6 DISEMBER 2023
9.00 pagi - 11.00 pagi
6 DISEMBER 2023
9.00 pagi - 11.00 pagi
Sidang Selari 3
KAJIAN TINDAKAN
KEBERKESANAN PEMBELAJARAN DIGITAL MENGGUNAKAN ELEMEN DIDIK
HIBUR UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAN SUKU KATA TERTUTUP KVK
DALAM KALANGAN MURID PEMULIHAN KHAS TAHUN 2
Oleh
NORAINI OMBI
Sekolah Kebangsaan Penampang
Penampang, Sabah
g-24255284@moe-dl.edu.my
Abstrak
Kajian tindakan ini dijalankan untuk melihat keberkesanan pembelajaran digital menggunakan elemen didik hibur dalam meningkatkan penguasaan membaca suku kata tertutup KVK dikalangan murid pemulihan Khas Tahun 2. Tinjauan awal oleh guru pemulihan mendapati 10 orang murid pemulihan Tahun 2 yang dipilih sebagai sampel belum dapat menguasai kemahiran membunyikan suku kata tertutup KVK. Berdasarkan maklumat tersebut, guru telah mengambil pendekatan untuk menghasilkan pembelajaran digital iaitu video didik hibur untuk digunakan sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) disamping memudahkan murid mengikuti pembelajaran ini di rumah. Penggunaan video didik hibur ini kemudiannya dilaksanakan oleh guru dalam masa 3 minggu melalui tayangan video dari platform youtube. Pengajaran dan pembelajaran yang berterusan serta berjadual menunjukkan peningkatan prestasi murid dalam penguasaan kemahiran membaca suku kata tertutup. Berdasarkan analisis selepas 3 minggu, didapati 10 murid terlibat telah dapat menguasai kemahiran 4 iaitu membaca suku kata tertutup KVK, malah murid-murid ini juga berjaya menguasai kemahiran 5 iaitu KV+KVK dan KVK+KV.
KAEDAH 2W1P MELALUI PEMBELAJARAN BERASASKAN
PROJEK (PBPJ) MENINGKATKAN BILANGAN PELAJAR YANG
TERAMPIL TERHADAP KURSUS PENYELIAAN BENGKEL AUTOMOTIF
Oleh
MOHAMMAD HAZRUL BIN MD JORI, EdD
Kolej Vokasional Taiping
Abstrak
Peranan guru dalam mengaplikasikan strategi atau kaedah PdP mengikut kreativiti dan kesesuaian pelajar sangat penting dalam mencapai objektif PdP terutamanya yang melibatkan pengajaran amali yang berasaskan keterampilan. Hasil refleksi terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran amali di bengkel terhadap kursus penyeliaan bengkel automotif (MTA 4012) didapati ramai pelajar yang masih belum terampil dalam setiap unit kompetensi seperti yang terkandung dalam Dokumen Pentaksiran Standard Kompetensi (DPSK) yang telah ditetapkan. Hal ini sangat membimbangkan kerana kursus ini merupakan salah satu kursus yang penting dalam melatih pelajar menjadi seorang penyelia bengkel automotif yang terlatih dalam penyeliaan bengkel dalam semester akhir. Justeru, berdasarkan isu yang telah dikenalpasti ini, satu kaedah pengajaran yang bersesuaian dengan kursus telah dirancang bagi meningkatkan bilangan pelajar yang terampil iaitu kaedah 2W1P. Kaedah 2W1P ini merupakan kaedah pembelajaran yang disusun berdasarkan pembelajaran berasaskan projek (PBPj) yang dijalankan bagi setiap 2 minggu 1 projek (1-unit kompetensi) untuk memastikan kesemua pelajar terampil dalam masa 8 minggu untuk 4 unit kompetensi. Untuk mengenalpasti keberkesanan kaedah 2W1P ini, kajian tindakan telah dilaksanakan dengan menggunakan model kajian tindakan Kemmis Mc Taggart (1988) terhadap 23 orang pelajar semester 4 program Teknologi Automotif (kohot 2021) dalam kursus penyeliaan bengkel automotif (MTA 4012). Hasil daripada refleksi semula terhadap amalan pengajaran dengan menggunakan kaedah 2W1P ini, menunjukkan pelajar kohot 2021 masih belum sepenuhnya terampil untuk kesemua unit kompetensi (K1,K2,K3 dan K4). Walaubagaimana pun, terdapat peningkatan peratus bilangan pelajar yang terampil bagi kohot 2021 berbanding kohot 2020, yang mana terdapat sedikit penurunan peratus bilangan pelajar bagi K2 namun bilangan pelajar yang masih belum terampil adalah kekal seramai 2 orang pelajar bagi kohot 2020 dan kohot 2021. Secara keseluruhannya, kaedah 2W1P pembelajaran berasaskan projek (PBPj) ini telah memberi impak kepada peningkatan bilangan pelajar yang terampil dalam kursus penyeliaan bengkel automotif.
