Fasa ketiga dalam Model ADDIE adalah fasa pembangunan produk. Dalam fasa ini, anda perlu membangunkan produk yang telah direka bentuk pada fasa dua berdasarkan analisis yang telah dibuat pada fasa satu. Dalam konteks modul e-PTA, produk yang dibangunkan adalah produk jenis nyata yang berasaskan produk inovasi makanan atau minuman.
Pembangunan projek jenis ini perlulah menggabungkan teknologi-teknologi baru dan tidak meniru sebarang ciri-ciri produk sedia ada di pasaran. Perbandingan antara produk sedia ada dengan projek yang akan dibangunkan perlu ditunjukkan dengan jelas beserta kajian dan sokongan data. Projek jenis ini boleh merujuk kepada penyelesaian sesuatu masalah yang mungkin wujud sama ada di kolej mahupun industri.
Kaedah pembangunan dan pengujian ke atas projek yang dibangunkan perlu dinyatakan dengan jelas dan terperinci berserta sokongan data, analisa dan bukti-bukti berkenaan projek tersebut (ditunjukkan dalam bentuk gambar foto). Harus diingatkan bahawa pembangunan produk perlu mengambil kira bahan yang mudah diperolehi dan kos yang rendah, peralatan dan perkakasan yang mudah digunakan serta mudah diakses seperti di bengkel memasak kolej atau di rumah.