Pembentangan Projek
Pembentangan Projek
Dalam bahagian ini, anda dikehendaki menyediakan dua jenis penulisan iaitu kertas cadangan projek dan laporan projek. Kertas cadangan perlu dilaksanakan pada semester 3 bagi kursus Projek Tahun Akhir 1 (PTA 1) yang mencakupi penulisan bab 1 hingga 3, manakala laporan projek merupakan laporan penuh bermula bab 1 hingga bab 5 yang dilaksanakan pada semester 4 bagi kursus Projek Tahun Akhir 2 (PTA 2).
Penyediaan Slaid Pembentangan
Penyediaan slaid pembentangan sangat diperlukan sebelum anda membuat pembentangan sama ada cadangan projek atau projek akhir. Dalam fasa ini anda perlu memastikan slaid pembentangan yang disediakan padat dengan informasi, menarik dan tidak membosankan. Hal ini penting kerana slaid dapat membantu anda menyampaikan informasi penting kepada panel penilai seterusnya menjayakan pembentangan anda. Berikut merupakan beberapa perkara yang perlu diambil kira semasa menyediakan slaid pembentangan;
1.Guna 1 gambar untuk 1 slaid.
Pemilihan gambar haruslah yang berimpak dan paling relevan dengan kandungan/konten slaid (1 slaid, 1 poin konten). Elakkan menulis teks yang panjang dalam slaid untuk mengelakkan anda membaca slaid dan membelakangi panel penilai.
2.Guna tulisan jenis Sans Serif.
Penggunaan fon jenis Sans Serif adalah lebih menarik dan mudah untuk dibaca kerana ia tidak mempunyai kaki-kaki kecil di hujung garisnya. Contoh fon Sans Serif adalah Helvetica, Roboto, Oswald, Lato, Impact, dan Open Sans.
3.Hanya 6 baris ayat pendek.
Cuba maksimakan hanya 6 baris ayat pendek sahaja dalam setiap slaid. Elakkan penulisan terlalu panjang dengan saiz fon yang kecil. Ianya tidak sesuai untuk pembentangan dan sukar untuk dibaca.
4.Pilih frasa ringkas dan mudah difahami.
Setiap poin konten pasti ada kata kunci penting. Gunakan sebaiknya, dan digabung dengan kata adjektif yang bersifat menerangkan kata kunci tersebut.
5.Ruang 40% dikosongkan.
Cuba anggarkan bagi setiap slaid, hanya 20% teks. 40% gambar dan baki 40% dikosongkan untuk ‘eye-rest’. Ini penting untuk hilangkan jemu, dan keserabutan info dalam slaid. Ambil 80% teks itu dan ucapkan secara verbal semasa pembentangan dibuat.
6.Kontra warna teks.
Gunakan kontra warna dalam teks yang sama jenis dan saiz untuk hidupkan kontra. Kontra warna juga diperlukan bagi menonjolkan teks atau imej dengan warna latar slaid. Perbezaan warna teks dan latar belakang memudahkan slaid anda dibaca.
7.Gunakan 5 warna maksima.
Untuk slaid yang profesional, atau korporat, adalah disarankan untuk anda memilih satu tona warna dengan 1 tona kontra sahaja digunakan. Contohnya, anda memilih warna merah, dan dikontra dengan biru. Warna putih dan hitam adalah warna pelengkap, dan itu sudah menjadikan anda menggunakan 4 warna. Warna gambar, boleh diberi efek filter berwarna yang sesuai dengan mod pembentangan. Sephia atau hitam-putih adalah yang paling mudah disuai padankan dan tampak kemas.
8.Menggunakan templat slaid pembentangan.
Cari templat slaid pembentangan di Google kerana ada banyak templat yang menarik dan boleh didapati secara percuma. Anda hanya perlu mencari templat percuma di Google, dan edit untuk memudahkan kerja anda.
9.Seragam dan Susun
Akhir sekali, pastikan ada keseragaman dalam setiap slaid. Kandungan slaid juga perlu disusun mengikut format slaid pembentangan yang telah diberikan dalam Buku Garis panduan PTA.