukan imej dan ciri-ciri imej yang dibentuk oleh kanta cembung. Selepas mendapati pencapaian pelajar yang sangat lemah dalam topik ini guru telah memperkenalkan kaedah GRS berirama VUM VUM iaitu kaedah menghasilkan gambar rajah sinar (GRS ) menggunakan alatan yang mudah diperolehi dan menambahkan kaedah nyanyian untuk menerangkan ciri-ciri imej yang dihasilkan oleh kanta cembung. Irama bagi lirik tersebut mengikut irama lagu “ Bum Bum Chiki Chiki Bum “ namun di ubah liriknya berkaitan ciri-ciri imej yang dibentuk oleh kanta. Guru dan pelajar menyanyikan lagu ini sebagai teknik untuk mengingati ciri-ciri imej yang dibentuk oleh kanta cembung. Selepas menjalankan kaedah ini dalam kalangan pelajar, guru telah menjalankan ujian post untuk menentukan keberkesanan inovasi. Keputusan ujian post telah menunjukkan peningkatan prestasi murid. Kaedah GRS berirama VUM-VUM telah meningkatkan pencapaian pelajar dalam menentukan kedudukan imej dan ciri-ciri imej yang dibentuk oleh kanta cembung sebanyak 90%. Pelajar dapat menjawab secara spontan dengan lebih yakin, pantas dan tepat. Hasil pemerhatian guru juga menunjukkan pelajar lebih seronok belajar dan mudah mengingati kedudukan dan ciri -ciri imej yang dibentuk oleh kanta cembung. Kesimpulannya kaedah GRS berirama VUM-VUM telah membantu guru dalam mengatasi kelemahan pelajar untuk topik pembentukan imej oleh kanta cembung.

APLIKASI AS-SOLAH FLIP CARD DALAM PdPc PENDIDIKAN ISLAM TINGKATAN DUA



Oleh

AISYAH BINTI MUSLAN

MOHD SYAHIR BIN ISMAIL

Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon, Kota Kinabalu

g-00425050@moe-dl.edu.my



Abstrak


Kajian tindakan ini dijalankan untuk melihat impak aplikasi As-Solah Flip Card dalam sesi pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) Pendidikan Islam Tingkatan Dua di salah sebuah sekolah di daerah Kota Kinabalu di negeri Sabah. Pensampelan bertujuan telah digunakan di mana peserta kajian terdiri daripada 70 orang murid di salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di luar bandar. Kaedah pemerhatian, temu bual, dan ujian pra dan ujian pos telah digunakan dalam pengumpulan data. Dapatan kajian dianalisis dengan menggunakan gabungan pendekatan kualitatif dan kuantitatif, dan dinyatakan dalam bentuk kekerapan, min dan peratus. Hasil kajian menunjukkan terdapat peningkatan kemahiran bertutur murid semasa ujian pos berbanding ujian pra sebanyak 80% peratus. Selain itu, hasil kajian juga mendapati penggunaan As-Solah Flip Card dapat meningkatkan minat murid dalam menguasai pemahaman tentang pelaksanaan solat berjemaah. Cadangan penambahbaikan bagi kajian lanjutan adalah dengan memperluaskan lagi kaedah penggunaan As-Solah Flip Card, memperbanyakkan peserta kajian bagi meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan, serta memperluaskan skop kajian ke sekolah-sekolah lain.


Kata kunci : As-Solah Flip Card, Pendidikan Islam, PdPc, solat berjemaah

PENGGUNAAN MODEL INSTRUKSIONAL 5E YANG DIINTEGRASI MINECRAFT UNTUK

GURU PELATIH LEMAH PENGATURCARAAN


Oleh

RAYNER BIN TANGKUI (Ph.D)

Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau

rayner@ipgm.edu.my



Abstrak


Pengaturcaraan merupakan salah satu topik dalam subjek Teknologi untuk Pengajaran dan Pembelajaran dengan kod EDUP3133 yang dipelajari guru-guru pelatih Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh Malaysia. Fokus topik ini adalah memberi pendedahan mengenai arahan pengaturcaraan serta mengenali dan memahami algoritma untuk membangun atur cara. Namun demikian, ketiadaan asas Sains Komputer semasa di peringkat sekolah menengah dalam kalangan guru pelatih yang mengambil opsyen Pendidikan Seni Visual (PSV) di IPG Kampus Keningau telah menyebabkan guru pelatih opsyen ini mengalami kesukaran untuk menguasai dan menjadi mahir dalam pengaturcaraan khususnya pengaturcaraan yang melibatkan penggunaan bahasa pengaturcaraan C. Situasi ini telah menjejaskan keupayaan guru pelatih opsyen PSV untuk menyelesaikan tugasan pengaturcaraan serta menyebabkan tahap keyakinan diri rendah dalam pembelajaran pengaturcaraan. Dengan itu, kajian tindakan yang menggunakan intervensi Model Instruksional 5E yang diintegrasi Minecraft ini dilaksanakan bagi meningkatkan penguasaan dan kemahiran guru pelatih opsyen PSV dalam pengaturcaraan, meningkatkan tahap keyakinan diri guru pelatih opsyen ini dalam pembelajaran

