6 DISEMBER 2023

9.00 pagi - 11.00 pagi

Sidang Selari 13

INOVASI

INOVASI ULAB


Oleh

ZULIZAM BIN ABEDIN

SK St. Aloysius Limbanak, Penampang Sabah

g-55237557@moe-dl.edu.my



Abstrak


Inovasi ini dilaksanakan bagi mengetahui tahap keberkesanan penggunaannya dalam membantu murid pemulihan khas menguasai kemahiran asas operasi bahagi dalam ayat Matematik lingkungan 100. Sasaran inovasi ini melibatkan 6 orang murid daripada kelas 3 Cemerlang. Tinjauan awal telah dilakukan dengan menggunakan kaedah pemerhatian dan ujian pra, saya mendapati kesemua murid tidak dapat menjawab semua soalan operasi asas bahagi dalam bentuk ayat matematik lingkungan 100 dengan betul. Oleh itu, saya telah menggunakan inovasi ULAB sebagai intervensi bagi menangani masalah ini. Setelah penggunaan inovasi ULAB, saya mendapati murid menunjukkan peningkatan dari segi jumlah markah yang diperolehi berdasarkan lembaran kerja dan ujian post. Selain itu,kesemua murid mencapai jumlah markah yang melebihi 5 markah. Oleh hal demikian, penggunaan inovasi ULAB sangat berkesan dan dapat membantu murid menguasai kemahiran asas operasi bahagi dalam bentuk ayat matematik lingkungan 100. Cadangan penambahbaikan yang boleh dijalankan adalah menambah baik kaedah yang sedia ada dengan menyebar luas ke kelas perdana agar membantu murid perdana yang belum menguasai asas operasi bahagi. Justeru itu, saya berharap dengan menggunakan inovasi ini dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan prestasi murid dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) khususnya dalam mata pelajaran Matematik.


Kata kunci : Keberkesanan Penggunaan Inovasi ULAB

TIPKU



Oleh


 NOR HAZIMAH BINTI HANAFIAH

Pejabat Pendidikan Daerah Kudat Sabah

cikgosovy@gmail.com


EASE ELSPETH AVASI TEDDY

SK Tagaroh, Kota Marudu Sabah

cikgosovy@gmail.com


GIFT AMBER AVASI TEDDY

SK Tagaroh, Kota Marudu Sabah

cikgosovy@gmail.com


RAFIDAH ABDUL RAUF

SK Tagaroh, Kota Marudu Sabah

dindafida_77@yahoo.com


TEDDY BIN TIMBONG

SMK Tandek Kota Marudu Sabah

TedTimbong79@gmail.com


SYLVIA MITING PAKOI

Pejabat Pendidikan Daerah Kudat Sabah

cikgosovy@gmail.com



Abstrak


Pendekatan pengajaran (pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menyelesaikan masalah) adalah salah satu aspek utama dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bidang STEM. Hidup di kawasan pedalaman memberi peluang anak-anak dilatih sejak kecil untuk membantu keluarga dalam konteks kerja buat harian yang sesuai. Mereka juga perlu kritis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah harian yang di hadapi kerana limitasi sumber kewangan dan persekitaran. Adik-beradik Avasi mendapati kerja membantu ahli keluarga mereka untuk membersihkan kawasan binaan rumah dengan mengutip sisa paku dan logam kecil amat rumit, lambat dan bosan dengan kaedah tradisional mengutip menggunakan jari tangan. Mereka telah mencipta produk TipKu, yakni 100% daripada bahan terpakai yang dikitar semula untuk menangani isu tersebut. Berdasarkan data, produk ini telah berjaya membantu meningkatkan prestasi bilangan kutipan sisa paku dan logam kecil dengan lebih efektif, pantas, dan seronok. 


Kata kunci : Pengaplikasian pengetahuan, kemahiran, nilai menyelesaikan masalah harian, STEM ( Science,Technology, Engineering and Mathematics)

ALAT PENGESAN KESILAPAN TEKNIKAL PELOMPAT JAUH

PERTAMA DI DUNIA



Oleh

SUPIAN BIN HASHIM

DHEVANES A/L KARTHIKESU

MOHAMAD ADIB AIZAT BIN ZAILANI

MOHD FIRDAUS BIN BABA

NURHAZIQ HAIKAL NAJMIE BIN NORAZI

SK  Canossian Convent Segamat Johor

sufiansegamat@gmail.com



Abstrak


Alat Pengesan Kesilapan Teknikal Pelompat Jauh dihasilkan bagi memudahkan guru mengesan kesilapan teknikal bagi peserta acara lompat jauh. Ketika lompat dilakukan oleh pelompat jauh, guru atau pegawai teknikal perlu memerhati papan yang dipijak oleh pelompat jauh dengan menggunakan mata. Sekiranya kaki pelompat jauh melebihi papan, peserta itu disahkan batal dan lompatannya tidak akan diukur. Pemerhatian yang dilakukan oleh guru atau pegawai teknikal dengan menggunakan mata kasar boleh berlaku kesilpan akibat kecuaian atau gangguan sesuatu. Dengan terhasilnya Alat Pengesan Kesilapan Teknikal Pelompat Jauh, tenaga manusia tidak diperlukan lagi. Alat yang diletakkan berhampiran papan lompatan dengan mengeluarkan cahaya lazer akan mengesan kaki yang memijak papan melebihi had. Alat pengesan akan menghasilkan bunyi sekiranya kaki yang memijak papan melebihi had. Secara tidak langsung, penghasilan alat ini telah memudahkan guru membuat latihan atau pemilihan peserta lompat jauh yang bilangannya ramai atau mengadili pertandingan lompat jauh. Objektif utama penghasilan inovasi Alat Pengesan Kesilapan Teknikal Pelompat Jauh ialah memudahkan peserta dan pengadil mengesan kesilapan yang dilakukan semasa melompat, mengurangkan bantahan daripada pengurus pasukan/ jurulatih/ peserta dan memendekkan masa pengadilan bagi acara lompat jauh.


