Percampuran kod merupakan fenomena yang umum terjadi dalam komunikasi seharian manusia terutama dalam situasi bukan formal seperti di media sosial atau percakapan sehari-hari. Tokoh Abdul Rashid Daeng Melebek dan Amat Juhari Moain (2010) berpendapat, "bilingualisme terjadi disebabkan oleh masyarakat majmuk, pertembungan budaya, penjajahan, perdagangan, pengembaraan, pengembangan agama, pendidikan, dasar bahasa dan perkahwinan campur." Percampuran kod dalam budaya masyarakat Malaysia lebih dikenali sebagai bahasa rojak.
Percampuran kod yang dilakukan secara berlebihan atau tidak sesuai dengan konteksnya memiliki banyak kesan buruk, antaranya ialah berlaku kesalahan dalam tatabahasa dan kurangnya kefahaman dalam pertuturan. Justeru itu, pihak berwajib seharusnya cakna akan hal sebegini kerana percampuran kod dalam bahasa boleh meruntuhkan nilai bahasa itu sendiri. Sehubungan dengan ini, saya berharap agar pihak berwajib dapat mengusahakan cara untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan menggalakan masyarakat di Malaysia menggunakan bahasa melayu dalam pertuturan seharian mereka tidak kira bangsa dan agama.