6 DISEMBER 2023

9.00 pagi - 11.00 pagi

Sidang Selari 2

KAJIAN TINDAKAN

X-MATRIKS : PENGGUNAAN STICKY NOTE DALAM MENINGKATKAN KEMAHIRAN MELAKUKAN PENDARABAN ANTARA DUA MATRIKS DI KALANGAN MURID-MURID TINGKATAN 5


Oleh

IVYLENDA RUBBIN GURIBAH

SM LOK YUK KOTA KINABALU (CF), PO BOX 10352, 

88803 KOTA KINABALU, SABAH

vlyenda22@gmail.com



Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk membantu murid meningkatkan kemahiran melakukan pendaraban antara dua matriks dengan bantuan Sticky Note . Kajian ini menggunakan persampelan bertujuan melibatkan 5 orang murid Tingkatan 5 di Kota Kinabalu. Tinjauan awal terhadap semakan hasil kerja murid, pemerhatian terhadap tingkah laku dan temubual bersama murid-murid yang terlibat telah dibuat. Hasil tinjauan menunjukkan murid tidak mahir melakukan pendaraban unsur-unsur dalam baris dan lajur antara dua matriks. Murid keliru apabila menulis unsur-unsur dalam baris dan lajur antara dua matriks yang perlu didarabkan. Oleh itu, penggunaan Sticky Note telah diperkenalkan kepada murid terlibat sebagai satu cara untuk mengatasi masalah murid yang kurang mahir dan membantu memudahkan murid ketika membuat pendaraban antara dua matriks. Hasil kajian ini menunjukkan hasil dan perkembangan yang positif. Setelah murid melakukan cara ini berulang kali, akhirnya murid tidak memerlukan Sticky Note ini lagi kerana murid dapat menulis unsur-unsur dalam baris dan lajur yang perlu didarabkan dengan lebih yakin. Murid tidak keliru dan tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan masalah pendaraban antara dua matriks. Murid lebih yakin semasa mencuba soalan-soalan latihan yang diberi. Pengkaji amat teruja semasa melaksanakan kajian ini walaupun skop kajian melibatkan subtajuk kecil tetapi sangat penting untuk murid dapat menguasai bab matriks ini. Harapan pengkaji agar di masa akan datang, kajian lanjutan tentang kaedah-kaedah yang boleh membantu meningkatkan kefahaman konsep matriks di kalangan murid dapat dilakukan. Topik ini penting untuk membantu murid menyelesaikan masalah berkaitan algebra, statistik dan geometri.

PENGGUNAAN PIRAMIDKU DALAM MEMBANTU MENINGKATKAN PENGUASAAN

FAKTA SEJARAH DALAM KALANGAN MURID PU6R DI SMK LIMBANAK



Oleh

SUZANAH JUMAT

SMK Limbanak, Penampang Sabah

ohashim75@gmail.com 


Abstrak


Kajian tindakan ini bertujuan untuk melihat penggunaan alat bantu mengajar Piramidku untuk memudah proses pembelajaran subjek sejarah tentang struktur dan peranan masyarakat feudal di England yang dipelajari semasa semester satu di tingkatan enam di Pusat Tingkatan Enam SMK Limbanak. Seramai 13 orang murid bersama seorang guru terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal mendapati murid menghadapi masalah pembelajaran iaitu tidak dapat mengingat dan menyusun maklumat struktur dan fungsi masyarakat mengikut tertibnya. Perancangan tindakan melalui pengajaran menggunakan bahan bantu mengajar iaitu Piramidku ini telah dijalankan selama 4 minggu (Jan – 14 Feb 2022). Kaedah yang digunakan untuk menilai keberkesanan penggunaan Piramidku adalah melalui pra- ujian dan pasca – ujian. Pra ujian telah dilaksanakan sebelum penggunaan intervensi dilaksanakan. Pada minggu ke-4; pasca ujian dijalankan untuk melihat kesan penggunaan terhadap prestasi murid dengan menggunakan bahan bantu tersebut. Analisis data dilakukan dengan menggunakan kiraan peratusan. Dapatan menunjukkan penggunaan bahan bantu mengajar Piramidku telah meningkatkan prestasi penguasaan fakta dan konsep asas subjek Sejarah, memperlihatkan penglibatan secara aktif setiap murid, meningkatkan minat, dan rasa seronok terhadap subjek Sejarah. Akhir sekali kaedah ini juga telah meningkatkan kemahiran murid menyusun atur struktur dan peranan masyarakat feudal di England mengikut tertibnya sebagai persediaan menjawab soalan peperiksaan.


