Seorang pelukis tanpa kelulusan formal dalam bidang seni visual. Berkelulusan bidang senibina dari Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam sejak tahun 1996. Dilahirkan di Parit, Perak pada tahun 1974. Perjalanan kerjaya beliau tidak pernah tersasar daripada kerja-kerja yang melibatkan kreativiti dan seni. Memulakan karier tetap sebagai pembantu arkitek pada tahun 1996. Banyak terlibat dengan tugasan rekabentuk dan presentasi lukisan senibina serta lanskap di samping menjadi artis ilustrasi secara sambilan untuk firma-firma arkitek dan pemaju. Minat yang mendalam terhadap seni bina, kartun dan reka bentuk grafik telah mendorong beliau menceburi lapangan seni visual dengan matlamat untuk menikmati kepuasan hobi peribadinya dengan cara yang unik. Beliau bertekad untuk giat berkarya walaupun menyedari dirinya masih baru dan hanya mula terlibat secara rasmi dengan audien sejak 2017.
SENI LUKISAN KARTUN - Semasa bertugas sebagai arkitek reka bentuk pada tahun 1998, beliau turut bergiat di dalam bidang seni lukis kartun. Karya-karya kartun beliau pernah tersiar di dalam majalah `Gila-Gila’, `Gelihati’ dan `Jenakarama’. Minat yang mendalam telah mendorong beliau berkarya sebagai kartunis sepenuh masa dengan majalah `Ujang’ dari tahun 1999 hingga 2002. Berikut adalah pencapaian beliau dalam bidang seni lukis kartun : 1998 Kedua, Pertandingan Karya Seni Kreatif Kartun Kebangsaan PNB anjuran Permodalan Nasional Berhad. Tahun 2007 dan 2009 Saguhati, Pertandingan Melukis Kartun Hari Pengguna Malaysia anjuran FOMCA. Kekerapan menyertai pertandingan “Tandatangan Kreatif” anjuran agensi kerajaan dan swasta membuatkan profil dan biodata beliau individu kreatif dan inovasi dalam seni grafik. Karier sebagai pengurus rekabentuk senibina di syarikat hartanah Sime Darby Property Berhad, tiada alasan untuk tidak berpameran menerusi seni, kebanyakan karya beliau cenderung kepada aliran abstrak semi-realis yang menggunakan unsur garis dalam pelbagai gaya. Berpegang kepada prinsip `segalanya adalah seni’ dalam berkarya. Karier sebagai arkitek, menceburi bidang selaku kartunis, berpengalaman menerusi seni grafik digital serta minat seni pelbagai variasi dan pengalaman yang sangat luas di gunakan dengan sebaiknya dalam menyemarakkan seni di Malaysia.
Tumpang Seri
Media campuran atas kanvas
152 x 36 sm
2017
WALIT - 35
Pengedap akrilik, akrilik, tikar mengkuang dan guni di atas zink
137 x 153 sm
2021
RM 6,000.00
Keterangan Karya
`Walit-35’ mengungkap emosi seseorang yang terpaksa `berkurung’ dan asbab-asbabnya. Senario berkurung dikiaskan menyamai sifat semulajadi burung walit.
Semua subjek dikaitkan dengan kisahnya sendiri sebagai analogi untuk setiap asbab. Pesawat tentera Jepun mengingatkan tentang berkurung kerana ketakutan pada zaman penjajahan Jepun (1941). Jebak burung menggambarkan berkurung di rumah bagi mengelakkan risiko terjerumus dengan gejala sosial, dadah serta ancaman jenayah. Topeng muka melambangkan tuntutan berkurung ketika masalah jerubu. Bot enjin sangkut merujuk kepada berkurung di pusat pemindahan bencana banjir. Sarang burung walit mengisahkan berkurung bagi melawan penularan virus Covid-19 yang kini masih merebak di seluruh dunia. Pohon Balau Merah pula melaungkan amaran tentang tuntutan berkurung bagi meneruskan kelangsungan hidup ketika berlakunya kerosakan alam yang dasyat disebabkan fenomena pemanasan global pada tahun 2035 kelak.
Di sebalik kesan-kesan negatif akibat `berkurung', ia juga sebenarnya mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan jika ditangani secara positif.