6 DISEMBER 2023

9.00 pagi - 11.00 pagi

Sidang Selari 5

KAJIAN TINDAKAN

CARTA SUKU KATA DAN SAM’S SMART CoRe KIT MEMBANTU MENINGKATKAN

PENGUASAAN MEMBACA MURID PRASEKOLAH



Oleh

SAMIH BIN KUKUNG

IPG Kampus Keningau Sabah

samihkukung@yahoo.com



Abstrak


Kemahiran membaca adalah kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid prasekolah. Dalam kelas , didapati bahawa terdapat 10 orang murid yang mengalami masalah dalam penguasaan membaca KV dengan baik. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan intervensi ABM Carta Suku Kata KV dan Sam’s Smart CoRe Kit dalam meningkatkan kemahiran murid membaca suku kata KV. Metodologi yang digunakan dalan kajian ini adalah kajian tindakan yang melibatkan pemerhatian, refleksi, perancangan dan tindakan. Hasil refleksi menunjukkan bahawa murid tidak menguasai kemahiran membaca KV selepas saringan membaca dilakukan pada awal bulan Mac, tidak minat dalam pembelajaran Bahasa Melayu, cepat bosan membaca suku kata KV, kurang mahir dalam ejaan, tiada keyakinan diri dan guru tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada semua murid. Selepas intervensi dilaksanakan, didapati terdapat pencapaian murid yang ketara dalam memahami dan menguasai kemahiran membaca suku kata KV. Penggunaan ABM Carta Suku Kata KV dan Sam’s Smart CoRe Kit berjaya mengukuhkan kemahiran membaca, meningkatkan minat dan keyakinan murid. Penggunaan bahan intervensi juga menunjukkan peningkatan pemahaman bagi murid membaca suku kata KV. Berdasarkan dapatan ini, disimpulkan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik bukan sahaja dapat menarik minat murid, malah dapat meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran membaca suku kata KV dengan baik. 


Kata kunci: membaca, Bahasa Melayu, refleksi, suku kata

INISIATIF STEM BERSEPADU DI DALAM MENINGKATKAN KUALITI

PEMBANGUNAN PRODUK RBT MELALUI ENGINEERING DESIGN PROCESS (EDP)



Oleh

JULIAH BT JUMPIL @ JULIAH BINTI JAMIL 

SMK Tamparuli, Tamparuli

g-76263160@moe-dl.edu.my



Abstrak


Kajian ini bertujuan untuk menilai kesan penggunaan Inisiatif STEM Bersepadu dalam meningkatkan kualiti pembangunan produk Reka Bentuk Teknologi (RBT) melalui Engineering Design Process (EDP) dalam kalangan pelajar kelas RBT 3.3, 3.6, dan 3.10. Seramai 75 orang pelajar terlibat dalam kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan merangkumi soal selidik dengan penggunaan skala likert dan pemerhatian. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan Inisiatif STEM Bersepadu dalam konteks pembangunan produk RBT menerusi EDP memberikan kesan positif terhadap peningkatan kualiti produk yang dihasilkan oleh pelajar. Melalui aplikasi EDP, pelajar didorong untuk mengaplikasikan konsep 5 fasa di EDP dalam proses reka bentuk dan pembangunan produk RBT. Ini memberikan peluang kepada mereka untuk mengaitkan teori-teori STEM dengan aplikasi praktikal, yang seterusnya menghasilkan produk yang lebih inovatif dan berkualiti. Selain itu, kajian ini juga menunjukkan bahawa penggunaan Inisiatif STEM Bersepadu melalui EDP dapat meningkatkan minat pelajar terhadap subjek STEM. Pelajar yang terlibat dalam pembangunan produk RBT melalui pendekatan ini mendapati pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan dan relevan dengan kehidupan seharian mereka. Kesimpulannya, penggunaan Inisiatif STEM Bersepadu dalam pembangunan produk RBT menerusi EDP adalah satu pendekatan yang berkesan dalam meningkatkan kualiti produk RBT dan memupuk minat pelajar terhadap subjek STEM. Hasil kajian ini memberikan panduan kepada pendidik dan pihak berkepentingan dalam pendidikan untuk terus mengintegrasikan elemen STEM dalam kurikulum dan pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran kejuruteraan dan keupayaan inovasi pelajar dalam kalangan pelajar RBT. 