Kata kunci : Piramidku, Sejarah, tingkatan enam

KEBERKESANAN LAGU KEUNGGULAN TOKOH MAZHAB DALAM

PENGUASAAN BIDANG SIRAH PENDIDIKAN ISLAM TINGKATAN 4



Oleh 

SANTI BINTI ZAINUDDIN

NORLINAH BINTI BUISHLAN

MOHD FARHAN HAFIZ BIN AG BUNTAR

SMK Tobobon, Kota Kinabalu Sabah

farhanhafiz07@gmail.com 



Abstrak


Kajian ini dijalankan bagi meningkatkan penguasaan murid dalam memahami dan menguasai tajuk Keunggulan Tokoh Empat Mazhab tingkatan 4. Melalui ujian dan pemerhatian, jelas menunjukkan murid-murid mengalami masalah untuk menguasai tajuk tersebut dan ianya menguatkan semangat kami untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu. Oleh yang demikian,kajian tindakan ini dijalankan dengan tujuan mencari pendekatan terbaik menggunakan teknik yang paling mudah bagi membantu murid meningkatkan penguasaan iaitu dengan menggunakan teknik didik hibur. Dapatan kajian ini menunjukkan murid-murid yang selama ini tidak menguasai tajuk ini akhirnya mampu menguasainya dan menjawab soalan-soalan berkenaan tajuk tersebut dengan penuh keyakinan. Perubahan sikap kurang berminat, malas, kurang tumpuan dan tidak yakin kepada kemampuan diri dapat diatasi dengan baik sekali. Dapat dirumuskan, kemahiran murid dapat ditingkatkan sekiranya kita mampu menggunakan kaedah yang sesuai dengan tahap serta kecenderungan mereka. Amalan penyelidikan untuk mencari pendekatan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat mengatasi masalah pembelajaran murid malah menggilap kreativiti dan inovasi guru. Bahkan ianya turut membantu mengubah amalan pengajaran kami dan seterusnya membantu mengubah persepsi pelajar dalam menguasai tajuk tokoh ini bukanlah sukar. Untuk cadangan kajian lanjutan, kami mencadangkan agar kaedah ini dapat diperluaskan agar murid tidak terlalu bosan dan mampu menarik perhatian mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

PENGGUNAAN ALAT BANTU MENGAJAR ‘KEYPASS’UNTUKMENINGKATKAN PENCAPAIAN MARKAH MURID 

DALAM PENULISAN KARANGAN RESPONS TERBUKA SUBJEK BAHASA MELAYU TINGKATAN 4ACC



Oleh

SITI ELFIRA BINTI ABDUL SINI

SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF)

g-12244064@moe-dl.edu.my 



Abstrak

Kajian tindakan ini bertujuan untuk melihat sama ada berlakunya peningkatan markah murid tingkatan 4 ACC dalam kemahiran menulis isi karangan respons terbuka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan pencapaian markah murid dalam karangan respons terbuka iaitu 65 markah ke atas. Sampel kajian ini menyasarkan 25 orang murid tingkatan 4 ACC yang dipilih melalui tinjauan awal berdasarkan data yang diperoleh melalui Pentaksiran Sumatif Penggal 1 (PSP1) sebagai ujian pra. Data kajian dikumpul melalui markah PSP1 dan Pentaksiran Sumatif Akhir Tahun (PSAT).  Data yang  dikumpul kemudiannya dianalisis secara objektif bagi mengesan sama ada berlakunya peningkatan markah murid dalam soalan 2 iaitu penulisan karangan respons terbuka. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pencapaian markah murid meningkat setelah diperkenalkan alat bantu mengajar ‘KeyPass’ dalam penulisan perenggan isi karangan respons terbuka dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Peningkatan keseluruhan markah sampel murid dalam penulisan karangan respons terbuka Kertas 1 secara purata bagi min skor mencatatkan  24.2 bersamaan dengan 34.6%. 


