PENGIODINAN GARAM SECARA UNIVERSAL
(UNIVERSAL SALT IODIZATION, USI)
PENGIODINAN GARAM SECARA UNIVERSAL
(UNIVERSAL SALT IODIZATION, USI)
PENGENALAN
Apa Itu Iodin?
Iodin merupakan nutrien yang diperlukan dalam kuantiti sedikit oleh tubuh, namun peranannya penting dalam proses sintesis hormon tiroid di kelenjar tirioid. Hormon ini bertanggungjawab dalam pertumbuhan, perkembangan dan kawalan proses metabolisma badan manusia. Kesan kepada kekurangan iodin bukan hanya membawa kepada masalah goiter dan hipotiroidisme tetapi juga memberi kesan negatif yang siginifkan kepada perkembangan otak janin dan bayi sekiranya keperluan zat iodin oleh wanita hamil tidak dipenuhi.
Kesan Kekurangan Iodin
Zat iodin yang tidak mencukupi dalam kalangan kanak-kanak boleh mengganggu perkembangan fizikal, mental, psikomotor, serta keupayaan pembelajaran kanak-kanak. Kekurangan zat iodin dalam kalangan dewasa pula boleh memberi kesan negatif kepada sistem reproduktif, produktiviti kerja, peningkatan berat badan yang tidak terkawal, keguguran rambut dan kulit kering.
Pengiodinan Garam Secara Universal (Univeral Salt Iodization, USI)
Di peringkat global, WHO, UNICEF dan ICCIDD (2007) telah mencadangkan Pengiodinan Garam Secara Universal (Univeral Salt Iodization, USI) sebagai strategi utama dalam menghapuskan masalah Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD). Oleh itu, Program USI telah diwartakan di seluruh Malaysia pada tahun 2018 setelah pelaksanaan secara berperingkat dibuat di Negeri Sabah pada tahun 2000 dan di Negeri Sarawak pada tahun 2008.
Program USI dilaksanakan dengan menambah zat iodin ke dalam garam yang dijual dan dipasarkan kepada masyarakat secara menyeluruh. Garam dipilih sebagai medium untuk melaksanakan proses pengiodinan kerana ia adalah bahan asas yang digunakan oleh hampir setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi. Selain itu, kos pengiodinan garam juga adalah lebih murah berbanding kos fortifikasi makanan yang lain. Penambahan iodin kepada garam sama ada dalam bentuk kalium iodida atau iodat atau natrium iodida atau iodat tidak memberi apa-apa perubahan kepada rupa, rasa dan bau apabila digunakan dalam masakan. Pengiodinan garam ini juga telah mengambil kira strategi pengurangan pengambilan garam tidak melebihi 5g atau 1 sudu teh sehari selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
OBJEKTIF
Untuk mengawal dan mencegah Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD) terutama dalam kalangan kumpulan rentan seperti kanak-kanak dan wanita hamil.
GARIS PANDUAN PROGRAM PENGIODINAN SECARA UNIVERSAL (USI)