Kata kunci: STEM Bersepadu, Engineering Design Process (EDP), Pembangunan Produk, RekaBentuk Teknologi, Kejuruteraan, Inovasi, Kualiti

MENINGKATKAN PENGUASAAN TOPIK “HAJI DAN UMRAH” TINGKATAN 4

DENGAN MENGGUNAKAN KIBFI HAJI DAN UMRAH



Oleh

AFIAH FAHIMAH BINTI MOHD LOFTI

SM Lok Yuk Likas, Kota Kinabalu Sabah

afiahfify@gmail.com 


Abstrak


Kajian ini bertujuan untuk membantu pelajar tingkatan 4 yang lemah dalam menguasai topik “Haji dan Umrah” yang merupakan satu topik dalam bidang fiqah mata pelajaran Pendidikan Islam SPM. Sampel kajian melibatkan 70 orang pelajar dan seorang guru terlibat dalam kajian ini. Saya memfokuskan kepada perbezaan perkara rukun dan wajib mengerjakan haji dan umrah. Tinjuan awal telah dibuat melalui ujian pra yang menunjukkan murid lemah terhadap perbezaan antara perkara rukun dan perkara wajib mengerjakan haji dan umrah. Melalui tinjuan awal ini juga didapati pelajar menghadapi masalah pembelajaran pasif terhadap pengajaran dan pembelajaran formal dalam kelas. Oleh itu, pendekatan berfokus diperkenalkan kepada pelajar sebagai satu cara untuk mengatasi masalah pembelajaran yang dihadapi pelajar terutama dalam penguasaan membezakan perkara rukun dan wajib mengerjakan haji dan umrah. Kajian juga telah menjalankan pelan tindakan berdasarkan pendekatan berfokus yang diperkenalkan dan mendapati penguasaan dalam membezakan perkara rukun dan wajib mengerjakan haji dan umrah pada tahap yang baik jika dibandingkan dengan sebelumnya. Pelajar lebih menunjukkan sikap positif dengan menunjukkan pembelajaran aktif dalam menguasai perbezaan antara rukun dan wajib haji dan umrah dan dapat mencapai keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di peringkat SPM.


Kata Kunci: Rukun haji dan umrah, wajib haji dan umrah

MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN KEJOHANAN OLAHRAGA SK SLIM RIVER 

MENGGUNAKAN INTEGRASI DATA DAN AUTOMASI TUGASAN 

DARI PERISIAN BERASASKAN WEB



Oleh

FAIDUL RAHHIM BIN SAFIAN

MOHD FAZLIE BIN MOHD FAUZI

MUHD HALIN BIN OTHMAN

SK Slim River, Perak

faidulrahhim@gmail.com



Abstrak


Kejohanan olahraga merupakan suatu tradisi yang dianjurkan pada setiap tahun oleh semua sekolah. Adalah penting ia dilaksanakan secara terancang dan sempurna kerana kepincangan dalam pengurusan kejohanan olahraga akan melambatkan tempoh perjalanan kejohanan, mengganggu fungsi tugas guru sebagai urusetia dan secara tidak langsung gagal mencungkil bakat-bakat baru di kalangan murid. Kajian ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan pengurusan kejohanan olahraga meliputi aspek pengurusan tempoh masa kejohanan, melicinkan tugas urusetia sukan dan mewujudkan sistem penyampaian maklumat secara berpusat. Fokus kajian adalah untuk menangani masalah dari segi pendaftaran dan pengurusan peserta, merekod keputusan dan mengira mata kejohanan secara efisien, penyebaran maklumat dan penyimpanan rekod kejohanan yang selamat. Tinjauan awal mendapati penggunaan sistem manual secara bertulis tidak lagi relevan dan tidak membantu melancarkan penganjuran kejohanan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Oleh itu, kami menjalankan intervensi dengan membangunkan sistem kejohanan baharu menggunakan perisian berasaskan web dan integrasi beberapa perisian sokongan lain dengan menekankan konsep automasi tugasan. Kemudian, soal selidik telah dijalankan untuk mendapatkan respon dan pandangan dari guru tentang sistem kejohanan yang baharu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa 95% guru berpuas hati dan bersetuju sistem kejohanan baharu ini melicinkan tugas urusetia sukan dan penyampaian keputusan secara cepat dan pantas serta kejohanan dapat dianjurkan dalam masa yang telah ditetapkan berbanding sistem yang lama.


