Penyediaan Resipi Standard Produk
Penyediaan Resipi Standard Produk
Resipi standard merupakan satu formula bertulis yang digunakan untuk menghasilkan makanan pada tahap kualiti dan kuantiti yang sama tidak kira disediakan oleh sesiapa, walau di mana berada. Ia perlu ditulis dengan terperinci menggunakan tatabahasa, ejaan dan tanda baca yang betul (Husted & County, 2004). Ia mesti menyatakan secara jelas kuantiti dan kualiti sesuatu bahan yang digunakan serta jalan kerja bagi menyediakan sesuatu hidangan dan perkara mustahak yang perlu diikuti seperti arahan penyediaan dan arahan penyimpanan yang selamat.
Struktur Resepi Standard
Di dalam satu resepi standard memerlukan data-data yang berikut;
Nama resepi
Hasil (yield), meliputi jumlah hasil, jumlah porsi, dan saiz porsi.
Bahan dan jumlah yang digunakan dengan tepat, dan senarai bahan disenaraikan mengikut kepentingan keperluan.
Senarai peralatan yang sesuai mengikut keperluan, termasuk peralatan menyukat, saiz pan, dan alatan memporsi.
Langkah kerja penyediaan. Langkah kerja mestilah ringkas dan mudah difahami.
Penyediaan dan tempoh masa penyediaan.
Langkah menyedia dan menghias hidangan.
Fungsi Dan Kepentingan Resepi Standard
Untuk Mengawal Kualiti Hidangan.
Resepi standard adalah lebih terperinci dan spesifik, ini penting bagi mengawal hasil dan kualiti produk adalah sama, tidak kira disediakan oleh sesiapa pun walau di mana berada.
Untuk Mengawal Kuantiti Hidangan.
Dapat mengawal jumlah kuantiti hidangan berdasarkan setiap bahan yang digunakan dengan tepat, berdasarkan timbangan yang telah di tetapkan. Kedua, hasil hidangan dan jumlah porsi bagi setiap hidangan sebelum dihidangkan dapat dinyatakan dengan jelas.
Melalui standard resepi seseorang dapat menjangka atau membantu perkara-perkara berikut:
Kuantiti dan kualiti bahan yang hendak diguna mestilah melalui borang spesifikasi standard pembelian.
Saiz sesuatu hidangan (yield) yang mampu diperolehi daripada satu-satu resepi
Mengetahui kos makanan bagi satu porsi
Mengetahui zat-zat pemakanan bagi sesuatu hidangan.
Membantu dalam perancangan menu
Menyenangkan dalam pemesanan bahan
Membantu dalam pengawalan porsi
Membantu kakitangan baru membiasakan diri dengan sesuatu hidangan (lebih elok jika resepi standard mempunyai gambar)
5 Tips Pemilihan Resipi Projek
Pemilihan resipi akan membantu mencipta produk yang berjaya. Ia perlu mengambi kira beberapa aspek penting bagi memastikan formulasi mencapai standard tertentu dan dapat disahkan oleh panel pakar serta diterima baik oleh responden. Di antara aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut;
Pilih resipi yang sesuai dengan kemahiran penyediaan makanan anda
Pilih resipi yang rendah gula, garam dan lemak bagi mematuhi Piramid Pemakanan Malaysia.
Pertimbangkan kos dan ketersediaan bahan. Bolehkah anda mencari bahan-bahan tempatan atau menggantikan sesuatu yang serupa. Berapakah kos yang diperlukan untuk mendapatkan bahan?
Gunakan peralatan dapur yang paling biasa. Jika peralatan khas digunakan, apakah peralatan biasa yang boleh menggantikannya?
Apakah terdapat arahan penyimpanan selamat yang perlu dinyatakan? Contohnya ‘tutup dan simpan dengan segera’.