Kata Kunci : Acara padang, papan pemijak, pelompat jauh

TAMAN PASFO



Oleh

NOR ABDI BIN JAUMI

Kolej Vokasional Lahad Datu


JUMAISAH BINTI WARE

Kolej Vokasional Lahad Datu


CHE SITI YUSNANY BINTI ABDULLAH

SMK Segama Lahad Datu



Abstrak


Taman Pasfo merupakan inovasi untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap Tajuk Pengurusan Pastura Dan Foder dalam Program Agroindustri Ternakan Ruminan Kolej Vokasional Lahad Datu. Masalah yang dikenalpasti adalah pelajar sukar mengingat nama setia jenis pastura dan foder dalam tajuk berkenaan. Inovasi Taman pasfo membantu memudahkan sesi pengajaran guru disamping dapat meningkatkan kefahaman serta ingatan pelajar. Pelajar dapat mengenalpasti jenis-jenis pastura dan foder dengan mudah dan cepat. Inovasi ini bukan sahaja membantu pelajar dan pensyarah, malah juga dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan, menenangkan dan meningkatkan motivasi pelajar. Inovasi ini akan terus ditambah baik untuk memaksimumkan potensi serta peluasan penggunaan dalam semua subjek dalam pendidikan di negara ini. Diharapkan inovasi ini akan dapat membantu lebih ramai pelajar dan pensyarah untuk meningkatkan potensi serta objektif pengajaran dan pembelajaran selaras dengan keperluan silibus berkenaan.


Kata Kunci : Taman Pasfo

E-TESELASI



Oleh

LYDRINNIE KOH@ RINNIE

MOHD ZAWAWI BIN ISMAIL

AVIRYNO BIN AVUI

SMK Beluran, Beluran Sabah

g-86250116@moe-dl.edu.my



Abstrak


e-Teselasi merupakan satu inovasi digital yang membantu murid melaksanakan aktiviti berkumpulan secara interaktif malah penggunaannya lebih mudah berbanding Google Classroom. Inovasi ini dibangunkan bertujuan untuk membantu murid menghasilkan karya teselasi dalam Topik Teselasi. Tinjauan awal dijalankan ke atas 20 orang murid Tingkatan 5 yang terdiri daripada 18 orang murid aliran perdana dan 2 orang Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) melalui kaedah analisis soal selidik. Hasil tinjauan menunjukkan murid mengalami kesukaran untuk mereka bentuk Teselasi dengan mengaplikasikan konsep gabungan transformasi isometrik iaitu translasi, pantulan, putaran dan pembesaran. Menurut Jainon (1990), pengajaran menjadi lebih menarik dan berkesan sekiranya alat bantu mengajar digunakan. Menurut Slavin (1990), pengajaran koperatif merupakan satu kaedah pengajaran yang menggalakkan pelajar dalam kumpulan kecil untuk bekerjasama. Inovasi ini bukan sahaja menepati Pelan Induk ICT Keempat bagi Kementerian Pendidikan malah meningkatkan minat murid terhadap Matematik. Pada zaman era perkembangan teknologi masa kini, pengajaran dan pembelajaran Matematik perlu lebih kreatif dan inovatif. Selaras dengan Revolusi Industri 4.0, murid perlu mempunyai tahap literasi ICT yang tinggi agar tidak ketinggalan dan mampu berdaya saing. Secara keseluruhannya, e-Teselasi berjaya meningkatkan kefahaman murid dalam Topik Teselasi di samping menghasilkan karya teselasi yang kreatif, unik dan nilai komersial tinggi serta mempunyai potensi disebar luas ke peringkat global.



Kata kunci : Desmos, transformasi isometrik, teselasi, Matematik, bahan bantu mengajar

D’TUM



Oleh

LUSIA BINTI GAMPALID

SK Kota Marudu II, Kota Marudu

lusiagampalid@gmail.com



Abstrak


Murid amat lemah operasi darab dan bahagi serta tidak dapat menukar unit masa jam ke minit melibatkan pecahan. D’TUM merupakan satu inovasi yang dicipta bertujuan untuk memudahkan penukaran unit masa jam ke minit melibatkan pecahan dalam kalangan 30 orang murid tahun 5 Jujur di SK Kota Marudu II. D’TUM adalah akronim bagi Dam Tukar Unit Masa. Kajian ini telah dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dalam kelas sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran.. Pengumpulan data yang telah dijalankan menggunakan kaedah kuantitatif dalam ujian pra dan ujian pasca serta kaedah kualitatif secara temu bual dan pemerhatian. Dapatan kajian melalui perbandingan antara ujian pra dan pasca menunjukkan penggunaan D’TUM ini berjaya membantu murid menukar unit masa jam ke minit melibatkan pecahan dalam kalangan 30 orang murid tahun 5 Jujur di SK Kota Marudu II dengan mudah. Respon positif murid ketika sesi temubual dan pemerhatian juga membuktikan penggunaan D’TUM memberi impak positif dalam pembelajaran murid. Kesimpulan yang dapat dirumuskan bahawa penggunaan D’TUM sangat berkesan serta dapat membantu murid untuk menukar unit masa jam ke minit melibatkan pecahan dengan mudah, pantas dan tepat.


Kata kunci : Matematik, Tukar Unit Masa, D’TUM, Pecahan

Anjuran bersama:

Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (est.1976) dan Persatuan Teknologi dan Inovasi Pendidikan Sabah (est.2020)