Kata kunci: Pembelajaran Berasaskan Projek (PBPj), Kompetensi, Kursus Penyeliaan Bengkel Automotif
IMPROVING THE GRAMMAR AND VOCABULARY OF AUTISM PUPILS
(SPEECH DELAY) USING SINGING WITH A SONG METHOD
By
AZMI AZLAN LAJUAT
SK Karamator, Keningau Sabah
azmiazlan180@gmail.com
Abstract
This study was conducted at SK Pasir Putih Keningau autism school. The approach employed was the use of music and singing in learning for students with autism (speech delay) in the mild category, students are exposed to songs for 5 minutes and an intermission after that because students will lose focus after 5 minutes. This study aims to increase vocabulary and the student's grammar for the sake of increasing their interaction abilities. Data collection method used were observation and oral tests. Two students were involved as subjects of the study. The study concluded that the use of music and singing are very helpful for a student's development, especially for autistic students who often lose focus and can only focus for no more than 5 minutes. Future improvements can be utilising songs that are closer to the students; hearts and including an additional mascot to ensure that the students stay focused after 5 minutes.
KESAN APLIKASI JAM TERHADAP ULANGKAJI KENDIRI MURID DALAM
MATEMATIK SPM 1449/2
Oleh
ROHANI BINTI AHMAD
SMK Perempuan Likas, Kota Kinabalu Sabah
rsquareuum@gmail.com
Abstrak
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui kesan aplikasi Jam (Jamboard) terhadap ulangkaji kendiri murid dalam Matematik SPM 1449/2. Kesan aplikasi ini dilihat dari perspektif peningkatan kekerapan ulangkaji kendiri murid, pendedahan kepada kepelbagaian variasi soalan format SPM dan memudahkan murid membuat ulangkaji kendiri secara digital. Kajian melibatkan persampelan rawak mudah yang melibatkan sekumpulan murid dari tingkatan lima dan tingkatan empat. Kajian dibuat secara kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik sebagai intrumen kajian dan dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan aplikasi Jamboard telah meningkatkan kekerapan ulangkaji kendiri murid dalam Matematik khususnya bagi kertas 1449/2. Dapatan kajian secara tidak langsung telah mendedahkan murid kepada kepelbagaian variasi soalan format SPM. Ini telah meningkatkan tahap pemikiran murid sekaligus menyesuaikan diri kepada format SPM sebenar. Dapatan juga menunjukkan aplikasi Jamboard telah memudahkan murid membuat ulangkaji kendiri secara digital. Murid boleh membuat ulangkaji kendiri walau di mana sahaja mereka berada tanpa rasa tertekan dan tanpa had.
