HONEY STAR

PERMULAAN

Di sebuah hutan yang terletak di hujung kampung, tinggalnya beberapa ekor haiwan, burung-burung dan serangga yang hidup dalam keadaan harmoni. Maka bermulalah di sini, tentang kehidupan Merak dan Gagak. Merak merupakan seekor burung yang amat cantik dengan bulunya yang berwarna-warni tetapi tidak boleh terbang untuk mencari makanannya sendiri. Semua haiwan di hutan itu suka untuk melihat kecantikan Merak. Selain itu, Burung Gagak warna bulunya tidak begitu menarik tetapi Gagak merupakan seekor burung yang handal terbang dan mencari makanan seharian serta mampu menolong haiwan lain untuk mencari makanan harian mereka. Pada mulanya, Merak dan Gagak menjalani hidup masing-masing dengan baik sehinggalah mereka ternampak akan kekurangan diri yang dimiliki oleh mereka sendiri.


PLOT 1

Pada suatu hari, ketika gagak terbang ingin mencari makanan, dia ternampak banyak haiwan yang sedang mengelilingi merak membuatkan dia tertarik dan ingin mendekat untuk mendengar apa yang dibualkan oleh mereka. "Merak saya suka melihat awak kerana awak sangat cantik" kata itik kepada merak. "Betul saya setuju dengan itik, saya juga suka melihat awak" kata arnab pula. Mendengarkan kata- kata daripada itik dan arnab, gagak sedih kerana dia tidak mempunyai warna bulu yang cantik seperti merak. Gagak terbang semula untuk mencari makanan. Merak pula berasa lapar dan ingin mencari makanan. Sedang gagak mencari makanan, tanpa dia sedar merak sedang memerhatikan gagak dari jauh. Merak melihat gagak mencari makanan dengan mudah sekali kerana gagak mampu terbang tinggi dan bebas untuk mencari makanan. "Beruntungnya gagak kerana dapat terbang dengan bebas untuk mencari makanan" kata merak di dalam hatinya dengan perasaan yang cemburu.


PLOT 2

Itik dan arnab tidak menyukai gagak kerana rupanya yang hitam. Oleh sebab itu, mereka mendapat idea untuk membuat gagak bergaduh dengan merak. Mereka berfikir untuk memburuk-burukkan gagak dan merak. Oleh itu, mereka membuat keputusan untuk berpecah,  berjumpa dengan gagak dan merak. Selepas itu, itik berjumpa dengan merak. " Merak, awak tahu atau tidak, gagak memberitahu haiwan-haiwan lain bahawa awak seorang yang bongkak akan kecantikan yang awak miliki" tipu itik. " Kenapa dia buat begitu? Tidak sedarkah dia bahawa dia itu hitam dan tidak berwarna? " kata merak dengan perasaan geram. Manakala di suatu tempat yang lain, arnab pula  menghasut gagak untuk membenci merak. Merak dan gagak berasa geram antara satu sama lain sedangkan itik dan arnab gembira kerana penipuan mereka berjaya.


PLOT 3

Pada hari berikutnya, Gagak berhasrat untuk berjumpa dengan merak demi menyelesaikan masalah mereka. Lantas, Gagak bertemu Merak di tebing sungai, lalu Gagak pun berkata," Wahai Merak, apa yang kau tidak puas hati dengan aku. Berani kau kata aku hitam dan tidak berwarna? Kata Gagak dalam keadaan marah. Merak pun berkata." Eh, bila pula aku kata begitu kepada kau. Kau kata aku bongkak akan kecantikan yang aku miliki boleh pula." Gagak berasa hairan." Eh, aku tidak pernah berkata bahawa kau bongkak." Kemudian, Merak dan Gagak telah tersedar bahawa bukan niat mereka untuk mengejek antara satu sama lain tetapi ltik dan Arnab yang telah melagakan mereka berdua.


PENGAKHIRAN


Akhir sekali, setelah Gagak dan Merak muhasabah diri mereka, mereka mengambil keputusan untuk berbaik. Selepas kejadian tersebut,Gagak dan Merak saling melengkapi antara satu sama lain dan dapat menerima serta bersyukur dengan kekurangan yang dimiliki. Walaupun Merak mempunyai rupa paras yang cantik dan menawan, malangnya merak tidak boleh terbang seperti gagak untuk mencari makanan dan membuatkan merak berasa sedih. Namun, gagak mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan merak. Gagak akan berperanan dalam mencari makanan manakala Merak akan sentiasa melindungi gagak dalam apa jua keadaan. Akhirnya, Merak dan Gagak hidup bahagia saling melengkapi antara satu sama lain.

 ◦