Kata Kunci : Kejohanan Olahraga, Ko-kurikulum, automasi

FORMULA  ACDB & BDCA



Oleh

FATIN NASUHA KADA ABDULLAH

SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF), Kota Kinabalu Sabah

lilykada.fatinnasuha.78@gmail.com



Abstrak


Kajian ini bertujuan untuk membantu murid meningkatkan kemahiran dalam menyusun jadual sistem pertandingan Liga Empat Kumpulan bagi pusingan kedua dengan bantuan formula ACDB & BDCA. Kajian ini menggunakan persampelan bertujuan melibatkan 5 orang murid Tingkatan 4 di Kota Kinabalu. Tinjauan awal terhadap semakan hasil kerja murid, pemerhatian terhadap tingkah laku dan temubual bersama murid-murid yang terlibat telah dibuat. Hasil tinjauan menunjukkan murid tidak mahir menyusun jadual pertandingan bagi pusingan kedua Liga Empat Kumpulan. Murid keliru apabila menyusun dan membuat gandingan pasangan pasukan yang akan berlawan daripada empat kumpulan. Oleh itu, penggunaan formula ACDB &  BDCA telah diperkenalkan kepada murid yang terlibat sebagai satu cara untuk mengatasi masalah murid yang kurang mahir dan membantu memudahkan murid mengingat cara menyusun dan membuat gandingan pasukan yang akan berlawan daripada empat kumpulan. Hasil kajian ini menunjukkan satu perkembangan yang positif. Setelah murid belajar menggunakan formula ACDB &  BDCA ini, murid lebih yakin, tidak keliru dan tidak mengambil masa yang lama untuk menyusun jadual pertandingan bagi pusingan kedua Liga Empat Kumpulan dengan betul. Pengkaji amat teruja semasa melaksanakan kajian walaupun skop kajian melibatkan subtajuk yang kecil tetapi sangat penting untuk murid menguasai kemahiran menyusun jadual pertandingan pusingan kedua bagi sistem liga empat kumpulan ini. Harapan pengkaji pada masa akan datang, kajian lanjutan tentang kaedah-kaedah lain yang boleh membantu meningkatkan kefahaman penyusunan jadual pertandingan liga dalam kalangan murid dapat dilakukan. Tajuk ini penting untuk membantu murid menyelesaikan masalah berkaitan dengan sistem pertandingan liga empat kumpulan.

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENUKAR NOMBOR DALAM ASAS SEPULUH KEPADA ASAS LAIN

SECARA KAEDAH PEMBAHAGIAN DENGAN MENGGUNAKAN NILAI ASAS MELALUI TEKNIK HABA

DALAM KALANGAN MURID TINGKATAN EMPAT



Oleh

NISMAH BINTI KADIR

nismahkadir77@gmail.com


ELKAH @ EKAH BINTI MOLUKIM

elkahmkim@gmail.com


JENNET ALBERT @ HALIMAH MUSAAT

halimahmusaat@gmail.com


AGNES BINTI THOMAS @ SITI HAMISAH ABDULLAH

neyshamisah@gmail.com

SMK Usukan, Kota Belud Sabah



Abstrak


Kajian ini bertujuan menyelesaikan masalah murid yang tidak mahir menukar nombor dalam asas sepuluh kepada asas lain secara kaedah pembahagian dengan menggunakan nilai asas. Masalah ini berpunca daripada murid yang tidak mahir menentukan baki semasa melaksanakan pembahagian dengan menggunakan nilai asas. Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan untuk meningkatkan kemahiran murid menukar nombor dalam asas sepuluh kepada asas lain secara pembahagian dengan menggunakan nilai asas melalui teknik HaBA. Teknik HaBA merupakan akronim kepada perkataan “Hasil Bahagi, Baki, Asas” untuk membantu murid menentukan baki dengan mudah dan cepat. Seramai 30 orang murid kelas 4 Dinamik terlibat dalam kajian ini. Proses pengumpulan data melibatkan ujian pra dan pasca. Berdasarkan keputusan pascaujian didapati bahawa pencapaian murid adalah lebih baik berbanding keputusan praujian. Dapatan kajian membuktikan bahawa teknik HaBA sangat membantu murid dalam kemahiran penukaran nombor asas sepuluh kepada asas lain secara kaedah pembahagian dengan menggunakan nilai asas. Secara umumnya, kajian ini sangat membantu guru semasa mengajar topik penukaran nombor dalam asas sepuluh kepada asas lain secara pembahagian dengan menggunakan nilai asas dengan mengaplikasikan teknik HaBA. 


Kata Kunci : Kemahiran menukar nombor dalam asas sepuluh kepada asas yang lain, Kaedah pembahagian dengan menggunakan nilai asas dan HaBA (Hasil Bahagi, Baki, Asas)

Anjuran bersama:

Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (est.1976) dan Persatuan Teknologi dan Inovasi Pendidikan Sabah (est.2020)