Kata kunci : Penggunaan alat bantu mengajar (ABM), peningkatan kemahiran penulisan murid, amalan mengajar

MENINGKATKAN APLIKASI DIGITAL DALAM PEMBELAJARAN SEJARAH 

BAGI MURID 1 BERLIAN



Oleh

HANITA LADJAHARUN

SMK Perempuan Likas, Sabah

hanita75harun@yahoo.com



Abstrak

Kajian-kajian yang terkini di dalam dan luar negara menunjukkan aplikasi digital dalam pembelajaran menjadi trend terkini. Kajian Azor, Asogwa, Ogwu dan Apeh (2020) Youtube, audio dan video memberi kesan yang amat positif ke atas minat, motivasi dan pencapaian sejarah di Nigeria. Aljaraideh (2020) kaedah bercerita secara digital memberi impak positif terhadap motivasi dan pencapaian Bahasa Inggeris di Jordan. Seterusnya, dalam kajian Marta Liesa-Orus, Cecilia Latorre-Cosculluela, Sandra Vazquez-Toledo & Veronica Sierra-Sanchez (2020) TMK memberikan kesan positif terhadap pembelajaran murid. Kajian dalam negara Ritchie Len Joon Woei, Soon Singh Bikar, Balan Rathakrishnan & Zulfikar Rabe (2021), Word Wall meningkat minat, motivasi dan pencapaian murid dalam mata pelajaran sejarah. Hanita Ladjaharun (2022) penglibatan murid dalam pembelajaran sejarah melalui aplikasi Google Meet pada tahap yang tinggi. Hanita Ladjaharun (2023) mendapati murid mempunyai kesediaan kemudahan melaksanakan pembelajaran menggunakan Google Sites. Tuntasnya, pembelajaran secara digital perlu diteruskan dan dipertingkatkan agar dapat mengembangkan potensi dan kemahiran murid mengikut keperluan semasa. Tambahan pula dalam 7 Teras utama KPM turut menekanankan pembelajaran Digital. Dapatan awal menunjukan murid-murid 1 Berlian tidak pernah dilibatkan dengan aktiviti pembelajaran menggunakan aplikasi digital menghasilkan bahan pembelajaran menggunakan aplikasi Canva, Google Sites, TikTok dan Youtube. Oleh itu, usaha dilaksanakan bagi meningkatkan aplikasi digital seperti Canva, Google Sites, TikTok dan Youtube dalam pembelajaran sejarah. Objektif seterusnya ialah membolehkan murid menghasilkan bahan pembelajaran melalui aplikasi digital Canva, Google Sites, TikTok dan Youtube. Pelaksanaan aplikasi digital Canva, Google Sites, TikTok dan Youtube dalam pembelajaran sejarah dilakukan secara berperingkat untuk disesuaikan dengan tahap dan

kebolehan murid. Pendekatan inovatif membolehkan murid berupaya melibatkan diri dalam pembelajaran menggunakan aplikasi digital Canva, Google Sites, TikTok dan Youtube. Murid-murid juga telah berjaya menghasilkan bahan-bahan pembelajaran digital menggunakan aplikasi Canva, Google Sites, Tik Tok dan Youtube. Pendekatan digital dalam pembelajaran sejarah ini telah dikongsikan dalam kalangan guru dan telah diaplikasikan oleh guru sejarah dan guru mata pelajaran lain. Oleh itu, pembelajaran digital menggunakan pelbagai aplikasi lain sewajarnya diteruskan dan dipertingkatkan agar potensi diri murid dapat terus dikembangkan.


