Proses Pengumpulan dan Analisis Data
Proses Pengumpulan dan Analisis Data
Pengumpulan Data
Pengumpulan data adalah satu cara mendapatkan data yang kemudiannya akan digunakan bagi menjawab kepada obektif dan persoalan kajian. Proses pengumpulan data dapat dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa kajian rintis dan fasa kajian sebenar. Beberapa perkara perlu dilakukan sebelum kajian rintis dan kajian sebenar dilakukan antaranya adalah memohon kebenaran dan persetujuan daripada pihak berkenan, membiasakan diri dengan suasana di lokasi kajian, dan membina hubungan baik dengan peserta kajian. Hubungan baik penting bagi memudahkan pengkaji untuk berinteraksi dan seterusnya melakukan proses pengumpulan data.
Dalam konteks projek nyata berasaskan makanan atau minuman, proses pengumpulan data memerlukan anda menyediakan borang soal selidik dan sampel produk untuk dirasa oleh responden kajian. Setelah merasa sampel produk tersebut, responden diberi masa untuk menjawab borang soal selidik yang merangkumi soalan-soalan mengenai ciri hedonik dan tahap penerimaan responden terhadap produk yang dihasilkan. Borang soal selidik yang telah siap diisi boleh dikumpulkan semula untuk mendapatkan data kajian.
Analisis Data
Analisis data adalah kaedah yang digunakan oleh penyelidik untuk memberi makna kepada data yang dikumpulkan. Ia merupakan satu proses memindahkan data kepada maklumat, pengetahuan dan boleh dikongsi kepada orang lain. Ia juga bertujuan untuk membuat kesimpulan tentang hasil dapatan kajian. Analisis yang boleh dibuat bagi mendapatkan maklumat tersebut adalah analisis statistik deskriptif.
Analisis Statistik Deskriptif
Statistik deskriptif adalah jenis statistik yang matlamatnya adalah untuk menerangkan ciri-ciri satu set data yang dikumpulkan seperti min (nilai purata data), median (angka paling tengah dalam kedudukan data selepas disusun mengikut nilai terendah ke tertinggi), mod (kekerapan data muncul), atau sisihan piawai. Anda perlu menganalisis data dengan menggunakan statistik deskriptif bagi menjawab soalan-soalan kajian. Data daripada borang soal selidik akan dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) untuk mendapatkan kekerapan (frekuensi) dan peratusan bagi setiap soalan kajian. Dalam hal ini, anda perlu mempelajari cara menggunakan SPSS atau anda boleh menggunakan perisian Microsoft Excel untuk mendapatkan nilai min dan peratusan.
Persembahan data
Dapatan kajian yang telah dianalisis boleh dipersembahkan dalam bentuk jadual atau carta. Sebelum menulis hasil dapatan, pelajar boleh menjelaskan secara ringkas tentang data yang ingin dipersembahkan seterusnya membuat sedikit ulasan tentang data yang diperolehi. Sabagai contoh, profil demografi responden terbahagi kepada tiga bahagian iaitu jantina, umur, dan bangsa. Maka, data boleh dipersembahkan dalam bentuk jadual taburan kekerapan seperti berikut;
Data kajian juga boleh dipersembahkan dalam bentuk carta seperti carta bar, carta pai dan sebagainya. Kelebihan menggunakan grafik dalam persembahan data antara lain adalah untuk menjadikannya menarik dan data mudah untuk difahami. Carta boleh disediakan dengan menggunakan perisian seperti Microsoft Excel dan Microsoft Word. Sebagai contoh, data demografi jantina responden di atas, dapat dipersembahkan menggunakan carta pai seperti berikut;