FEEL FREE TO VISIT DASHBOARD IT'S TIME CIKGU AINA
PROGRAM DWIBAHASA ATAU DUAL LANGUAGE PROGRAM (DLP)
Dual Language Programme (DLP) merupakan program yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran bidang Sains dan Matematik yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Pelaksanaan DLP bertujuan untuk :
Memberi peluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid melalui pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang Sains dan Matematik.
Memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing pada peringkat global.
Meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.
Untuk makluman semua pengunjung, pemilihan murid bagi kelas DLP bermula dari tahun 1 bagi setiap sesi persekolahan yang baharu.
Ramai ibu bapa atau penjaga salah faham dan beranggapan kefasihan menggunakan Bahasa Inggeris adalah elemen utama dalam kelayakan bagi kemasukan ke kelas DLP. Hakikatnya, murid mesti mahir dan fasih menggunakan Bahasa Melayu kerana kefasihan penggunaan Bahasa Melayu adalah elemen utama.
Ramai ibu bapa atau penjaga beranggapan bahawa kelas DLP adalah kelas elit berbanding kelas bukan DLP. Pemahaman ini adalah bercanggah sama sekali dengan konsep kelas DLP yang telah ditetapkan oleh KPM. Ini kerana, konsep PdPc dan subjek bagi kelas DLP adalah sama seperti kelas aliran perdana yang lain kecuali bagi subjek Matematik dan Sains yang di ajar menggunakan Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu (dual language). Persepsi ini perlu diperbetulkan oleh semua pihak.
"BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA"
"TOGETHER WE MAKE A BETTER FUTURE"
Murid-murid yang baru bertukar ke sekolah ini perlu membawa dokumen pengesahan yang membuktikan mereka aliran DLP daripada sekolah lama khususnya bagi sekolah swasta. Murid DLP yang bertukar dari sekolah lain ke sekolah St John 1 (M) akan berada di kelas DLP.
Kriteria utama pemilihan murid DLP ialah murid tersebut mesti melepasi MBMBI dan fasih dalam menggunakan Bahasa Melayu. Jika berlaku kekangan kekurangan murid, murid-murid yang dipilih sekurang-kurangnya melepasi kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Di peringkat sekolah rendah, kenaikan murid ke kelas DLP adalah berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 walaupun murid tersebut telah berpindah sekolah.
Kriteria untuk memilih murid yang layak memasuki kelas DLP adalah berdasarkan dua elemen utama iaitu elemen pemerhatian dan pentaksiran khususnya dengan MBMBI mengikut justifikasi yang telah ditetapkan.