Kata Kunci: Aplikasi Digital, Pembelajaran, Sejarah

KIREI GARDEN: IMPAK AUGMENTED REALITY DAN STEM 

DALAM SENI REKA BENTUK LANDSKAP



Oleh

EMI SYAKILAH BINTI TAKHTA

SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu Sabah

emisyakilah@gmail.com 



Abstrak


Kajian ini dijalankan untuk mengkaji impak teknologi Augmented Reality dan STEM dalam penghasilan taman mini bagi topik Seni Reka Bentuk Landskap (Pendidikan Seni Visual). Murid-murid perlu menghasilkan satu taman mini berpandukan konsep rekaan yang dipilih dan melaksanakan sesi apresiasi seni dengan penggunaan Bahasa Seni Visual yang tepat. Namun begitu, semasa pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek bagi topik ini, kebanyakkan taman mini yang dihasilkan tidak menepati konsep rekaan yang sebenar dan murid tidak berjaya untuk menghayati serta menjelaskan hasil karya seni sendiri dengan menumpukan kepada aspek Bahasa Seni Visual. Selain itu, isu yang turut berbangkit adalah apabila guru mendapati taman mini yang dihasilkan masih konvensional dan tidak inovatif. Untuk mengatasi isu ini, saya telah membuat kajian dengan membimbing murid dalam projek intervensi Kirei Garden. Murid perlu menginovasikan taman mini mereka kepada satu taman mini yang berteknologi dengan menerapkan elemen STEM dan teknologi Augmented Reality. Kajian impak ini melibatkan seramai 8 orang murid daripada kelas 3 Berlian dan 3 Delima. Objektif pelaksanaan kajian ini adalah untuk meningkatkan kefahaman murid dalam konsep reka bentuk landskap mengikut tema yang betul, murid dapat membentangkan hasil karya dengan Bahasa Seni Visual yang tepat seterusnya dapat menghasilkan satu taman mini yang berteknologi dan inovatif. Kaedah yang digunakan ialah ‘mix method approach’ iaitu analisis pencapaian dalam markah Pembelajaran Berasaskan Projek, maklum balas dan pemerhatian. Melalui kajian projek Kirei Garden ini, murid telah berjaya menghasilkan satu taman mini dengan konsep rekaan yang tepat. Bukan itu sahaja, taman mini yang dihasilkan telah berjaya merentas kurikulum dengan menggabungjalinkan mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, Sains dan teknologi Augmented Reality. Seterusnya, murid-murid yang terlibat turut berjaya membentangkan hasil projek mereka dengan cemerlang. Hal ini dapat dibuktikan dengan peningkatan markah pada penilaian Pembelajaran Berasaskan Projek mereka. Maklum balas murid dan guru-guru daripada pelbagai sekolah juga telah mengakui intervensi ini membolehkan murid yang terlibat menguasai isi pelajaran dan melalui sesi pembelajaran yang bermakna dengan mengaplikasikan elemen PAK-21, KBAT, dan PBL. Impaknya, murid yang terlibat telah berjaya memenangi beberapa anugerah pada peringkat kebangsaan. Ia telah memberikan satu kenangan yang sangat manis bagi mereka. Tuntasnya, impak penerapan teknologi Augmented Reality dan STEM dalam taman mini ini sememangnya telah memberi nafas baharu kepada reka bentuk landskap khususnya dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang mahu melahirkan murid-murid yang celik digital dan memiliki ciri-ciri murid abad ke 21. Cadangan seterusnya, saya akan memperluaskan intervensi ini dalam kalangan murid dan mata pelajaran yang lain agar saya boleh menilai keberkesanan melalui pelbagai sampel.

Anjuran bersama:

Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (est.1976) dan Persatuan Teknologi dan Inovasi Pendidikan Sabah (est.2020)