“TONTON DAN BELAJAR” MENGGUNAKAN EDPUZZLE DALAM MEMAHAMI PROSEDUR
AMALI EXPERIMEN 2 DAN 3 PENINTRATAN ASID DAN ALKALI
Oleh
AIZA MUFIDA MOZI
Kolej Matrikulasi Johor
bm-1365@moe-dl.edu.my
Abstrak
Memahami prosedur amali adalah salah satu langkah yang penting yang perlu dikuasai oleh pelajar sebelum menjalankan experimen. Tanpa pemahaman prosedur yang betul, masa yang diambil untuk menjalankan eksperimen adalah tidak mencukupi. Edpuzzle merupakan satu laman yang membolehkan guru menyunting, memotong, menambah soalan dan yang paling utama meninjau samada pelajar menonton video yang ditugaskan oleh guru. Edpuzzle memudahkan tugas guru dalam memastikan semua pelajar dapat menonton sekaligus memahami prosedur experimen yang akan mereka lakukan. Konsep yang digunakan oleh penyelidik dalam kajian tindakan ini adalah “tonton dan belajar” dalam memastikan pelajar bersedia sebelum menjalankan eksperimen penintratan asid dan alkali. Dalam gelung pertama kajian ini menggunakan video dari Youtube, dapatan markah pencapaian prosedur amali eksperimen 2 ialah, 18.8 % pelajar dapat skor markah cemerlang (8-10) dan tiada orang pelajar mendapat skor rendah (0-4). Selain itu, terdapat 3 orang pelajar mengambil masa melebihi 105 minit untuk menjalankan eksperimen 2. Manakala, dalam gelung kedua kajian ini, menggunakan Edpuzzle dapatan markah pencapaian prosedur amali eksperimen 3 ialah 84.4% pelajar dapat skor markah cemerlang (8-10). Tiada pelajar mendapat skor rendah (0-4). Selain itu, tiada orang pelajar mengambil masa melebihi 105 minit untuk menjalankan eksperimen. Ini jelaskan membuktikan bahawa konsep “tonton dan belajar” menggunakan Edpuzzle mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penyelidik.
PENGGUNAAN TEKNIK “MakMeBaC” DALAM MENJAWAB SOALAN STPM ESEI
PILIHAN MATA PELAJARAN PENGAJIAN PERNIAGAAN
Oleh
AHMAD ZAKI BIN ABDUL RAUF
SMK Abdul Rahim, Kudat Sabah
g-19247977@moe-dl.edu.my
Abstrak
Kajian ini di jalankan bagi mengatasi masalah 10 orang pelajar Tingkatan 6 Senior 4 untuk menjawab soalan STPM esei pilihan mata pelajaran pengajian perniagaan di SMK Abdul Rahim, Kudat Sabah. Kajian ini menggunakan Teknik MakMeBaC iaitu singkatan perkataan bagi (Maksud, Mengapa, Bagaimana, dan Contoh). Melalui teknik ini, pelajar lebih mudah untuk mengembangkan huraian isi, setelah memberikan maksud yang tepat pada fakta yang diberikan dengan menggunakan kata kunci persoalan mengapa dan bagaimana. Selepas itu pelajar akan dapat memberikan contoh yang sesuai semasa menjawab soalan bentuk esei pilihan bahagian B. Secara tidak langsung kajian ini dapat digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk melihat kesannya ke atas pencapaian markah pelajar khususnya pada soalan esei pilihan ini. Kajian ini mengambil masa selama 4 minggu untuk melihat implikasinya. Pada fasa awal sebelum pengenalan teknik MakMeBaC ini, pengkaji melakukan ujian awal bagi melihat keputusan markah untuk soalan esei ini. Setelah itu pengkaji memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai Teknik MakMeBaC dengan kaedah penerangan dan demonstrasi cara menggunakannya. Selepas pendedahan Teknik MakMeBaC, para pelajar digalak menggunakannya dalam tugasan dan pembelajaran. Selepas 4 minggu proses pemantapan penggunaan teknik ini, pengkaji menjalankan ujian penilaian dan melihat impak pada markah yang pelajar dapat samada masih sama seperti sebelum ini atau ada berlaku peningkatan. Hasilnya, pengkaji dapat melihat berlaku peningkatan markah, dan cara olahan huraian jawapan pelajar pun semakin bertambah baik. Melalui maklum balas pelajar daripada sesi temubual dan penulisan refleksi, menunjukkan pelajar lemah dan pelajar pencapaian sederhana baik, berpandangan positif akan penggunaan Teknik MakMeBaC dalam pembelajaran serta merasakan impak baik ke atas pembelajaran mereka. Kajian lanjut harus diteruskan lagi untuk memastikan keberkesanan Teknik MakMeBaC ini. Pengkaji bercadang untuk menerus dan menambahbaik kajian penggunaan Teknik MakMeBaC kepada pelajar yang mengambil mata pelajaran pengajian perniagaan pada masa akan datang supaya penerimaan cara pembelajaran ini lebih diterima pakai.
Kata kunci: teknik MakMeBaC, soalan esei pilihan, kata kunci persoalan Mengapa dan Bagaimana
Anjuran bersama:
Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (est.1976) dan Persatuan Teknologi dan Inovasi Pendidikan Sabah (est.2020)