Pengenalpastian Masalah
Pengenalpastian Masalah
Pemilihan projek merupakan langkah pertama dalam proses melaksanakan Projek Tahun Akhir (PTA). Pemilihan perlu menepati skop bidang pengajian pelajar, agar projek yang dilaksanakan dapat menguji dan menilai kemahiran pelajar dalam mengaplikasikan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang tempoh pengajian. Pemilihan projek dalam konteks pengetahuan dan kemahiran pelajar juga dapat menimbulkan minat pelajar untuk menyiapkan PTA dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.
Sebelum pemilihan projek dapat dibuat, pelajar perlu melalui fasa pengenalpastian masalah kerana sesuatu projek dianggap relevan apabila ianya bermula dengan sesuatu masalah yang perlu diselesaikan atau penambahbaikan yang perlu dibuat terhadap produk sedia ada. Proses sumbangsaran atau brainstorming menggunakan teknik 5W 1H iaitu What (apa), Where (di mana), Who (siapa), When (di mana), Why (mengapa) dan How (bagaimana), sangat sinonim dalam membantu pelajar menentukan sama ada sesuatu idea projek dapat dilaksanakan atau tidak. Bersama-sama dengan ahli kumpulan atau penyelia projek anda, gunakan templat ‘Konsep 5W1H’ dalam menu ‘Lembaran Kerja’ untuk membincangkan persoalan-persoalan seperti di ditunjukkan dalam jadual di bawah;
Terdapat 5 kaedah lain yang lebih sistematik (melibatkan pengumpulan data atau bukti bertulis) boleh dilakukan dalam proses pengenalpastian masalah atau penambahbaikan untuk mengisi gap dari produk atau kajian sebelumnya iaitu:
1. Soal Selidik
2. Pemerhatian
3. Rujukan media cetak atau elektronik
4. Temu bual
5. Pengalaman sendiri atau orang lain
Soal Selidik
Soal selidik adalah satu kaedah mendapatkan data atau maklumat dari responden dengan menggunakan set soalan. Maklum balas responden digunakan bagi tujuan untuk memahami lebih terperinci masalah yang perlu diselesaikan.
Langkah kerja:
1. Menyediakan borang soal selidik
– Soalan yang mudah dan tepat
– Sediakan jawapan soalan berbentuk Ya/ Tidak atau menggunakan skala nombor
2. Menentukan sampel dan bilangan
– Pilih responden dari pelbagai latar belakang dan umur
– Lebih ramai responden, lebih banyak maklumat yang boleh diperoleh
3. Mengedar dan mengumpulkan semula borang soal selidik
– Dijalankan dalam tempoh masa yang ditetapkan
– Responden diberi kebebasan dan keselesaan untuk menjawab borang soal selidik yang telah disediakan.
4. Menganalisis maklum balas responden
– Borang soal selidik yang telah dikumpul, dianalisis bagi mendapatkan maklumat yang akan dilaporkan
5. Merumuskan dan melaporkan dapatan
– Rumusan hasil dapatan bertepatan dengan penyataan masalah bagi tujuan pelaporan.
Pemerhatian
Pemerhatian dibuat sekiranya penyelidik ingin melihat sendiri situasi sebenar yang berlaku pada subjek yang dikaji agar dapat memahami permasalahan kajian dengan lebih jelas dan terperinci. Maklumat direkodkan dengan mengambil gambar foto atau video dan disertai catatan sebagai bahan bukti pemerhatian.
Rujukan media cetak atau elektronik
Masalah kajian juga boleh dikenalpasti melalui rujukan media cetak atau media elektronik. Contohnya melalui pembacaan artikel jurnal kajian-kajian yang lalu, majalah atau surat khabar dan melalui isu-isu yang dilaporkan di internet atau televisyen. Rujukan media membentuk asas untuk matlamat lain seperti kajian seterusnya yang mungkin diperlukan dalam bidang tersebut.
Langkah kerja:
Baca 10-20 artikel dari laman web ilmiah seperti Google Scholar, Academia, Research Gate dan lain-lain bagi keluaran 3 tahun kebelakang yang menepati bidang anda. Pastikan ada beberapa artikel tempatan bagi mendapatkan konteks kajian di Malaysia.
Boleh juga dapatkan dari keratan akhbar, majalah dan lain-lain sumber terkini yang diterbitkan.
Teliti isu utama yang diketengahkan dan kenalpasti research gap melalui perbincangan atau cadangan kajian lanjutan oleh pengkaji terdahulu (jika sumber dari artikel) yang boleh dipertimbangkan untuk anda mengisi research gap tersebut melalui kajian anda.
Boleh juga gunakan isu-isu terkini yang diketengahkan oleh media, untuk anda teroka dengan lebih mendalam dan mencari penyelesaian masalah mengikut minat dan kemampuan anda.
Temubual
Temu bual ialah interaksi atau perbualan yang berlaku dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat. Kaedah temu bual melibatkan interaksi bersemuka antara penemu bual dan responden yang memberi ruang kepada responden untuk mengemukakan pendapatnya sendiri.
Pengalaman Sendiri Atau Orang Lain
Masalah kajian juga boleh dikenalpasti melalui pengalaman sendiri seperti masalah ketika menggunakan sesuatu produk. Maklumat-maklumat penting perlu dicatat seperti tarikh, masa, lokasi, situasi dan pendapat mengenai produk tersebut dari segi kelebihan dan kekurangan. Namun begitu, pengalaman sendiri tidak semestinya sama dengan orang lain. Oleh itu, perlu dibuat perbandingan untuk mendapatkan maklumat yang lebih jitu.