pengaturcaraan serta menambah baik amalan pensyarah dalam mengajar pengaturcaraan. Model Instruksional 5E merupakan model pengajaran berasaskan inkuiri yang menyediakan pendekatan berstruktur untuk melibatkan guru pelatih secara aktif dalam pembelajaran manakala Minecraft merupakan permainan digital dunia terbuka yang membolehkan guru pelatih mempelajari pengaturcaraan melalui pengaturcaraan berasaskan blok atau ‘block-based coding’. Kajian tindakan ini dilaksanakan menggunakan model Kemmis dan McTaggart (1998) yang melibatkan 9 orang guru pelatih opsyen PSV di IPG Kampus Keningau dan dilaksanakan selama 5 minggu. Data diperolehi melalui pemerhatian, ujian topikal, soal selidik serta temu bual. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua 9 orang guru pelatih ospyen PSV yang mengalami masalah dalam pengaturcaraan berupaya menyelesaikan tugasan pengaturcaraan yang diberi. Dalam masa yang sama, kajian ini turut meningkatkan keyakinan diri guru pelatih dalam pembelajaran pengaturcaraan dan menambah baik amalan pengajaran oleh pensyarah. Dapat disimpulkan bahawa penggunaan Model Instruksional 5E yang diintegrasi Minecraft telah memberi impak positif terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pengaturcaraan guru pelatih dan pensyarah.


Kata Kunci : Pengaturcaraan, Model Instruksional 5E, Minecraft, Pengajaran dan Pembelajaran

NILAM ON THE GO! PENGGUNAAN BAHAN BACAAN MUDAH ALIH

 DALAM MENINGKATKAN REKOD BACAAN NILAM



Oleh

NURUL ROS ADIRA MAHADY

SMK Pekan Telipok

nurulros86@gmail.com 



Abstrak


Seiring dengan kemajuan teknologi, capaian kepada bahan hiburan adalah semakin mudah dan pantas. Secara tidak langsungnya, perkara ini turut menyebabkan budaya membaca semakin merudum dalam kalangan pelajar. Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) adalah salah satu program  yang dilaksanakan sejak tahun 1999 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha untuk menanam minat membaca dalam kalangan pelajar di seluruh Malaysia. Semua sekolah dikehendaki menghantar laporan bilangan bacaan pelajar dan malangnya, ratio bacaan buku kepada pelajar didapati berada pada tahap yang sangat rendah di SMK Pekan Telipok. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan penggunaan bahan bacaan mudah alih ‘NILAM on the Go!’ dalam meningkatkan rekod bacaan NILAM pelajar tingkatan 1 dan 2 sebanyak 20 kelas. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui persepsi guru tentang penggunaan bahan mudah alih ‘NILAM on the Go!’ semasa waktu relif. Bahan ‘NILAM on the Go!’ merupakan bahan bacaan bersaiz A4 yang dikumpul dalam satu-satu set, berjumlah 20 set. Bahan ‘NILAM on the Go!’ terdiri cerita-cerita pendek, rencana bukan fiksyen seperti artikel kesihatan, keratan akhbar atau penulisan lain yang dicetak atau digunting dan ditampal daripada sumber asal. Bahan ini dipertanggungjawabkan kepada guru-guru untuk dibawa ke kelas semasa waktu relif untuk jangkamasa satu bulan. Instrumen kajian adalah rekod bacaan sebelum dan selepas intervensi serta boarang soalselidik. Data kajian menunjukkan peningkatan yang ketara dalam rekod bacaan pelajar tingkatan 1 dan 2 serta maklumbalas umum yang positif daripada guru-guru. Hasil keputusan menunjukkan potensi yang menggalakkan dan memberikan asas yang baik untuk program diteruskan dengan penambahbaikan demi kelangsungan minat membaca dalam kalangan pelajar SMK Pekan Telipok.

Anjuran bersama:

Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (est.1976) dan Persatuan Teknologi dan Inovasi Pendidikan Sabah (est.2020)